Hari ini dalam Hijrah

Showing posts with label Filem Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Filem Dakwah. Show all posts

Tuesday, October 23, 2007

Rancangan menarik untuk kanak-kanak

Animasi ini menceritakan tentang perjuangan pahlawan Islam iaitu Sallahudin Al-Ayubi yang berusaha keras untuk menawan semula Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada 2 Oktober tahun 1187 selepas hampir 88 tahun kota itu dikuasai tentera Salib. Misi yang dilalui oleh beliau sangat sukar dan Sallahudin dengan penuh bijaksana menyusun strategi yang mantap untuk menawan kota tersebut. Kisah animasi ini memaparkan keagungan Islam di zaman silam yang mampu membangkitkan semangat generasi muda kita untuk berjuang memartabatkan maruah Islam pada masa kini sampai bila-bila.

Selain itu, terdapat juga animasi-animasi yang nampak ringkas tetapi mengandungi unsur-unsur dakwah yang dapat menyedarkan umat Islam terutamanya golongan kanak-kanak tentang sejarah telaga zam-zam. Dengan menggunakan kaedah personifikasi (telaga atau tumbuh-tumbuhan) sebagai pelakon, animasi sebegini dapat menarik lagi minat kanak-kanak untuk menonton rancangan animasi berunsurkan Islam.

Rancangan berikutnya bukanlah bercirikan animasi tetapi lebih kepada video klip berunsurkan pendidikan Islam. Kaedah pengajaran mengenal huruf arab yang disampaikan secara berlagu dengan alunan nasyid dan persembahan yang menghiburkan. Kanak-kanak sememangnya mudah menghafal melalui nyanyian, justeru usaha menampilkan pengajaran 'alif, ba, ta' secara alunan lagu dan video klip menarik adalah satu bentuk sumbangan menyebarkan syiar Islam yang berguna kepada umat. Read more...

Filem Kiamat Sudah Dekat



Filem ini mengandungi banyak unsur dakwah yang disampaikan secara bersahaja tetapi memberi kesan yang mendalam kepada para penonton. Filem yang mengisahkan tentang seorang pemuda rockers bernama Fandi yang jatuh cinta dengan Sarah, seorang anak Tok Imam (Haji Romli). Usaha Fandi untuk memikat hati Sarah bukanlah mudah. Pelbagai cabaran yang dihadapinya untuk menawan gadis tersebut. Fandi terpaksa berdepan dengan Tok Imam tersebut sebelum dapat memikat hati Sarah yang sudah ketiadaan ibu. Usaha Fandi nampak mustahil kerana dia tidak mempunyai asas langsung dalam ilmu agama walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam.

Dia tidak pandai bersolat, tidak tahu membaca al-Quran sehingga apabila ditanya tentang khitan pun dia tidak mengerti maksudnya. Tok Imam meletakkan syarat kepada kepada Fandi, jika dia mahu menjadikan Sarah sebagai isteri, dia perlu pandai membaca al-Quran dan pandai bersembahyang dalam masa dua minggu. Fandi begitu bersungguh-sungguh dalam usahanya itu. Mujurlah, seorang kanak-kanak bernama Samprol, jiran kepada Haji Romli tampil membantu Fandi sehingga dia berjaya menguasai ilmu membaca al-Quran dan bersembahyang.

Ujian paling getir yang dihadapi oleh Fandi ialah apabila Haji Romli meletakkan syarat kepada Fandi supaya menguasai ilmu ikhlas sebelum dapat memperisterikan Sarah. Dalam masa yang sama, Haji Romli telah pun memilih untuk bermenantukan seorang anak kepada rakannya yang belajar dalam bidang agama di Mesir walaupun Fandi sudah pandai bersembahyang dan membaca al-Quran. Ketika ini Sarah juga sudah mula menaruh hati kepada Fandi. Kerana patuh dengan orang tua, Sarah pasrah dengan keputusan bapanya itu tetapi meletakkan syarat supaya sesiapa pun yang bakal menjadi suaminya perlu menguasai ilmu ikhlas bukan hanya Fandi sahaja. Akhirnya, dengan segala susah payah walaupun kecewa dengan keputusan tersebut Fandi tetap reda dengan qada dan qadar Tuhan.

Fandi bertemu muka dengan Haji Romli dan menyatakan kesyukurannya dipertemukan dengan Sarah dan Haji Romli. Walaupun dia tidak dapat memiliki Sarah tetapi kerana Sarah dia berjaya menguasai ilmu asas agama, kerana Sarah juga lah keluarga dan rakan-rakan Fandi menemukan cahaya Islam dan mula mempraktikkan agama dalam kehidupan seharian. Fandi menyatakan bahawa dia akan rasa berbahagia jika melihat Sarah berbahagia. Melihatkan Fandi yang begitu ikhlas walaupun niat asalnya untuk memiliki Sarah tidak kesampaian, Haji Romli terus berubah fikiran dan bersetuju menjadikan Fandi sebagai bakal menantunya. Filem berunsurkan dakwah ini perlu diperbanyakkan lagi pada masa kini masa-masa akan datang kerana ia berupaya menjadi medan dalam memperbaiki sahsiah umat. Apa pandangan anda tentang filem Kiamat Sudah Dekat ini?

Read more...

Wednesday, September 26, 2007

Mari mengaji al-Quran

Alangkah eloknya kalau bacaan al-Quran menjadi sumber hiburan kita. Ia mampu membuatkan jiwa kita tenang. Al-Quran sebagai kitab panduan bagi umat manusia sejagat diturunkan adalah sebagai sumber utama rujukan bagi manusia dalam menjalani kehidupan. Terdapat pelbagai kelebihan membaca al-Quran. Di sini dinyatakan beberapa maksud ayat al-Quran dan al-Hadis sebagai motivasi bagi kita semua supaya menjadikan tilawah al-Quran sebagai halwa lidah dalam kehidupan:

Firman Allah S.W.T:

Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: 2)

Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.
(Surah Al-Isra’: 82)

Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.
(Surah Sad: 29)

Sabda Rasulullah SAW:

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”

Daripada Abu Hurairah r.a berkata:
Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Semoga dengan sedikit peringatan tentang kelebihan membaca al-Quran ini dapat memberikan kita motivasi dan semangat untuk membaca al-Quran. Jika tidak dengan membaca, cukuplah sekadar mendengar, ia juga dijanjikan kebaikan dan pahala untuk kita. Semoga mendapat manfaat...

Read more...

Thursday, September 6, 2007

Realiti TV Dakwah


Secara jujurnya, rancangan realiti tv berunsurkan dakwah ini tidak pernah saya ketahui kewujudannya walaupun ia sudah pun ditayangkan di kaca TV negara seberang, Lativi, sejak bulan Ramadhan tahun 2006. Sebaik sahaja melihat petikan-petikan video rancangan Pildaci (Pemilihan Dai Cilik) di lama web Youtube, jiwa ini berasa begitu kagum dengan kehebatan kanak-kanak Indonesia yang petah menyampaikan ceramah dan berpidato dengan begitu lancar sekali. Gaya mereka begitu bersahaja sehingga kadang-kadang kita lupa bahawa yang sedang bercakap itu hanya seorang kanak-kanak.

Kepetahan mereka berbicara, menyusun kata-kata, kadangkala diiringi dengan ayat-ayat al-Quran dan petikan hadis begitu mengagumkan. Kematangan mereka jelas terserlah pada gaya pengucapan yang berupaya menarik perhatian para penonton. Rata-ratanya penonton terdiri daripada orang yang lebih dewasa berbanding para peserta tersebut. Sebagai contoh, Rajib Faizul Hak yang baru berusia 8 tahun adalah antara peserta termuda dalam rancangan Pildacil. Rajib menyatakan bahawa dia sudah mula belajar berdakwah sejak berusia 4 tahun lagi dan menjadikan Ustaz Jeffry Al Buchori, seorang pendakwah terkemuka Indonesia sebagai idolanya.


Sementara menurut Imas pula, salah seorang peserta perempuan dalam Pildacil menyatakan dia sudah biasa membaca kisah-kisah Nabi sejak kelas 2 SD lagi (Darjah dua lagi). Katanya, menghafal teks ucapan bukannya satu perkara yang sukar. Cukup dengan membaca 3 kali sahaja, dia sudah dapat menghafal dan menguasai pengucapannya. ”Yang paling penting adalah cara pembawaan dan isi ceramah perlulah menarik”, tutur Imas yang sudah biasa berceramah dari kampung ke kampung ini.

Rancangan realiti tv dakwah ini turut menampilkan undian SMS bagi menentukan pendakwah cilik mana yang dapat bertahan walaupun juri disediakan. Daripada 11 orang peserta, 3 orang dipilih untuk ke peringkat akhir. Pemenang pertama akan membawa pulang hadiah Rp 25 juta dan pakej ibadah umrah. Naib juara pula memenangi Rp 15 juta berserta trofi. Manakala pemenang tempat ketiga mendapat ganjaran bernilai Rp 10 juta dengan trofi. Juara favorit pula mendapat Rp 5 juta juga dengan trofi.

Dalam hati ini tertanya-tanya, tiadakah kanak-kanak di Malaysia yang mampu melakukan perkara yang sama seperti kanak-kanak Pildacil ini? Jika selama ini kita dihidangkan dengan rancangan realiti tv berbentuk pertandingan nyanyian yang juga melibatkan kanak-kanak seperti Rancangan Bintang Kecil, My Starz dan sebagainya, bilakah lagi rancangan Pildacil versi Malaysia akan menghiasi kaca tv di tanah air tercinta ini?Bersama kita muhasabah diri sempena Ramadhan al-Mubarak yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.


Read more...