Hari ini dalam Hijrah

Friday, May 25, 2007

Puisi Hadhari Bermula




Hadhari Bermula,
Apabila manusia pertama menyatakan:
“Engkaulah sahaja(Ya Allah) yang kami sembah
Engkaulah sahaja(Ya Allah) yang kami mohon pertolongan
Tunjukilah kami jalan yang lurus”.

Telah datang kepada kita cahaya kebenaran ilahi
Telah turun kepada kita kitab suci yang jelas nyata kebenaran
al-Quran itulah menunjukkan jalan-jalan keselamatan
Jalan kesejahteraan

Allah telah menetapkan hukumnya
Tidak akan terubah nasib satu bangsa yang hanya pandai berzikir
Mengumat ngamitkan doa tanpa usaha
Kerana Allah telah menetapkan hukumnya
Bangsa itu mesti mengubah apa yang ada pada diri mereka


Lalu Allah berfirman:

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta
Dia mencipta manusia dari air mani menjadi sebuku darah beku
Bacalah dan Tuhanmu yang amat Pemurah
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
Yang mengajarkan manusia apa yang dia tidak tahu
Yang memuliakan kajian dan penyelidikan

Menjejak kaki ke bumi
Adam merasa terhina oleh binatang buas yang menyindirnya
Tanpa seurat benang di tubuhnya
Alam tabi`i semua turut sinis dengan diri yang tanpa apa-apa
Adam terasa lapar dahaga yang amat sangat


Dia lari ke gua yang gelap pekat tanpa cahaya
Memikir tentang diri yang
menempuh bahaya
Seluruh persekitaran memusuhi diri kerdil tak bermaya
Dia pun tidak tahu apa yang boleh menangkis segala yang akan tiba
Lalu insan kerdil bernama Adam itu mendongak ke langit
Dilihatnya beburung berterbangan
Dilihatnya di air ikan-ikan berenang keriangan
Di bumi binatang buas berkeliaran
Adam merasakan diri dalam ancaman tiada keselamatan
Cemburunya pada haiwan yang lemah pun ada tempat berteduh
Ada simpanan makanan
Tanpa ada ketakutan
Adam merasa diri penuh kehinaan
Lalu dia mengangkat tangan memohon restu pada Tuhan
Allah pun memberikan kepadanya arahan firman:
“Wahai lelaki,aku berikan kamu akal dan tangan
Aku berikan kamu bumi dan zaman
Pergilah kamu, kerjakan apa yang beburung lakukan
Menyelamlah kamu, seperti ikan-ikan penuh kebebasan “.

Adam terasa kembali semula segala kekuatan ego dirinya
Dia punya kudrat dan dia punya iradat kemahuan
Terbuka di depan mata kehidupan yang punyai matlamat jangka panjang
Mentari terus memancar di atas ubun-ubun kepala
Adam bertekad menempuh hari muka penuh ceria
Akan dibinanya
Tamadun tinggi di huni anak cucunya
Membangun sebuah hadarah gemilang bani Insan
Ada tauhid ada akhlak dan moral tinggi
Ada lebuhraya ada bangunan pencakar langit
Dan manusia menikmati satu kehidupan
Aman tanpa keganasan
Selamat tanpa penyangak pengkhianat
Sebuah daerah dunia aman makmur dan sejahtera
.
Read more...

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

  • Pendahuluan

  • Hampir seribu tahun yang lampau, Ibn Khaldun melalui kitabnya “Muqaddimah” menyatakan dalam fasal ketiga daripada bab V1”Semakin banyak ilmu apabila makin maju pembangunan dan hadharah”. Dalam fasal tersebut beliau menyatakan kota-kota Baghdad, Cordova, Qayrawan, Basrah, Kufah tetekala maju pembangunannya maka pengajaran dan pembelajaran ilmu semakin meluas. Tetapi apabila Bandar-bandar itu bertambah mundur maka aktiviti keilmuan semakin berkuarangan. Justeru itu pada zaman Ibn Khaldun ilmu semakin berkembang pula ke kota Kaherah sehingga ia menjadi tumpuan para pencinta ilmu dari Iraq dan Morocco.[1]

  • Demikian gambaran ringkas betapa aktiviti keilmuan menjadi pemangkin kemajuan sesebuah bangsa dan umat itu. Di Malaysia juga jika dibuat perbandingan pada zaman sebelum kemerdekaan dan selepas 40 tahun mencapai kemerdekaan bagaimana diperlihat perbezaan dalam aktiviti ilmu tahun lima puluhan dan enam puluhan dengan tahun 2006 amatlah jauh sekali. Dari masyarakat yang buta huruf,buta teknologi malah buta agama ia bertukar menjadi masyarakat yang celik huruf, celik sains dan teknologi malah celik agama. Pada masa kini Malaysia terkenal sebuah Negara yang cukup membangun sehingga menjadi tumpuan banyak Negara dunia ketiga termasuk pelajar-pelajar Arab yang dating belajar mengenai ilmu Islam di UIA,UKM dan UM hatta dalam bidang pelajaran usuluddin,Syariah, pada peringkat sarjana dan kedoktoran falsafah.

  • Seruan Islam Kepada Pembelajaran

  • Buka sahaja kitab Ihya Ulumiddin terdapat didalamnya satu bab mengenai Ilmu di mana terkandung di dalam beberapa fasal mengenai kelebihan ilmu,kelebihan mengajar dan kelebihan belajar. Kelebihan ilmu digambarkan melalui kelebihan mereka yang berilmu berbanding dengan mereka yang tidak berilmu,malah dinyatakan orang berilmu lebih merasai takut kepada Allah berbanding dengan mereka kurang berilmu.[2]

  • Adapun kelebihan belajar disebutkan tentang hadith daripada riwayat Muslim menyebut”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. Bagi orang Islam syurga adalah ganjaran paling tertinggi dan paling dikehendaki. Maka mereka yang berlajar ilmu sebelum mendapat ganjaran akhirat di dunia lagi dijanjikan dengan janji” sentiasa mendapat perlindungan sayap malaikat kerana redha dengan apa yang mereka lakukan”. Malah kelebihan belajar ini diperkukuh dengan hadith riwayat Ibn Abdul Barr dan Ibn Majah “Belajar satu bab daripada ilmu lebih baik dari sembahyang (sunat) seratus rakaat”.[3]

  • Walaupun sanadnya daif,tetapi dorongan belajar ke mana-mana saja tetap masyhur hingga belajar ke negeri China. Orang Islam dituntut belajar,malah ia merupakan satu fardu dan kewajipan “Talabul `ilmi faridhatun `ala kulli muslim”.
  • Justeru itu dinyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan ilmu sama ada penyoal (murid), guru, pendengar dan mereka yang cintakan ilmu dan ahli ilmu akan ganjaran dari Allah s.w.t. Masing-masing pihak akan terus mendapat kebaikan dan oleh itu mereka yang jahil tidak harus berkekalan dalam kejahilan dan mereka yang tahu tidak harus kedekut dengan sedikit sebanyak ilmu yang ada pada mereka.

  • Islam sejak awal-awal lagi menyatakan bahwa belajar ilmu itu wajib berterusan dari buaian sampai ke liang lahad. Abu Zar meriwayatkan “menghadiri majlis ilmu seorang alim lebih baik daripada bersembahyang (sunat) seribu rakaat, menziarahi seribu orang pesakit, dan menghadiri pengkebumian seribu jenazah” Malah ditanyakan kepada nabi”hatta lebih baik daripada membaca al-Quran”?. Lalu nabi menjawab” Apa faedahnya al-Quran jika tidak berilmu”.[4]

  • Dari keterangan Imam al-Ghazali ini ternayata bahawa pembelajaran ilmu satu aktiviti sepanjang hayat tanpa henti dan tidak terikat oleh usia dan umur. Ibn Khaldun membahagikan pula ilmu itu sama ada ilmu naqli atau ilmu aqli. Ilmu naqli merujuk kepada ilmu yang datangnya dari syarak sama ada dari al-Quran mahu pun al-Sunnah. Sementara ilmu aqli pula ialah ilmu yang dijana oleh pemikiran manusia sehingga dapat membezakan antara yang baik dan buruk.[5]

  • Dalam istilah biasa dikenali dengan ilmu fardhu `ain dan ilmu fardhu kifayah. Dalam bahasa baru diperkenalkan pula istilah ilmu pertama sebagai ilmu menyusun diri sendiri dan keduanya ilmu menyusun sistem masyarakat. Apa pun istilah yang dipakai ilmu itu terlalu banyak untuk dipelajari,lantas Imam al-Ghazali sekali lagi mengingatkan kita pandai-pandai mendapatkan ilmu yang bermanfaat dan jangan habiskan masa dengan ilmu yang tidak bermanfaat. Imam al-Ghazali memperkenalkan ilmu mahmudah dan ilmu madhmumah.

  • Keutamaan Ilmu berbanding Dengan Amalan

  • Ulama semasa tersohor Dr Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan kita melalui bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat bahawa ilmu hendaklah didahulukan daripada beramal. Ini bersandarkan maksud sabda nabi:”Ilmu itu imam,amalan itu pengikutnya”. Justeru ilmu menjadi syarat bagi amalan dan perkataan yang betul. Imam Bukhari menyatakan Amalan tidak bermanfaat tanpa ilmu. Malah nabi sendiri mengatakan “Barangsiapa yang akan diberikan kebaikan oleh Allah,nescaya diberikan kepadanya kefahaman mendalam dalam agama”.

  • Dalil paling kuat tentang kelebihan ilmu apabila”Iqra`” ayat pertama diturunkan.Sedangkan membaca adalah anak kunci kepada ilmu. Kemudian baru turun ayat supaya beramal melalui surah al-Muddathir” Wahai orang yang berselimut,bangunlah! Dan beri khabar (amaran)…”

  • Melalui ilmu manusia dapat membezakan antara haq dengan batil dalam akidah,melalui ilmu dikenali mana yang sunnah dan mana yang bidaah,mana yang soheh dan mana yang fasad dalam mualamat. Ilmu juga memberitahu mana yang halal dan mana yang haram.Malah mana yang boleh diterima dan mana yang patut ditolak. Kesemuanya berteraskan ilmu.[6]

  • Memandangkan besarnya pengaruh dan kesan ilmu,benarlah kata Sayyidina Umar IbnAbdul Aziz” Mereka yang beramal tanpa berasaskan ilmu,keburukannya lebih banyak daripada kebaikan”. Malah dalam realiti pun, ramai mereka yang beramal tidak kurang ikhlas,taqwa dan bersemangatnya mereka, tetapi apa yang mereka kurang adalah ilmu. Inilah yang dikatakan terjadi kepada golongan Khawarij yang menentang Sayyidina `Ali k.w.,sehingga sanggup membunuh mereka yang sesama agama.[7]

  • Keutamaan Memahami Islam Yang Menyeluruh

  • Pada zaman ini secara khusus pembelajaran berterusan amat diperluaskan kerana umat Islam mengalami krisis tidak dapat memahami metodologi yang betul dan bagaimana berinteraksi dengan metodologi yang betul itu. Bagaimana membumikan ajaran Islam kea lam reality dalam semua sector masyarakat daripada kebudayaan,pendidikan,seni,sastera sampailah kepada kehidupan harian.[8]

  • Memang senang dengan mengatakan rujukan kita al-Quran dan al-Sunnah,tetapi dalam pelaksanaan tidaklah semudah itu.Umat Islam semacam menjadi bumi gersang yang tidak dapat memanfaatkan ajaran Islam untuk mengendalikan kehidupan kerana tidak dapat memahami Islam yang menyeluruh itu. Atau dengan kata lain,kita gagal memahami Islam secara praktikal yang dicernakan dalam bentuk program sehingga ajaran Islam terkial-kial dalam bentuk retorik dan ucapan khutbah,tetapi gagal beroperasi.

  • Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kaedah nabi membawa perubahan ke atas masyarakat masih jauh daripada difahami jangkauan dan dimensinya, masih belum difahami mana yang tetap dan mana yang anjal atau fleksibelnya, fasa-fasa pelaksanaanya…Malah ketidak fahaman ini kadangkala menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam.

  • Justeru itu,ilmu harus diteroka sepanjang masa,secara berterusan kerana masih banyak yang kita tidak faham daripada yang kita faham. Isu-isu remeh pun kadangkala belum mencapai kata sepakat. Misalnya apakah rokok itu halal atau haram? Justeru ia tidak boleh diputuskan secara individu tetapi ia perlu dibincang bersama bukan sahaja para ulama tetapi juga pakar dalam berbagai disiplin.

  • Dari pembelajaran umum kepada pembelajaran kepada pengkhususan, dari rujukan biasa kepada rujukan terpilih, malah memahami mana yang menjadi matlamat dan mana pula yang menjadi sekadar wasilah dan pendekatan. Harus difahami mana yang berbentuk prinsip mana pula yang berupa program..Justeru itu banyak perkara yang baik tetapi kerana berfikir terlalu simple banyak perkara boleh menguntungkan umat Islam ditolak begitu sahaja. Akhrnya, kekuarangan ilmu menyebabkan umat lebih terdedah kepada perpecahan sesame sendiri daripada menuju kepada perpaduan. Apa lagi diharap dari satu umat yang tidak pernah bersatu. Al Quran memberikan jawapan,lemah,hancur dan musnah.

  • Pendidikan Teras Pembangunan Tamadun Alternatif

  • Dalam merealisasikan kemunculan semula tamadun Islam masa kini dengan berbagai pendekatan termasuk pendekatan hadhari, Ilmu menjadi senjata yang ampuh.Tanpa menafikan perlunya urus tadbir organisasi dan system,tetapi urusan membina manusia adalah harus diberikan keutamaan. Justeru Allah mengingatkan”Allah tidak akan merobah mana-mana kaum sehingga mereka sendiri merobah diri mereka”-[9]. Ia bermula dengan individu yang menjadi batu-bata binaan masyarakat.

  • Pendidikan menjadi teras utama dan inilah jua yang dilakukan oleh para anbiya` dan mursalin. Mereka dibina keimanan dengan akidah yang betul. Di perbetulkan pandangan hidup (world-view) mereka terhadap alam dan manusia,tentang hidup dan Tuhan. Tahu akan matlamat dan misi kehidupan. Iman lah yang akan memberi jawapan yang mencukupi untuk banyak persoalan yang timbul.

  • Kita harus bermula dengan dengan jalan yang betul yang dipohon setiap hari al-Sirat al-mustaqim. Pembinaan yang hakiki,bukan bentuk luaran sahaja. Membina akal dengan ilmu dan roh dengan kerohanian. Membina secara seimbang melalui ibadah,budaya,akhlak dan sebagainya. Kesemuanya itu memerlukan pembelajaran yang berterusan.

  • Ilmu Tentang Musuh

  • Kadangkala dalam keghairahan membina diri kita terlupa orang lain juga sedang merancang untuk memusnahkan kita. Di depan kita banyak golongan yang memusuhi daripada golongan tidak beragama hingga kepada orientalisme yang menyerang kita kiri dan kanan,depan dan belakang. Mereka menyerang akidah, syariah,turath dan tamadun kita. Malah musuh dalam pun tidak kurang hebat yang berupa khurafat dan bidaah,jumud dan taqlid malah berbagai lagi.

  • Ini membuktikan lagi perlu kepada pembelajaran yang berterusan kerana masih banyak perkara yang belum difahami. Ada pula golongan yang keras dalam agama,bersangka buruk kepada semua orang kecuali dirinya sendiri sahaja yang benar. Mereka yang ufuk pemikiran terlalu sempit,mereka yang terlalu gopoh ingin memetik buah sebelum masak,golongan yang suka mengkafirkan orang lain oleh sebab yang kecil.

  • Pembelajaran berterusan harus memberi panduan tentang kesederhanaan islam yang tulin yang digambar oleh al-Quran sebagai “ ummatan wasatan” di mana antara cirinya:

  • Memahami agama secara syumul dan mendalam serta seimbang
  • Memahami realiti semasa tanpa memandang remeh kekeuatan musuh dan tahu kekuatan diri
  • Berfikiran saintifik hatta hokum alam dan hokum social
  • Memahami maqasid syari`ah dan tidak jumud dengan teks agama
  • Memahami keutamaan dalam kehidupan
  • Malah banyak unsur-unsur lain lagi[10]

  • Pembelajaran berterusan diperlukan supaya aliran wasat ini memimpin secara berkesan. Aliran yang mampu menolak aliran melampau (ifrat) dan longgar agama(tafrit). Kita sebenarnya masih bermusuh sesama sendiri dengan orang Islam yang menganut fikiran asing,mengaku diri berfaham liberal Barat.

  • Penutup

  • Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi dan praktis para ulama lampau, Ilmu perlu dicari secara berterusan bagi memperkasa diri dengan persiapan dalaman dan luaran,menjadikan diri kukuh dan utuh pengetahuan,akhlak,budaya dan sahsiah sehingga mampu menjadi mercu yang dapat dijadikan pedoman dan mampu menagkis segala helah lawan.

  • Tanpa keilmuan bukan sahaja kita gagal untuk memimpin bangsa lain malah kita akan kalah di tanah air sendiri dan terpenjara oleh kejahilan,was-was dan permusuhan sesama sendiri,malah kecundang dalam realiti globalisasi masa kini. Wallahu a`lam
[1] Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, Kaherah,t.t.hlm.434-435.
[2] Al-Ghazali,Ihya` Ulum al-Din, Jilid l,hlm.5-8.
[3] Ibid.
[4] Ibid.hlm 9.
[5] Ibn Khaldun,op.cit.hlm 435
[6] Al-Qaradhawi,Fi Fiqh al-Awlawiyyat:Dirasah Jadidah fi Dhaw` al-Quran wa al-Sunnah, Maktabah wahbah,Kaherah,hlm57-58.
[7] Ibid.59
[8] Barghouth Abdul Aziz Mubarak,al-Manhaj al-Nabawi wa al-Taghyir al-Hadari,Kitab al-Ummah,Qatar,1995,hlm.13.
[9] Al-Quran,al-Ra`d:11
[10] Sila rujuk,al-Qaradhawi,hlm.220-223.
Read more...