Hari ini dalam Hijrah

Thursday, July 3, 2008

HIDUP LUAR ZAMAN

Soalan: Kenapa masyarakat kita masih berselisih faham tentang banyak isu. Ada pihak yang cuba membawa fahaman Syiah ke tengah masyarakat Ahli Sunnah di Malaysia. Ada pula pihak yang cuba menawarkan mazhab lain di tengah-tengah masyarakat Melayu yang bermazhab Shafi`i. Keadaan ini semua mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh. Apa akan jadi kepada bangsa kita pada masa akan datang?

Muslim Perihatin, Kuala Lumpur.

Jawapan: Saya berpendapat pertamanya, kita semua harus memahami Al-Quran dan al-Sunnah menjadi pegangan asas kita. Kita tidak perlu berselisih faham tentang akidah dan pegangan pokok kita seperti yang sudah dimaklumi tersebut dalam rukun iman dan rukun Islam. Jangan ada pihak yang mempersoalkan pegangan kita kepada prinsip-prinsip syari`ah dan asas-asas akhlak yang sudah diterima pakai.

Malah jangan sama sekali kita bertikai pendapat dalam perkara hukum yang sudah tetap dalam al-Quran. Umpamanya, isu poligami dibolehkan, soal pembahagaian pusaka yang sudah ditetapkan. Baki lagi, bagaimana kita patut melaksanakan dengan baik, agar tidak berlaku salah dalam pelaksanaan. Itulah secara umum yang dinamakan perkara asas dan dasar.

Adapun perkara perincian, khususnya dalam perkara furu` dan cabang, sememangnya Islam memberikan ruang untuk berbagai mazhab dan berbeza penafsiran. Asalkan sahaja tidak ada perasaan fanatik kepada pihak-pihak tertentu.


Namun harus difahami, daripada segi pengurusan setiap tempat dan zaman ada pendapat rasmi, apa yang kita sebut sebagai mazhab rasmi. Di mana setiap orang perlu mematuhi peraturan malah hukum dan fatwa rasmi agar tidak menjadi haru-biru dari segi kehidupan bersosial.

Di Iran, mereka berpegang kepada mazhab Syi`ah. Di Arab Saudi pula mereka memakai mazhab Hambali. Di Malaysia malah Nusantara atau Alam Melayu sejak zaman berzaman kita berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Jika kita semua berpegang kepada keadaan ini, tidaklah menjadi kelamkabut dan bermasalah.

Seperti persoalan yang dikemukakan di atas, sekarang seperti timbul kecenderungan di negara ini cuba dilontarkan dengan berbagai pemikiran baru. Bagi mereka yang mempunyai asas yang cukup kuat, merek faham dan boleh menghadapi keadaan ini. Namun bagi orang ramai, perkara seperti ini menjadi satu kekacauan dalam pegangan mereka. Di sini para pendakwah atau ulama harus lebih berhati-hati, agar jangan terjadi yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Nanti akan timbul masyarakat awam yang bukan sahaja keliru malah menolak kesemua mazhab yang ada, malah mereka akhirnya tidak melaksanakan perkara-perkara asas agama pun.

Punca Masalah

Menurut Muhammad S. Al-Ewwa, isu yang membelit umat Islam masa kini dan golongan yang bekerja untuk Islam ini adalah mereka berkerja dalam kerangka di luar zaman.Maksudnya, mereka mengambil berat dengan isu lama yang tidak akan ada penghujungnya, selama mana manusia akan berbeza daripada segi kefahaman dan kedalaman ilmu yang berbeza.

Sampai hari kiamat pun isu-isu yang dibangkitkan tidak akan selesai sampai bila-bila. Mana mungkin kita boleh memaksa orang menjadi satu fikiran. Apa yang mustahak, kita harus kembali kepada isu-isu semasa pada zaman ini. Isu masa kini bukan isu fekah yang utama-meskipun ia amat penting, atau isu akidah dan isu sejarah yang lama itu.

Isu semasa yang perlu ditangani adalah bagaimana penguasaan tamadun lain ke atas diri kita umat Islam. Barat dengan segala kekuatan dan kekayaan yang diwakili Amerika dan Eropah, mereka sedang mempengaruhi semua segi kehidupan generasi kita pada hari ini..

Mereka berada pada puncak di mana semuanya harus sama dengan kemahuan mereka sehingga selera makan dan selera muzik pun mahu dipaksakan kepada seluruh bangsa di dunia termasuk umat Islam. Kata Muhamad al-Ewwa, tamadun barat berusaha mematikan semua tamadun lain, atau tamadun lain itu setidak-tidaknya, terkepung dan paling tidak mereka kekal dalam kemunduran.

Persoalan masa kini lebih mendalam, di mana segala ketenangan dan kebahagiaan yang kita kecapi selama ini, hasil pegangan kita kepada agama dan budaya, pegangan kita kepada keluarga mahu dilonggarkan, malah beberapa sistem yang sedia ada mahu diporak perandakan. Dan kesemua keadaan yang ada mahu dirampas daripada kehidupan kita, tanpa lagi mengira dia Syiah, atau Wahabi atau Ahli Sunnah wal Jamaah malah apa pegangan aliran berfikir mereka. Kita semua diharap berkiblat kepada kebendaan dan materialisme. Ini punca yang patut disedari oleh mereka yang suka mencari perbezaan lebih daripada mencari permuafakatan.

Lihat sahaja sekarang ini, pada setiap iklan disogok kepada publik dengan makanan dan minuman tertentu supaya nantinya kecapan rasa akan menjadi satu, fesyen pakaian yang serupa yang nantinya akan pupus segala perbezaan daripasda segi kepelbagaian. Pakaian kebangsaan atau fesyen warisan yang diwarisi turun temurun semakin berkurangan penggunaannya.. Akhirnya, walau pun berbagai bangsa dan agama di Malaysia akan mempunyai satu rasa dan satu fesyen: Berpakaian T-shirt, dan minuman berbotol/ minuman dalam ten, yang berjenama satu sahaja......

Apa yang menjadi masalah kita hanyalah menjadi pengguna produk itu, bukan pencipta produk. Kita menjadi pengimpot makanan dan minuman itu hingga kepada budatya dan bersifat tamadun, bukan kita pencipta tamadun. Dengan bahasa yang agak keras, akhirnya kita akan menjadi bangsa ”kera” yang meniru apa yang orang lain buat tanpa mengira betul atau salah. Contohnya terlalu banyak untuk diungkapkan di depan mata kita pada setiap hari.

Umat Islam justeru itu, diseru untuk hidup meneliti perkembangan zaman ini dan jangan lagi hidup di luar zaman, seolah-olah kita hidup dalam zaman keemasan pemerintahan khalifah Islam masa lampau, di mana kita ada masa untuk berbincang dan berbahas dengan isu-isu remeh temeh dan perkara pokok yang sebenarnya kita abaikan
.
Pada zaman dahulu, penguasaan itu didatangkan dari atas ke bawah, dalam bentuk peperangan melalui tentera atau tokoh politik. Tetapi pada hari ini penguasaan budaya asing ke atas diri umat kita didatangkan dari bawah: kita dipaksa oleh anak-anak kita, anak kaum buruh dan anak pegawai kerajaan, anak tentera dan anak menteri, supaya kita semua makan satu jenis makanan, memakai satu jenis pakaian dan mempunyai cara hidup yang sama hatta minum di warung kopi asing.

Jadi apalah maknanya perbahasan remeh temeh antara sesama kita lagi. Antara selawat kuat dan selawat senyap, antara wirid beramai-ramai dan wirid individu.

Manakah isu yang lebih membelit diri kita, selain dari penguasaan tamadun asing itu. Bilkah kita akan bertukar kepada bagaimana yang sepatutnya kita mencorakkan tamadun dunia. Apakah kemampunan kita untuk menawarkan tamadun dan budaya yang lebih unggul dan hebat.

Tamadun pada hari ini yang ada adalah sepenuhnya tamadun kebendaan. Orang hanya bercakap tentang dolar dan ringgit. Hatta untuk membaca doa pun mengharap upah dan imbuhan. Sudah hilang warisan lama yang bernama gotong royong dan kesukarelawan dan seumpamanya. Malah tamadun yang tidak berminat lagi kepada semua nilai agama, baik Islam, kristian atau agama apa sahaja. Apa sahaja jenis kehidupabn beragama dianggap menjadi ancaman kepada mereka, iaitu tamadun kebendaan.


Oleh itu kita mengajak semua mereka yang terlibat dan bersibuk dengan isu-isu di atas untuk kembali meletakkan diri kita pada ”harga” yang sebenarnya. Kita jangan terikut-ikut dengan ” harga” seseorang itu adalah dikira berapa wang yang dia atau atau dia punya, tetapi meletakkan ”harga” pada sejauah mana kita dapat meletakkan ”harga” diri kita pada dimensi tamadun dunia yang sedang bergolak. Bukan terikut-ikut dengan ”harga” yang ditetap oleh neraca perkiraan neraca materialisme. Wallahu a`lam.








(23)

DAHULUKAN KEBEBASAN
Soalan: Menarik perhatian saya perbezaan pandangan antara pendukung mereka yang ingin menegakkan Negara Islam terlebih dahuludengan mereka yang mengutamakan soal lain seperti keadilan atau kebebasan atau ekonomi. Apakah keutamaan di Malaysia. Sedangkan pihak kerajaan mempertingkatkan integriti, kebebasan kehakiman dan penghapusan rasuah?

Peminat politik, Kuala Krai. Kelantan.

Jawapan: Persoalan yang ditimbulkan amat menarik untuk diperbincangkan. Saya memberi jawapan ini berbandang dengan beberapa soalan lain yang dipertanyakan.

Isu ini menyentuh politik dan perkembangan semasa di tanah air. Malah menjadi perdebatan juga di luar negara. Ruangan ini bagi saya lebih berfaedah membincangkan isu-isu semasa masyarakat sebegini daripada beberapa soalan yang lebih banyak menyentuh hal-hal peribadi dan hukum hakam yang sudah banyak terdapat dalam ruangan lain di akhbar mahu pun di majalah.

Dalam beberapa perbincangan di luar negara pun orang masih terus menerus membincangkannya; manakah yang patut dan lebih baik didahulukan antara strategi pelaksanaan syariah secara menyeluruh atau memperjuangkan isu-isu universal terlebih dahulu seperti soal kebebasan, keadilan sosial atau nilai-nilai yang didukung secara langsung atau tidak langsung oleh syariah Islam. Soalan ini menjadi lebih releven dengan persekitaran negara seperti negara malaysia yang bersifat majmuk.

Pandangan beberapa tokoh pemikir Islam ada tiga jawapan terhadap soalan yang diutarakan oleh saudara penanya. Jawapan bagi soalan tersebut. Pendapat pertama: Pihak yang mengatakan pelaksanaan syariah patut diutamakan. Justeru alasan mereka, dengan terlaksananya syariah secara konfrehensif dengan sendiri nya akan wujudlah nilai kebaikan yang lain seperti kebebasan, keadilan dan berbagai nilai-nilai yang baik.

Pihak kedua yang agak lebih praktikal berpendapat bahwa dalam situasi masa kini, kebebasan, keadilan dan seumpamanya sebagai nilai universal patut didahulukan kerana apabila ada nilai-nilai ini benar-benar wujud dan berfungsi akan mempercepatkan lagi pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu pun, kata golongan ini diserukan agar manusia melakukan keadilan dan berbuat baik (ihsan). Malah kata tokoh pemikir Islam Fathi Yakan, anutan agama harus melalui pilihan bukan paksaan dan kebebasan yang diperjuangkan, bukannya paksaan. Malah kebebasan lah yang menuju ke arah praktikaliti pelaksanaan keislaman. Tanpa kebebasan segala-galanya tidak menjadi.

Pandangan ini dikongsi sama oleh Fahmi Huwaidi seorang lagi pemikir Islam Mesir, di mana beliau menganggap dengan adanya kebebsan berpolitik dan pemerintahan yang demokratik akan lebih cepat menuju kepada pelaksanaa Islam yang sebenar.

Abdul Mun`im Abu Futuh, seorang tokoh gerakan Islam yang menonjol dewasa ini bersama Syeikh Yusuf al-Qaradawi ulama terkenal Dunia Islam termasuk kumpulan ini di mana mereka menyatakan kebebasan lah yang diperlukan lebih awal dalam situasi sekarang. Tanpa kebebasan rakyat akan merasakan keberagamaan mereka secara terpaksa dan dikawal. Roh Islam itu sendiri adalah inginkan kebebasan, bukannya paksaan. Tanya mereka, bagaimana kita memaksa masyarakat menerima Islam tanpa mereka terlebih dahulu memahaminya dengan baik. Bukankah kebebasan itu pembuka jalan kepada pelaksanaan Islam?,sambung mereka lagi
.
Dr Yunus, bekas Dekan Fakulti Syariah di Gaza, menyatakan bahwa menuntut kebebasan adalah lebih utama dari menuntut pelaksanaan syariah, justeru kebebasan beriman itu satu daripada cabang akidah yang diberikan keutamaan.

Syekh Faisal Maulawi daripada lembaga fatwa Eropah selanjutnya mewakili kumpulan ketiga mengatakan, sebenarnya tidak patut timbul mana yang lebih utama, justeru kedua-duanya berkait rapat. Apa yang jelas, kebebasan adalah fitrah manusia. Sedangkan syariat juga satu kewajipan bagi manusia yang beriman selepas mereka cukup umur baligh .Syariah Islam satu juzuk daripada agama Islam secara keseluruhannya. Jadi kebebasan yang dituntut bukanlah kebebasan mutlak seperti yang difahami oleh faham liberalisme di Barat, tetapi bagi orang Islam kebebasan yang berjalan menurut disiplin dan mematuhi kehendak syariat Islam.

Kebebasan dan pelaksanaan syariah dua perkara yang sama beriringan di antara satu sama lain di mana kebebasan menjadi satu bahagian daripada pelaksanaan Islam yang menyeluruh.

Jelasnya, para pemikir Islam umumnya berpendapat tidak akan berlaku pelaksanaan syariah yang sebenar tanpa ada kebebasan yang menghormati kemuliaan manusia untuk hidup bebas, bebas bersuara dan bertindak, asalkan tidak mengancam pihak lain atau mengganggu masyarakat awam.

Apa yang pasti kata Muhamad Salem Al-Ewa seorang lagi pemikir Islam kontemporari, Islam tidak berjalan dengan baik dalam satu pemerintahan kuku besi, atau pemerintahan yang zalim, malah Islam tidak akan maju dalam masyarakat yang para ulamanya hanya memberikan fatwa mengikut selera pemerintah sahaja atau sekadar pembodek dengan meninggalkan perintah Allah dan tidak memelihara kepentingan rakyat ramai.

Tidak ada faedahn nya bercakap tentang pelaksanaan Islam dalam negara yang pemerintahnya mengekang kebebasan rakyat. Malah banyak dalam sejarah Islam, di mana nama Islam diperalatkan oleh para pemerintah zalim dan para diktator. Akhirnya ia banyak membawa keburukan kepada nama Islam daripada faedahnya dapat kepada Islam.

Sebenarnya perbincangan seperti ini masih merupakan perbincangan yang terbuka. Ia tidak akan ada kata pemutus kerabna ia menjadi khilaf daripada segi strategi. Demikian lagi dengan banyak isu-isu semasa umat Islam. Namun banyak pihak yang bercakap atas nama Islam selalunya tidak berlapang dada untuk membincangkan isu-isu Islam semasa seperti ini atas alasan kita tidak ada kematangan untuk berbincang.

Justeru itu janganlah dipersempitkan ruang perbincangan jika kita mahu melihat rakyat dan orang ramai lebih faham dengan Islam. Tetapi ia tidaklah pula menafikan memang tidak patut memberikan kebebasan yang mutlak hingga tidak ada lagi disiplin perbincangan sampai mengeruhkan keadaan dan membawa harubiru kepadaa kehidupan bermasyarakat.


Budaya berbincang dan berpolimik patut diperluaskan dalam perkara yang terbuka kepada perdebatan. Di kalangan orang Islam sendiri ramai mereka yang takut kepada perbincangan ini kerana tidak cukup modal untuk melakukannya. Ruang-ruang yang lebih luas harus diberikan kepada metreka yang layak. Hanya harus ada kefahaman, mana perkara yang patut diperdebat dalam ruang terbuka dan ada pula perkara yang hanya patut diperdebat oleh para pakar supaya tidak menimbulkan masalah kepada orang awam yang sukar memahaminya.

Gesaan al-Quran untuk bertanya kepada pakar adalah satu anjuran terbuka agar agar kebebasan intelktual bukan sekadar dibenarkan malah digalakkan. Menutup pintu perbahasan dalam kepompong masing-masing seperti kepompong mazhab juga sudah agak kurang sesuai. Masyarakat sudah menerima konsep-konsep tajdid, ijtihad, reformasi, islah dan perubahan atau beberapa konsep lain yang menjurus kepada kebebasan berfikir yang sebenarnya mendapat pengiktirafan Islam. Ia menjadi lebih relevwen dalam masdyarakat yang lebih terbuka seperti dewasa ini.

Baki lagi, setiap bidang mesti ada kepakaran dan keahlian masing-masing. Bagaimana kepakaran lain perlu dihormati, kepakaran bidang pemikiran Islam juga harus dipelihara agar tidak berlaku pencerobohan dan membawa keadaan lebih berserabut. Wallahua`lam.

















(24) HIDUP BERJIRAN
SOALAN:


Assalamualaikum,
Ustaz,
Saya mempunyai masalah yang telah lama bermain difikiran. Jiran saya membuat rumah hampir -hampir melanggar sempadan dan saya kira terdapat sedikit bahagian yang telah masuk ke sempadan tanah rumah orang tua saya. Bahagian bumbung memang telah melebihi sempadan dan kadang-kadang sampah dari dapur mereka dibuang ke kawasan rumah saya. Hati kecil saya sering mengatakan yang saya tidak menghalalkan seinci pun tanah yang dilanggar oleh jiran saya. Saya bercadang untuk membuat tembok batu bagi menggantikan pagar yang sedia ada yang rosak akibat tingkap yang dibuka oleh jiran saya . Soalan saya adakah jiran saya itu dikira berdosa besar dan bolehkah saya berniat tidak menghalakan apa yang bukan hak jiran saya ? Setiap malam apabila tidur saya cuba untuk memaafkan semua orang muslimin muslimat tetapi apabila mengenangkan jiran yang tidak peduli soal kejiranan ini hati saya semakin sakit tambahan pula orang tua saya tinggal berkeseorangan dikampung. Harap ustaz dapat beri panduan. Ingin Tahu.Yassir Lutfi
Jawapan: Hak berjiran satu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Dalam Islam jiran adalah mereka yang dekat dengan rumah kita. Dalam bahasa klasik disebut, 40 buah rumah ke kanan dank e kiri, 40 ke atas dan 40 ke bawah.
Ukuran ini menjadi releven dengan rumah pangsapuri dan flat pada hari ini. Semua mereka itu adalah jiran anda.


Sebagai jiran kita ada kewajipan dan kita juga ada hak masing-masing. Abdullah Nasih `Ulwan memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami:
(a) Jangan menyakiti jiran
Dasar ini memberi erti tidak boleh melakukan zina, pencurian,mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran. Jadi perbuatan jiran anda itu amatlah salah. Melakukan zina atau pencurian terhadap jiran sepuluh kali ganda lebih buruk dasripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga hadis Bukhari ada menyebut ” Tidak beriman mereka yang menyakiti jiran”.

(b) Memelihar jiran
Setiap daripada kita wajib nmemelihara jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi SAW. Mengingatkan ”Sispa yang memenuhi hajat jirannya, Allah akan memenuhkan hajatnya.”

(c) Berbuat baik kepada jiran. Dengan maksud jika jiran gembira ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka berilah takziah, walau pun bukan seagama. Malah jika mereka sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapa lah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi meletakkan mereka yang menghormati jiran tanda orang beriman.

Sebagai orang yang dekat keperluan kepada jiran melebihi keluarga sendiri. Jika habis air, garam,beras atau keperluan harian yang lain, maka jiran lah tempat mengadu. Jika ada kenduri kendara memerlukan kawasan, mangkuk pinggan, atau pisau, siapa lagi jika bukan jiran.

Sikap dan perbuatan jiran anda bertentangan dengan itu semua. Namun bagi kita pula hendaklah mengambil sikap dasar seterusnya.
(d) Menanggung kejahatan jiran. Kata pepatah Melayu ”Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali”. Memang ikutkan hati yang panah, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan mereka yang membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan paling mulia.

Rasulullah S.A.W bersabda memuji orang yang berlapang dada, mudah memaafkan, memberi kepada enggan berbuat begitu kepada kita malah menghubung silatu rahim dengan mereka yang memutuskan silatu rahim.

Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan perpaduan. Jika ada ruang untuk membaiki keadaan secra baik, itulah jalan paling selamat. Justeru itu kita dituntut memiliki perasaan bersabar dan tidak muda jadi pemarah.

Dalam perkara ini pendidikan sejak awal perlu di mana setiap orang dididik agar tahu dan amalkan sikap berbaik-baik dengan jiran ini.
Read more...