Hari ini dalam Hijrah

Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Saturday, March 15, 2008

Politik Wanita Ada Batasan-Mingguan Malaysia, Bicara Agama, 9 Mac 2008

Oleh Kamil Majid


SOALAN:
Saya seorang saudara baru keturunan India sejak dua tahun. Baru-baru ini saya membaca pandangan prof. mengenai ‘wanita boleh berpolitik’.

Saya mempunyai kemusykilan yang memerlukan penjelasan. Apa yang saya faham, dan mungkin kenyataan saya juga kurang tepat, Allah s.w.t. mengharamkan wanita mendedah aurat seperti rambut dan berfirman dalam al-Quran supaya wanita harus bertudung.

Lelaki dan perempuan dan tidak mahram haram bersentuhan kecuali dalam keadaan yang telah sah dan darurat seperti perubatan dan sebagainya. Tetapi apa yang kita lihat pada pemimpin wanita kita sekarang tidak sama seperti para isteri Nabi dan sahabat- sahabatnya yang pandai menjaga kemuliaan agama Islam.

Adakah berkecimpung dalam politik, bebas bergaul, berjabat tangan dengan lelaki bukan mahram, tidak menutup aurat (perkara asas yang jelas) menyumbang kepada kejayaan agama islam dan mendukung hasrat Nabi kita?

– Nordin, Pulau Pinang.

JAWAPAN:Saya amat terharu membaca surat saudara yang bertanyakan tentang sumbangan orang-orang politik, khususnya ahli politik wanita terhadap agama Islam. Saya juga bersetuju seratus peratus dengan apa yang saudara sebutkan. Justeru, apabila saya berpendapat wanita boleh berpolitik, mereka tidaklah seharusnya melanggar apa yang disyariatkan Allah dari segi pakaian dan menutup aurat, dari segi pergaulan yang bebas yang saya sudah sebut dalam artikel saya sebelum ini.

Pendapat yang saudara berikan, sesungguhnya memperlihatkan saudara, walaupun baru memeluk Islam tetapi lebih memahami daripada mereka yang sudah lama berada dalam agama Islam.

Hanya apa yang ingin saya kongsikan dengan sdr. mengenai mengikuti segala apa yang dilakukan nabi atau isteri-isteri nabi. Memanglah itu yang paling ideal untuk dicapai oleh setiap manusia seperti apa yang dilakukan oleh Ibn Umar yang akan berbuat apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.


Namun setakat apa yang saya faham, apa yang disebut sunah nabi itu walaupun kesemuanya elok dilakukan, tetapi tidak semuanya wajib kita lakukan kerana tidak semua sunah itu merupakan perundangan.

Ambilkan contoh, Rasulullah memakai tongkat di tangannya. Ia tidak semestinya setiap orang mengikuti perbuatan itu. Rasulullah berbuat demikian mungkin sebagai adat kaumnya yang memakai tongkat. Adat orang Malaysia, mungkin bukan begitu. Jadi kita tidak perlu pakai tongkat, tetapi tidak salah bagi mereka yang ingin berbuat demikian.

Demikian juga soal pemakaian, walaupun boleh sesiapa yang ingin memakai serban dan jubah atas alasan pakaian nabi, tetapi syariatnya adalah menutup aurat. Apa sahaja pakaian orang Melayu atau India dan Cina yang dikira menutup aurat, sudah dikira mengikut sunah, kerana sunahnya menutup aurat, bukan jubah dan serban itu.

Penampilan

Bukanlah tujuan saya untuk memperkecilkan penampilan seperti yang ditunjukkan nabi itu atau isteri nabi. Namun penampilan mereka itu adalah penampilan yang cukup sempurna. Ini bukan bererti, jika tidak sebiji dengan Rasulullah atau isteri baginda, kita umatnya tidak mengikut sunah lagi.

Ambilkan contoh lain, berjanggut dan menutup kepala bagi lelaki. Hal ini memang ada hadis menunjukkan ia satu sunah yang baik. Pakaian yang lengkap dan sempurna. Namun dalam beberapa hal ia berkait juga dengan adat dan keadaan setempat.

Mungkin bagi bangsa Arab, menutup kepala dan berjanggut itu pasti bagi mereka. Sebab itu di Arab Saudi mereka menganggap mereka yang tidak berjanggut dan tidak berserban dianggap tidak ikut sunah. Mungkin kerana bukan semua orang Arab itu beragama Islam, untuk membezakannya perlu kepada identiti sendiri.

Isu di sini yang saya nampak adalah soal identiti diri. Orang Islam tanpa mengira lelaki mahupun perempuan perlu menunjukkan identiti keislaman mereka. Mereka tidak seharusnya bergaul atau berpakaian, termasuk orang politik sehingga langsung tidak ada identiti keislamannya.

Oleh sebab itu apabila saya menganjurkan wanita boleh berpolitik, bukanlah bermaksud bebas melakukan apa sahaja, tetapi mereka terikat dengan syariat, adab dan etika Islam dalam semua perkara termasuk berpakaian dan pergaulan.

Cuma saya ingin menekankan sekali lagi di sini, kita umat Islam pada hari ini berada pada dua kutub ekstrem. Ada mereka yang ingin memenjarakan wanita di rumah, malah anehnya sampai sekarang masih ada seruan, melarang wanita ke kubur atau ke masjid atas alasan larangan daripada nabi. Adakah wajar, ketika wanita diizin ke mana sahaja, mereka masih tidak diizin untuk ke masjid? Suasana hari ini juga sudah berubah, sebab keselamatan dan unsur fitnah sudah “clear”. Patutnya wanita digalakkan ke masjid.

Dalam masa yang sama ada satu ekstrem lain iaitu membebaskan wanita tanpa had sehingga tidak ada lagi perbezaan mereka dan orang lain dalam berpakaian, pergaulan atau apa sahaja sehingga tidak wujud lagi satu identiti bagi wanita Islam.

Perkara ini amatlah dikesali, apalagi daripada kepimpinan yang harus menunjukkan contoh teladan yang baik. Wallahualam.

* Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Read more...

Tuesday, March 4, 2008

Fanatik Melampau dan sesat - Mingguan Malaysia - 2 Mac 2008

Fanatik, melampau dan sesat
Bersama:KAMIL MAJID


Soalan: Fanatik agama menjadi satu faktor kepada kesesatan. Bolehkah Prof. terangkan ajaran yang membawa kesesatan itu?


– Lutfi Haron, Kuala Terengganu.


JAWAPAN: Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw dan tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.


Al-Wasat atau al-I’tidal adalah satu paksi yang membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri sederhana - Wasat itu maka umat Islam terdedah kepada tokok tambah atau pengurangan dalam urusan agama. Penambahan atau pengurangan ini menjadi salah satu punca perpecahan. Soalnya, bagaimana satu umat itu boleh maju apa lagi boleh memimpin jika mereka berpecah-belah? Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik, hilang kesederhanaan kerana fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.


Keadaan bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama tarekat atau sebagainya.


Fanatik bermaksud sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian dan biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan taksub. Lawan “fanatik” dan “taksub” ialah toleransi, lapang dada, keluasan fikiran dan kesabaran. Sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah s.w.t. terhadap umat terdahulu khasnya ahl al-kitab. Allah berfirman maksudnya:


Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus. (Surah al-Maidah (5): 77).


Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti dituntut oleh Islam. Allah berfirman maksudnya:


Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah (2): 143).


Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahupun guru atau kumpulan adalah salah satu daripada gejala melampau. Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat daripadanya sebagai jahil, bodoh, fasik dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan.


Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bidaah, kufur dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah, mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.


Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:


Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama.


Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar.... (Riwayat Bukhari dan Nasaai)


Sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah terhadap umat yang dahulu khasnya ahli Kitab. Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz’i. Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu’. Allah memerintahkan hamba-Nya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud firman Allah:


Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang. Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh.


Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri mahupun guru dan kumpulan masing-masing adalah salah satu daripada gejala melampau-lampau. Ia menggambarkan kebekuan fahaman seseorang yang tidak boleh melihat maslahah umum. Sikap begini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain salah. Pihak yang tidak menurut pemikirannya dianggap bodoh, fasik dan derhaka. Keadaan ini, seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai rasul yang maksum dan kata-katanya sebagai sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa semua pendapat boleh diambil dan ditinggalkan kecuali sabda Rasulullah.


Taksub dan fanatik yang dikutuk begini adalah sikap orang-orang yang cuba mengikat pihak lain kepada dirinya dan menafikan peranan orang lain. Ia akan menjadi lebih berbahaya apabila sikap ini dimanifestasikan dalam bentuk tindakan keras dan memaksa, walaupun terdapat keadaan yang memberi kelonggaran atau kelapangan. Contohnya, percubaan mewajibkan sesuatu yang Allah tidak wajibkan, lalu memaksa orang lain mengerjakan amalan-amalan sunat sama seperti menunaikan yang fardu, atau mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.


Dalam medan dakwah, pendekatan keras dan kasar juga tidak wajar digunakan. Malah Rasulullah menyatakan, Allah menyukai sikap lemah lembut dalam segala urusan. Salah satu manifestasi ketaksuban adalah apabila terdapat sesuatu pihak yang mengkafirkan pihak yang lain, kecuali yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka. Gejala ini membawa kepada perbuatan menghalalkan darah dan harta pihak lain kerana pada pandangan mereka, golongan tersebut dianggap murtad dan kufur. Penyakit ini disifatkan oleh Yusuf al- Qaradawi seperti penyakit yang menimpa golongan Khawarij pada zaman awal Islam.


Satu lagi manifestasi ketaksuban adalah sikap memilih pendekatan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang dianggap batil, atau cuba mengubah kemungkaran dengan menggunakan kekuatan senjata. Ia selalunya ditujukan kepada para penguasa yang tidak melaksanakan hukum yang diturunkan Allah, menangguhkan pelaksanaan syariat Islam atau menggantikannya dengan hukum atau undang-undang ciptaan manusia. Ertinya, golongan ini akan melancarkan jihad.


Golongan ini sebenarnya keliru dalam membezakan tugas pemerintah dan tugas individu. Tindakan Abu Bakar memerangi kaum murtad atau mereka yang enggan membayar zakat, merupakan tanggungjawabnya sebagai pemerintah. Sedangkan sebagai individu Muslim, apa yang perlu dilakukan hanyalah melakukan al-amr bi al- ma’ruf wa al-nahy anil munkar, menasihati dalam agama – jika mampu – dengan kaedah-kaedah yang dibolehkan. Taghyir al- munkar bi al-yad atau menggunakan kuasa atau kekuatan untuk mengubah kemungkaran, bukanlah diwajibkan ke atas semua orang. Sebaliknya, ia hanyalah diwajibkan ke atas pihak yang mempunyai kuasa terhadap orang yang di bawahnya, contohnya, kuasa bapa ke atas anak, majikan ke atas pekerja atau pemerintah ke atas rakyatnya.


Sikap taksub kadangkala berlaku sebagai reaksi kepada masyarakat Islam yang membenarkan kemungkaran berleluasa. Dalam erti kata lain, Islam yang ada bercampur dengan kesyirikan akidah, bidaah dalam ibadah. Kejumudan fikiran, mendatar dalam fahaman, mencari yang payah dalam fatwa dan keras dalam pergaulan, juga boleh menyuburkan sikap fanatik. Fenomena lain yang menyuburkan sikap taksub dan fanatik ialah bersikap jumud dalam berfikir, mendatar dalam memahami sesuatu, mencari yang payah dalam berfatwa dan memilih pendekatan dakwah yang mengakibatkan orang awam menjadi liar dan keras dalam pergaulan. Fenomena begini menyebabkan ternafinya tajdid dan ijtihad dalam menetapkan sesuatu hukum. Para ulama hanya tahu mengatakan haram dan bidaah tetapi tidak mampu untuk berijtihad dan meneliti sesuatu ketetapan hukum secara mendalam.


Fenomena ini bolehlah dinamakan sebagai aliran zahiriah baru. Mereka hanya sibuk dengan soal janggut dan serban, mencari pandangan yang berat dalam fatwa, mengharamkan wanita bekerja atau turut serta dalam pengundian pilihan raya dan sebagainya. Semua ini berlaku kerana pemimpin dan guru mereka mempunyai kefahaman yang cetek terhadap persoalan agama yang menyebabkan mereka terdorong untuk menerima pendapat tersebut berasaskan kekurangan ilmu dan kefahaman. Benarlah maksud hadis Rasulullah tentang bahayanya ilmu yang separuh masak.


Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap prasangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum daripada memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil.


Perlu ditekankan di sini, mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya kepada semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya. Wallahualam.


- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
Read more...

Friday, February 29, 2008

Umat Islam wajib mengundi - Mingguan Malaysia 24 Februari 2008

Umat Islam Wajib Mengundi
Oleh: KAMIL MAJID


SOALAN:Ketika pilihan raya umum ke-12 semakin dekat dan rakyat akan membuang undi tidak lama lagi, ada suara sumbang menyatakan mengundi dalam pilihan raya bercanggah dengan roh Islam kerana kata mereka, Islam berbeza daripada demokrasi. Apa pendapat profesor?
– Profesional Keliru,
Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN: Dewasa ini semakin ramai yang keliru apabila bercakap mengenai Islam. Kekeliruan mungkin kerana tidak cukup pengetahuan atau salah mentafsirkan ajaran Islam. Saya cukup bersimpati dengan masyarakat yang terlalu banyak terdedah kepada sumber yang pelbagai. Pada satu keadaan ia baik, jika masyarakat boleh menapis dan menilainya dengan baik. Tetapi ia menjadi negatif, apabila anggota masyarakat tidak cukup alat untuk membuat penilaian.

Bagi menjawab persoalan ini, dalam menilai kedudukan demokrasi, ada beberapa pihak dalam masyarakat Islam iaitu pertama: Mereka yang menolak demokrasi secara total. Kedua, menerima demokrasi tanpa soal. Ketiga: Menerima demokrasi dengan syarat tidak bertentangan dengan Islam.

Golongan pertama, mereka ini menolak demokrasi dengan alasan cukup simplistik. (a) Islam dari Tuhan dan demokrasi daripada manusia. (b) Islam menjalankan hukum Allah, sedangkan demokrasi melaksanakan hukum dan undang-undang manusia. (c) Demokrasi berasaskan suara majoriti, sedangkan tidak setiap pendapat majoriti itu betul. (d) Demokrasi perkara bidaah kerana tidak ada pada zaman nabi dan umat terdahulu. (e) Demokrasi dari Barat yang sekular. Demokrasi itu kufur, kata mereka.

Golongan kedua, mempercayai demokrasi boleh menyelesaikan segala masalah negara, bangsa dengan maksud kebebasan berpolitik, keadilan sosial, ekonomi bebas.

Tanpa syarat mereka inginkan demokrasi di negara ini dilaksanakan seperti di barat, tanpa ikatan keagamaan, mengetepikan akhlak malah tidak percaya kepada nilai-nilai yang telah tetap. Mereka cuba memisahkan sepenuhnya akhlak dan ekonomi, akhlak dan ilmu malah akhlak dan politik. Mereka mahu ikut barat seratus peratus.

Golongan ketiga, majoriti umat Islam yang melihat dalam sistem demokrasi, termasuk sistem pilihan raya, dalamnya ada perkara yang serasi dengan prinsip Islam. Inti pati demokrasi yang serasi dengan Islam seperti, orang ramai memilih pemimpin mereka, mereka tidak dipaksa menerima pemimpin yang mereka tidak menyukainya.

Demokrasi juga menyediakan saluran bagi rakyat memperbetulkan keadaan jika berlaku kesilapan. Dua pendapat terawal jelas terjebak dalam perangkap hitam putih. Malangnya sikap bercelaru antara benar dan salah ini berlaku juga di kalangan mereka yang menganggap diri mereka kuat beragama.

Menganggap demokrasi sepenuhnya buruk, satu sikap yang keterlaluan. Ia menunjukkan kejahilan terhadap makna demokrasi sebenar. Bukankah demokrasi di sesetengah negara dicapai oleh rakyat setelah memakan korban darah dan air mata rakyatnya? Contohnya seperti berlaku di Eropah Timur.

Bukankah sebuah negara demokratik menjadi idaman orang-orang Islam yang diperintah oleh sistem pemerintahan kuku besi? Kenapa sebahagian kaum muslimin menolak demokrasi? Banyak perkara inti pati dalam demokrasi, bukan sahaja tidak bertentangan dengan prinsip kebebasan dan keadilan dalam Islam, malah ia merupakan tuntutan Islam. Munculnya kediktatoran apabila hilangnya suara rakyat yang berani menegur. Diktator muncul bila hilangnya demokrasi.

Sedang Islam menentang sistem yang menzalimi rakyat dengan kekerasan, dan siapa sahaja yang berani menegur akan dihumban ke neraka. Satu sistem di mana mereka yang menjadi pengampu sahaja yang boleh hidup.

Demokrasi sebenar sama dengan Islam, di mana pemimpin selalu mengambil pandangan rakyat bagi mencapai keadilan dan menghormati hak asasi manusia.

Dalam Islam bukanlah menjadi kesalahan mengambil atau meniru mana-mana sistem yang baik. Selagi ia tidak bercanggah dengan nas, atau tidak bertentangan dengan kaedah syarat yang tetap.

Jadi pilihan raya sebagai satu mekanisme memilih pemimpin dalam Islam bolehlah disamakan dengan hukum dan kaedah memberi saksi “syahadah”. Mereka yang berhak bersuara setelah sampai usia 21 tahun, wajib menunaikan tanggungjawab penyaksian itu. Mereka mesti memilih pemimpin yang lebih berupaya, adil dan berkemampuan memimpin. Itu saksi mereka kepada Tuhan.

Memilih

Mereka yang memilih pemimpin yang tidak layak, adalah termasuk orang yang bohong dalam memberikan saksi palsu. Apabila kriteria pemilihan salah kerana calon itu keluarganya atau ada kepentingan diri atau apa- apa sebab lain maka ia menjadi saksi palsu.

Jika kerana tidak mengundi, yakni tidak memberi saksi yang benar, terpilihlah calon yang tidak layak, pengundi yang tidak menjalankan undian itu berdosa. Islam memberikan dua kriteria utama; calon yang kuat dan beramanah.

Jelasnya, inti pati demokrasi seperti disebut al-Qaradawi dalam fatwanya, berserasi dengan prinsip Islam berdasarkan sumber al- Quran dan al-sunah.

Umat Islam yang menerima demokrasi sebenarnya menerima ia sebagai satu bentuk atau kerangka bagi satu sistem pemerintahan. Ia mengandungi cara pemilihan pemimpin, cara berunding, nasihat, amar makruf nahi munkar, menentang kezaliman, menolak maksiat, dan sebagainya.

Apa yang lebih penting jika dapat disebut, mana-mana peraturan yang bercanggah dengan syariat, ia terbatal. Justeru itu demokrasi menurut acuan sendiri yang dipraktis dalam masyarakat muslim yang berilmu, berakal, beriman dan bersyukur menepati kehendak Islam.
Hanya tinggal lagi, tidak boleh dalam sistem demokrasi, sampai membenarkan undian dalam perkara jelas hukumnya, atau perkara asas agama yang berdasarkan suara ramai. Pengundian hanya dibolehkan dalam perkara ijtihadiah sahaja.

Contohnya, memilih calon ke dewan undangan negeri dan parlimen. Ini termasuk apa yang dinamakan oleh para ulama fikah “kepentingan umum”. Banyak dalam kes pada zaman nabi dan para sahabat, apabila pendapat berbeza, suara majoriti diambil kira. Imam al-Ghazali sendiri menyetujui, suara ramai diambil kira apabila ada perbezaan pandangan.

Perjuangan utama umat Islam dewasa ini adalah kebebasan. Ini boleh dicapai dengan apa yang diistilahkan oleh Mahmud ‘Aqqad sebagai “demokrasi Islam”. Demokrasi sebagai jalan paling ampuh dan berdisiplin untuk menjayakan agama dan kehidupan yang mulia. Oleh itu saya berpendapat mengundi adalah wajib mengikut hukum agama. Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
Read more...

Thursday, February 14, 2008

Kahwin selepas berzina-Ruangan Bicara Agama-Mingguan Malaysia-10 Februari 2008

Kahwin Selepas Berzina

Bersama:KAMIL MAJID
Assalamualaikum,
Soalan: Saya ada kemusykilan tentang sah atau tidak perkahwinan seorang perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan. Mengikut buku teks agama tingkatan 5 dan hujah ustazah saya, perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan dikategorikan sebagai perempuan yang haram dikahwini sementara.

Betulkah sekiranya mereka berkahwin, lafaz nikah tersebut adalah tidak sah dan persetubuhan di antara pasangan mereka adalah zina? Kerana perkahwinan sebegini semakin menjadi-jadi dan kisah hidup pasangan seperti ini sering dipaparkan di dada umum, tetapi tidak ada yang menegur tentang sah atau tidak ikatan perkahwinan mereka. Jadi, adakah saya terlepas sesuatu? Adakah hadis dan dalil yang boleh menerangkan dengan terperinci tentang situasi tersebut?

– Remaja ingin tahu, Melaka.

Jawapan: Saudara, perkahwinan adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang dan bekerjasama untuk membina kehidupan.

Imam al-Syaukani mengatakan, orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3 surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.

Namun ada satu pengecualian, bahawa jika kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin (maksud surah al-Ma`idah ayat 5), mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu adalah taubat yang bersungguh- sungguh (nasuha). Taubat sebenar dalam maksud beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.

Pendapat ini diberikan oleh Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah Jilid 2. Pandangan begini dipersetujui sama oleh beberapa imam lain seperti Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Imam Ahmad menambahkan satu lagi syarat iaitu boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah. Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.

Walau bagaimanapun ada mazhab yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Syafii, Hanafi dan Maliki yang mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan, justeru perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.

Pendapat ini mentafsirkan maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela perbuatan zina.

Namun mazhab Malik mahu supaya ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Syafii yang tidak mensyaratkan soal edah itu.

Murid Abu Hanifah bernama Abu Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil zina itu.

Walau apa pun, perbuatan zina adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang suci.

Berdasarkan soalan saudara, sah atau tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, ia adalah sah jika menurut mazhab Syafii seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq. Namun dengan penzina lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.

Penzina sama ada lelaki atau perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan hodoh. Tidak sepatutnya melumurkan penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih. Di dalam Islam, hukum perkahwinan adalah ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya? Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.

Lebih daripada itu mungkin mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat atau jasmani yang rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.

Oleh itu, lelaki atau perempuan yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh hidup senang dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran murni.

Perkahwinan sepatutnya menimbulkan kasih sayang, mawadah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu daripada pasangan yang jahat, atau fasiq. Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Read more...

Sunday, January 27, 2008

Kolum Bicara Agama-Mingguan Malaysia 27/1/2008

Jangan biar fikiran tertutup

Bersama:KAMIL MAJID

Saudara,

Islam satu nama yang mencukupi bagi memahami makna dan maksud Islam yang bersifat menyeluruh; akidah, syariat, akhlak dan adab. Adapun perkataan selepasnya hanyalah sekadar memberikan maksud tambahan, atau penekanan aplikasi atau penekanan khusus sahaja kepada aspek ketamadunan.

Ketika umat Islam dijajah pada zaman penjajahan Barat, Jamaluddin Afghani memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi bagi keseluruhan bangsa Timur yang terjajah agar membebaskan diri daripada penjajah Barat. Pada masa itu mula dikenali “Islam siyasi – Islam politik”.

Sebelum itu, Islam tidak sangat dikaitkan dengan politik. Justeru umat Islam sebelumnya banyak membincangkan Islam secara tradisional dari sudut ilmu, akidah, ibadat, dakwah, tasawuf dan seumpamanya.

Samalah halnya, sebutan nama bagi umat Islam mencukupi dengan menyebut umat Islam. Tetapi, bagi menerangkan bangsa yang khusus, dikatakan umat Islam Turki, umat Islam Melayu, Arab atau lainnya.

Selepas Jamaluddin Afghani, muridnya Muhammad Abduh, merasakan tidak cukup perjuangan Islam menekankan aspek politik sahaja. Politik sekadar memenuhi maksud emosi dan semangat. Lalu diperkenalkan reformasi pendidikan, terkenal pula istilah tarbiah/Islam tarbawi. Istilah ini banyak digunakan oleh Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, pemikir Islam dari India.

Apabila jatuhnya kerajaan Uthmaniah di Turki,bagi membangkitkan semula kebangkitan Islam, lalu diperkenalkan pendekatan Islam haraki. Setelah negara umat Islam mencapai kemerdekaan, kemajuannya masih terhad, ditekankan pula pendekatan ketamadunan dengan nama “Islam hadhari”. Bagi mereka yang berminat dengan kerohanian, mereka menamakan pendekatan mereka dengan istilah, Islam sufi.

Ramai orang awam menjadi keliru dengan pelbagai pendekatan ini. Dalam perbincangan bidang pemikiran Islam di universiti, perkara ini menjadi perkara biasa dibincangkan, terutama bidang pemikiran Islam.

Merujuk kepada peristilahannya, tidaklah ada salahnya menggunakan istilah tersebut. Malah pemakaian istilah hadhari ini di kalangan pemikir Arab, perbincangan perkara ini digunakan oleh tokoh ikhwan Muslimin seperti Abdul Mun‘im Abul Futuh, malah beberapa wacana dan tesis menggunakan judul buku dan tesis dengan istilah “Masyru‘ al-Islami al- Hadhari” atau ”Masyru‘ al-Hadhari al- Islami”.

Kontroversial

Di Malaysia, istilah manhaj Islam Hadhari diperkenalkan. Mungkin ia menjadi kontroversial kerana istilah ini muncul dari lidah orang politik. Ia mendapat respons negatif dari pihak-pihak lain. Tetapi secara ilmiahnya, ia bukan istilah yang pelik, terutama, bagi mereka yang mendalami pemikiran Ibn Khaldun, Malik bin Nabi mahupun al-

Qaradawi sendiri.

Barangkali, jika mereka yang hanya terdedah dengan buku-buku tauhid, usuluddin dan fikah, atau tasawuf sahaja dan kurang meneliti karya-karya dalam bidang pemikiran atau tamadun, istilah demikian agak kurang ditemui.

Pada hemat saya, isu gagasannya lebih penting dibincang dari soal nama. Banyak nama jika diperdebatkan hanya menghabiskan masa sahaja. Saya sendiri keliru mana yang betul antara “goreng pisang” atau “pisang goreng”, mana yang betul antara “Perdana Menteri” dan “Menteri Perdana”.

Jika perkara Islam hadhari ini mahu didebatkan, perdebatan gagasan lebih elok diteliti. Malah soal pelaksanaan lebih perlu dipolimikkan.

Menariknya, gagasan lain banyak dihasilkan buah pemikirannya oleh para pemikir. Kekuatan para pemikir, gagasannya lebih mendalam. Negatifnya, bertahun malah kadangkala berkurun lamanya, gagasan itu tinggal sebagai teori. Tidak ada jentera yang dapat melaksanakannya. Kelebihan gagasan ahli politik pula, mungkin gagasan mereka lebih mudah diaplikasi kerana ada jentera apalagi jika ada peruntukan. Sedangkan teori para politikus mudah dilaksana, gagasan para pemikir mungkin timbul atau tenggelam, berdasarkan pendukung dan kekuatan murid-murid mereka.

Jika ingin dikaitkan maksud Islam Hadhari paling kecil, saya melihat sedikit demi sedikit ada kemajuan, asalkan kita mahu melihat dengan kaca mata putih. Saya berkesempatan melawat Kaherah akhir tahun lepas (2007) untuk satu penyelidikan ilmiah. Ketika saya singgah di lapangan terbang antarabangsa Dubai (transit sembilan jam), masjid di lapangan terbang itu elok dan selesa. Tetapi lebih selesa lagi surau Rawat dan Rehat (R&R) di Dengkel, pertengahan jalan antara Subang Jaya ke lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA). Saya kurang selesa bersembahyang di surau lapangan terbang antarabangsa Jakarta mahupun Kaherah ketika berada di dua buah lapangan antarabangsa negara umat Islam ini, berbanding dengan surau R&R di Tapah ketika berehat di lebuh raya utara – selatan untuk ke Ipoh.

Jadi pada saya, Islam hadhari di Malaysia mula menampakkan kemajuan, apabila keselesaan beribadah di perjalanan Lebuh raya utara – selatan Malaysia lebih baik daripada beberapa surau lapangan terbang antarabangsa dunia Islam lainnya.

Kuliah

Menariknya, Islam hadhari sudah dijadikan mata kuliah di peringkat pengajian tinggi. Di Universiti Malaya subjek diperkenalkan dengan nama “Islam Pendekatan hadhari”. Diserap pula dalam kurikulum maktab dan sekolah menengah. Malah sistem pengajian Jawi, Quran dan Arab (J-Qaf) antara produk Islam hadhari. Saya diberitahu oleh ketua pengarah Jakim antara produk Islam hadhari juga apabila calon-calon saintis dan profesional UIA mula dididik menghafal Quran hasil kerjasama UIA dan Jakim. Sedangkan sebelum ini ramai lulusan pengajian Islam pun tidak menghafal sepenuh sebuah al-Quran.

Sebab itu, adalah penting umat Islam berfikiran terbuka dan jangan membiarkan pemikiran tertutup pada satu-satu tafsiran sahaja (khususnya dalam perkara furu‘). Adapun perkara pokok agama tidak mungkin banyak tafsirannya terutama yang sudah ada ijmak ulama tentang itu seperti haramnya arak, perzinaan, riba, rasuah dan seumpamanya.

Pada hemat penulis, isu Islam hadhari bukanlah perkara pokok (yang menyentuh soal akidah, ibadat khusus dan berkait perkara qat‘i). Tetapi ia seperti berulangkali ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia berkait dengan urus tadbir negara. Ia tidak jauh, malah kesinambungan daripada dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Negara malah, kesinambungan daripada gagasan perjuangan menjayakan Islam yang syumul.

Penjelasan ini secara terang, bagaikan lampu bersuluh, bahawa menerima gagasan Islam hadhari jauh lebih baik daripada menolaknya. Tinggal lagi, bagaimana setiap orang harus berusaha memantapkan gagasan ini dan lebih penting menjayakan pelaksanaannya daripada asyik berpolimik di kedai-kedai kopi.

Saya masih jauh daripada berpuas hati, melihat tidak hadharinya tandas masjid sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu Kelantan (selama saya berulang alik sejak tahun 1981- kira-kira 27 tahun), sehingga ramai mereka yang memilih tandas stesen minyak yang lebih bersih berbanding tandas masjid. (Kerajaan sepatutnya melantik petugas dan memberikan peruntukan).

Kadangkala mereka yang membaca khutbah tentang kebersihan tidak mampu menjamin kebersihan masjid, atau menampal ayat Quran di dinding restorannya, dalam masa yang sama tidak mampu mnghalang tikus berlari-lari di bawah kaki ketika makan (dua kali penulis mengalaminya) di restoran Melayu Muslim.

Oleh itu, sebelum semua kita suka berbincang perkara yang besar – dalam konteks ini – pastikan rambut dan janggut lebih terurus, kebersihan kuku dan pakaian terjaga kerana itu adalah sunah nabi. Apatah lagi, jika mulut selalu mengumpat, cakap kurang berdisiplin, bukan sahaja bersalahan dengan gagasan Islam hadhari, malah bertentangan dengan Islam tulen. Islam hadhari tidak lebih daripada sebahagian daripada Islam yang syumul yang sejak tahun 70-an abad lalu diperjuangkan oleh para pencinta Islam.

Dalam usia yang agak subjektif tua, saya lebih ingin melihat individu dan rumah tangga umat Islam tertib daripada berkhayal melihat dunia Islam yang aman, kerana jika rumah tangga masih kucar-kacir pengurusannya, bagaimana diharap masyarakatnya tertib. Jika diberikan amanah mentadbir sebuah sekolah atau sebuah jabatan masih belum mampu, apatah diharap dapat mentadbir sebuah negara?

Malah jika pendekatan hadhari pun masih sukar untuk difahami, apakah mudah untuk memahami pelaksanaan Islam yang tulen yang jauh lebih kompleks dan memerlukan keterampilan yang cukup tinggi? Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Read more...

Monday, January 14, 2008

Tokoh Maal Hijrah 1429 H / 2008

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary

Maal Hijrah kembali lagi. Kali ini ia menjengah 1429 H. Di Malaysia, tahun baru Islam ini disambut dengan penganugerahan Tokoh Maal Hijrah oleh Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung melambangkan betapa berprestijnya anugerah tersebut. Tahun ini mencatat sejarah apabila Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, tokoh korporat Melayu terkemuka di negara ini mendapat pengiktirafan Tokoh Maal Hijrah. Beliau merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007. Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan oleh beliau kini terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan. Ruangan artikel kali ini diisi dengan petikan temuramah dari Mingguan Malaysia dengan tokoh perniagaan tersebut untuk renungan kita bersama. Semoga kita dapat mencontohi para tokoh yang telah banyak berbakti kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di selutuh dunia ini.

Mingguan: Adakah orang Melayu begitu ketinggalan berbanding kaum lain jika diimbas kembali kemajuan yang dicapai oleh kaum bumiputera sejak 50 tahun lalu?

SYED MOKHTAR : Dalam hal ini, kerajaan banyak membantu. Kita bernasib baik dan bersyukur kerana mampu memiliki saham amanah dengan adanya agensi kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ia bukan sahaja membantu tetapi turut berjaya sebagai antara institusi saham amanah termaju. Itu dalam aspek pemilikan saham sahaja tetapi kita juga perlu mencari usahawan Melayu yang mahu mengkhusus dalam bidang peruncitan, pemborongan dan pengedaran. Saya sendiri berusaha keras sejak tahun 60-an, dari Alor Star, Kedah menerjah ke seluruh pelosok negara bagi mencari peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Generasi terdahulu pada awal kemerdekaan mungkin agak ketinggalan dalam hal ini tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak mahu ‘mengejar’ sebaliknya berusaha keras bagi menguasai bidang- bidang itu. Keadaan ini sememangnya mewujudkan jurang dalam ekonomi Melayu dibandingkan dengan bangsa lain terutama Cina dan ia diburukkan lagi dengan sikap beberapa usahawan Melayu pada tahun 80-an dan 90-an yang menjual kepentingan demi poket sendiri, melanggar Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kekayaan kepada mereka. Golongan usahawan ini saya gelarkan sebagai individualis Melayu. Golongan ini mempunyai keupayaan tetapi tidak membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Saya fikir kita kena bagi balik kepada masyarakat. Dan apa yang dibuat perlulah sederhana kerana ini selaras dengan tuntutan Islam.

Apakah yang dilakukan oleh golongan individualis Melayu ini sehingga melebarkan jurang ekonomi Melayu dengan kaum lain?

SYED MOKHTAR: Golongan yang mementingkan diri sendiri ini bertindak menjual kepentingan yang dimiliki. Ini banyak berlaku dalam era 80-an dan 90-an. Semua ini berlaku sebab mereka merasakan kepentingan dan kedudukan kewangan mereka tergugat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara.

Mereka mengambil tunai hasil penjualan saham syarikat yang dibangunkan di bawah DEB, cepat kecewa dengan perniagaan di tanah air sendiri dan memindahkan dana ke luar negara. Ini sekali gus mengurangkan bilangan usahawan Melayu yang ada di negara ini. Bukannya tidak boleh melabur di luar negara tetapi kenalah membawa balik ke negara ini.

Pandangan saya, jika golongan ini masih menjalankan perniagaan di sini dan mengalami masalah, tentunya ramai yang boleh membantu dan bukannya mengambil tindakan melabur di luar negara kerana mementingkan diri sendiri.

Syukur kepada Allah walaupun turut menerima kesan daripada krisis ekonomi pada kedua-dua era, usahawan Melayu seperti pengasas Kumpulan Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Pengerusi AMMB, Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi MKland Holdings Bhd., Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar serta beberapa yang lain termasuk saya sendiri masih kekal di negara ini, tidak mengikut jejak golongan individualis yang menjual kepentingan dan melabur di luar. Kami terus kekal di sini kerana kami ada pendirian.

Mungkinkah keadaan ini berlaku kerana makna kejayaan kepada golongan individualis ini berbeza dengan makna kejayaan kepada Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Bagi saya, makna kejayaan memang berbeza kerana mereka tidak mahu menginstitusikan perniagaan di negara ini. Mereka dilahirkan oleh DEB dan dapat peluang perniagaan tetapi kemudiannya menjual untuk kepentingan diri sendiri. Jadi apa guna kerajaan bangunkan, beri peluang dan jadikan mereka berjaya tetapi kemudian mereka hilang.

Ambil duit mereka dan tinggal di luar negara, cuba buat kajian dan anda akan tahu siapa mereka ini. Kalau orang Melayu tidak mementingkan diri dan kekal di Malaysia, alhamdulillah. Jadi kita tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Saya sudah merasa semua nikmat di dunia ini, cuma mati sahaja belum rasa.

Nikmat yang Allah berikan tiada yang lebih lagi, mahu lebih bagaimana lagi? Kita kena lebihkan di negeri sendiri, tanah tumpah darah kita dan bukan luar negara. Bawa balik dalam masyarakat dan kongsi segala kekayaan. adalah salah jika duit yang diperoleh daripada bantuan kerajaan dilaburkan diluar negara. Jangan tipu diri sendiri.

Ini tidak boleh. Kita kena balik kepada asas. Sewajarnya kita perlu sumbangkan kepada negara.

Saya akan terus usahakan selagi ada daya dan kesihatan. Biar seimbang kerana mencari rezeki adalah sebahagian daripada amalan. Ilmu juga sebahagian daripada amalan. Saya timba ilmu daripada pengalaman. Bila bercakap biarlah mengikut kedudukan. Jika ada RM1 jangan kata ada RM10. Ikhlaskan diri dan bila ada kemampuan, buat kerana Allah dan tidak perlu tonjolkan diri.

Tan Sri mengalami kerugian RM2 bilion semasa krisis ekonomi dahulu. Apa yang berlaku?

SYED MOKHTAR: Tahun 1997, kita labur dalam syarikat yang disenarai awam demi mengekalkan pegangan 30 peratus dalam syarikat-syarikat ini, naik setinggi mana pun kita tidak jual. Jadi, apabila krisis tiba dan harga saham merudum, kerana ingin kekalkan 30 peratus, rugi lebih kurang RM2 bilion. Macam-macam perasaan ada tetapi kita cari jalan untuk lupuskan kerugian dan cari peluang perniagaan baru.

Saya selalu tidak fikirkan diri sendiri, cuba jaga orang-orang yang terajui kumpulan. Sebab itu banyak yang kekal, biar sederhana tetapi tidak rosakkan diri dengan nikmat. Kadang-kadang benda yang kita dapat boleh rosakkan kita. Lebih baik kita amalkan “tidak lebih dan tidak kurang.” Kita kawal agar nikmat tidak rosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh rosakkan diri kita supaya dapat berkongsi dengan orang lain.

Jangan lupa asal diri walaupun kita dah pergi ke serata dunia. Insya-allah, orang Melayu hari ini pun dah ramai yang keluar universiti dan masih belum terlambat untuk berjaya, cuma ada jurang lagi. Kita kena terus bangun supaya bangsa lain tidak pandang hina pada kita. Maknanya biar dia cerdik dan kita pun tidak bodoh, dia kaya dan kita pun tak miskin. Kita kena cubalah, tiada miskin dalam nilai dan pembawaan, perlu ikhlas dan komited. Demi komitmen terhadap ummah, kita bawa masuk pelajar dari negara lain, ada yang miskin sangat, kasut dan baju pun tidak ada. Bila kita buat semua ini, ia secara automatik membawa kita kepada keinsafan.

Ada berpendapat bahawa Tan Sri melabur dalam terlalu banyak perniagaan. Bagaimana Tan Sri menguruskannya?

SYED MOKHTAR: Sistem pengurusan saya terbuka. Buat masa ini saya sedang berusaha menginstitusikan perniagaan dan yayasan saya supaya bila saya tiada nanti, kesemua ini masih boleh berjalan sebab telah ada satu sistem yang teratur dan mantap. Itu yang saya kesal bila ada orang Melayu yang jual kepentingan dan melabur di luar negara semasa berlakunya krisis ekonomi tahun 80-an dan 90-an.

Dahulu, semasa kerajaan suruh saya ambil alih Pernas, saya kata nak buat apa sebab saya tidak tahu pengurusan hotel. Tetapi kalau Pernas jatuh ke tangan orang lain, ia satu kemunduran DEB. Semasa saya ambil alih Pernas harga tawaran lebih sedikit daripada harga pasaran.

Bagi syarikat MMC (MMC Corporation Berhad), masa kita ambil alih daripada PNB dulu, harga sahamnya adalah lebih rendah berbanding sekarang. Bagi DRB-Hicom, kita berusaha bagi meningkatkan lagi prestasinya. Tetapi usaha itu bukanlah suatu yang dapat dilihat hasilnya dengan cepat. Kita kena berusaha walaupun lambat. Sekali lagi, ini semua untuk institusi, bukan untuk individu. Tetapi selagi hidup, kita akan pegang saham syarikat-syarikat itu kerana kita membangunkannya dari mula lagi.

Sekarang orang Melayu ada dua fahaman – parti UMNO dan Pas. Kadang-kadang kita tolong satu pihak sahaja sedangkan kedua-duanya adalah orang Melayu. Bagaimana Tan Sri melihat hal ini?

SYED MOKHTAR: Kawan- kawan saya di kampung ada ahli UMNO dan ada ahli Pas. Itu hanya fahaman politik tetapi dalam aktiviti masyarakat dan perniagaan, tiada perbezaan dan masalah. Kita hormati pemikiran politik masing-

masing dan tentunya saya sebagai anak UMNO, kadangkala ada berdebat tetapi kita tetap berkawan dan tidak bergaduh sesama sendiri. Dalam masjid, kenduri kita sama-sama masak nasi kawah, kita makan sekali. Insya-allah, jika kita tunjukkan nilai-nilai positif dalam diri kita dan saling tolong-menolong dan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, satu hari mungkin mereka akan tergerak hati untuk ikut kita. Jadi kita kena berkawan dan tunjukkan cara yang betul.

Apa yang harus dimiliki oleh orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Bagi saya orang Melayu kita kena ada sifat kuat berusaha. Sama ada kita dapat kejayaan atau tidak, kita tak boleh putus asa. Kalau dapat kejayaan kena bersyukur, tidak dapat pun bersyukur juga. Saya tidak melihat cara jangka pendek untuk berjaya. Saya percaya kita mesti melalui proses tertentu untuk kita mendapat kejayaan.

Ini kerana sebelum kejayaan diperoleh, kita terpaksa mengalami bermacam-macam cabaran. Kita kena kenal diri kita sendiri. Dalam agama pun Allah suruh kita kenal diri sendiri sebelum mengenali Allah. Maknanya kita kena menilai dengan jujur dan tidak boleh tipu diri sendiri. Sebab itu apa yang kita buat mesti ikhlas.

Asas mesti ada iaitu asas ekonomi kerana seperti Cina, mereka dibawa masuk sebelum merdeka untuk berniaga, India bekerja di ladang-ladang dan orang Melayu dijadikan petani. Jadi, sememangnya wujud jurang ekonomi antara ketiga-tiga ini. Kalau kita kecewa maka jurang ini akan semakin jauh. Walaupun sesetengah orang Melayu mudah kecewa namun sekarang ini sudah nampak banyak perubahan.

Jurang itu masih ada tapi saya tak putus asa dan terus belajar selok-belok berniaga beras semasa mula berniaga dahulu, kalau tiada kekuatan sendiri dan tiada pengalaman selok-belok perniagaan, susah untuk maju ke hadapan. Untuk orang Melayu maju, mereka kena kembali kepada asas dan tiada sebab untuk seseorang untuk tidak maju.

Sekarang ramai yang tidak sabar dan menggunakan jalan singkat dan kata mereka kalau ada jalan singkat, kenapa pilih jalan jauh? Apa komen Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Kalau kita tak sabar, kita akan dapat hasil yang “tak sabar”. Tahun 60-an saya adalah salah seorang yang tak dapat peluang, yang orang patut tolong. Tapi alhamdulillah, saya tolong diri saya sendiri. Kita semua sama saja. Mak saya kata, “Hangpa tujuh orang keluar dari perut aku.”

Kerana itu dia tak bagi kami berkongsi bisnes. Tujuh orang kena ada kemahiran sendiri dan bila jumpa kasih sayang akan berpanjangan. Sekarang ini saya tolonglah sikit-sikit. Tapi yang penting mereka tolong diri sendiri. Setiap orang akan dapat peluang mengikut kemampuan dan tak boleh berputus asa. Saya anak DEB dan pendukung UMNO. Saya melalui proses, misalnya, mula-mula minta lesen nak berniaga kedai, minta lesen lori. DEB sediakan semuanya tapi ada yang hendak cepat kaya ambil lesen pajak kepada Cina. Beli lori tidak mahu mengusahakan sendiri.

Kerajaan yang didukung oleh UMNO memang ada polisi untuk menolong orang Melayu. Tapi DEB hanya bagi orang Melayu 30 peratus dan 70 peratus lagi kepada kaum lain. Sebab itu bila saya jumpa mereka saya kata, DEB bagi 70 peratus kepada mereka dan saya hanya tumpang 30 peratus, itu pun mereka hendak suruh kaji semula. DEB kayakan seluruh masyarakat Malaysia dan memberi peluang terbuka kepada semua kaum dan bukan kepada orang Melayu saja. Saya tahu perkara ini sebab saya menceburi perniagaan sejak dari awal lagi.

Sekarang ini ada semacam teori bahawa untuk berjaya mesti mendampingi orang politik. Apa kata Tan Sri ?

SYED MOKHTAR: Kita kena kenal orang politik, kena ada hubungan dengan UMNO. Bila ada hubungan dengan UMNO ada hubungan dengan pemimpin, bila ada hubungan dengan pemimpin kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita tak boleh menggunakan cara singkat untuk mendapat peluang, lepas itu orang lain yang ambil.

Macam saya, saya terpaksa pergi jumpa pemimpin atasan kalau ada masalah perniagaan yang melibatkan kepentingan negara. Kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita minta tolong pemimpin kita mengenai apa yang kita boleh buat dan setakat mana kemampuan kita. Bukannya mengambil lesen kemudian bagi kepada orang lain. Saya panggil orang jenis ini sebagai individualis Melayu. Orang jenis ini fikir untuk diri sendiri saja.

Bila umur 45 mesti ada apartmen di luar negara, duit RM50 juta. Jadi, ini bukan masalah UMNO atau DEB. Ini masalah orang Melayu yang tidak percaya kepada diri sendiri. Mereka percaya kepada duit dalam akaun. Tapi saya tidak bersimpati dengan mereka yang bersikap demikian. Sebab itu saya tubuhkan yayasan. Syed Mokhtar akan mati. Yayasan akan kekal sebagai institusi. Syarikat-syarikat perniagaan juga akan kekal diurus oleh profesional yang berkelayakan dan bukan ahli keluarga. Perniagaan perlu menyumbang kepada hasrat yayasan dalam hal-hal kebajikan. Untuk itu perniagaan perlu diuruskan secara profesional untuk memastikan ia terus berkekalan.

Jadi kegagalan Melayu bukanlah kerana DEB gagal?

SYED MOKHTAR: Kalau gagal, itu disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Saya dilahirkan oleh DEB, dapat lesen lori, duit bantuan Mara, UDA bagi kedai. Tetapi DEB bukan kayakan orang Melayu saja, DEB kayakan seluruh masyarakat. Ini yang saya suka tekankan supaya semua orang faham.

Mungkinkah orang Melayu tidak sedar mereka ketinggalan?

SYED MOKHTAR: Saya fikir orang Melayu sedar tapi mereka mungkin tidak mahu menjadikan itu sebagai satu isu. Bagi saya, kalau sedar macam mana sekalipun, isu tetap di situ juga jika tidak mencari jalan mengatasinya.

Seperti saya selalu kata, benda yang benar akan kekal. Bagi saya, orang Islam bernasib baik kerana kita ada akhirat. Dalam Islam, ajaran dan budaya sudah lengkap. Ini meliputi cara hidup dan cara kita cari rezeki. Kalau kita ikut nilai-nilai ini tak payah nak pakai serban. Orang Kedah kata macam lebai kodok, bukan cerdik sangat. Tapi yang penting kita ada kekuatan itu. Kita tak perlu ada sifat malu kerana kita tak mencuri. Setiap orang, Allah bagi kekuatan.

Ramai tertarik dengan Muzium Kesenian Islam yang diasaskan oleh Tan Sri. Kenapa Tan Sri menubuhkan muzium ini yang tidak ada pulangan komersial?

SYED MOKHTAR: Saya dapat peluang apabila kerajaan bercadang membuka Muzium Islam semasa ekonomi berada dalam keadaan baik. Saya lihat ini sebagai peluang untuk saya menyumbang balik kepada masyarakat walaupun saya tiada pengalaman.

Nasib baik adik saya mempunyai pengalaman dalam bidang muzium ini, kami berbincang dan bersetuju untuk membangunkannya kerana ia boleh menjadi tempat untuk mempamerkan artifak-artifak Islam tempatan dan luar negara. Ia juga menjadi peluang kepada rakyat negara ini dan asing untuk menyaksikan artifak dari Turki, Istanbul dan muzium luar negara tanpa perlu ke negara-negara berkenaan.

Saya sedang berusaha untuk membawa kaligrafi, ukiran dan juga bahan-bahan seramik dari pelbagai negara untuk dipamerkan di muzium ini. Secara tidak langsung ini menunjukkan Islam itu global. Artifak-artifak Islam ada di seluruh dunia tetapi tidak semua orang boleh menyaksikannya. Dan Muzium Kesenian Islam berusaha supaya semua orang boleh melihat warisan-warisan Islam daripada artifak-artifak ini.

Agama Islam ada di mana-mana negara dan artifak-artifak ini banyak dibawa masuk ke muzium menerusi pembelian, pertukaran artifak dan penganjuran pameran bersama Muzium Britain, Kaherah, Singapura. Bila kita buat pameran, kita terbitkan satu buku dan hantarkan ke seluruh dunia. Dari situ kita dapat belajar persilangan budaya yang berlaku kepada Islam di China, di India dan seluruh Asia, di mana-mana sahaja. Orang boleh nampak bahawa Islam agama yang terbuka.

Jiran saya di Alor Star ada India dan Cina, tiada masalah untuk hidup bersama. Islam tiada bagi masalah kepada yang bukan Islam. Muzium ini menunjukkan Islam itu global. Seramik dan besi cukup hebat. Artifak ini ada yang dibeli dari luar. Kerajaan bagi kita simpan dan kita buat muzium ini kita serah kepada kerajaan dan kerajaan pajak balik muzium ini untuk 99 tahun. Muzium ini dibiayai oleh Yayasan Albukhary sejajar dengan objektif untuk membangunkan budaya dengan belanja RM5 juta setahun. Saya juga mahu orang bukan Islam turut mengunjungi muzium ini untuk melihat tamadun dan kesenian Islam.

Masjid di Jalan Hang Tuah dibina bukan di kawasan majoriti Islam. Apa tujuan Tan Sri berbuat demikian?

SYED MOKHTAR: Asalnya masjid itu kecil sahaja. Ada jawatankuasa datang jumpa saya dan berbincang, saya kata jika mahu membangunkan semula biar betul-betul walaupun kawasan itu setinggan dan tidak ramai orang Islam.

Mungkin ada orang yang menaiki motosikal boleh singgah, budak-budak yang tinggal di pangsapuri berdekatan boleh datang mengaji, ada syarahan. Sasaran saya ialah masyarakat bandar yang berpendapatan rendah. Hari Jumaat boleh sembahyang di situ, saya fikir kita buat kerana Allah s.w.t. kita buat betul-betul. Ikhlaskan diri dan buat yang terbaik. Masjid di Jalan Hang Tuah ialah sebuah masjid bandar untuk warga kota. Ini membolehkan orang yang bekerja di sekitar kawasan itu singgah sembahyang di situ.

Bagaimana pula dengan bajet yayasan?

SYED MOKHTAR: Memandangkan yayasan baru hendak diinstitusikan, maka kita sedang meneliti banyak perkara terutama pendidikan yang melibatkan tuisyen yang disertai oleh pelajar-pelajar antarabangsa dari negara-negara yang penduduk Islamnya sedikit sahaja. Muzium pula lebih kepada persilangan budaya dan teras yayasan buat masa ini ialah pendidikan dan muzium sahaja. Sepuluh tahun yang lalu saya laburkan dalam pembinaan infrastruktur dan sekarang sedang membina kolej di Alor Star yang akan siap pada tahun 2009.

Sebanyak 3,000 pelajar disasarkan dengan 30 peratus pelajar tempatan manakala selebihnya antarabangsa. Ramai dari negara-negara Islam yang kecil di rantau Asia Tengah. Budak-budak ini cerdik tapi miskin dan mereka diberi pelajaran dalam Sains dan Matematik.

Ada juga kita hantar imam dan bilal yang kurang mampu ke Mekah untuk mengerjakan haji. saya lihat mereka ini kalau mati pun Allah beri mereka haji tetapi tidak dapat pergi ke Mekah kerana tidak mampu. Oleh itu, saya pilih 60 hingga 70 orang setahun dan kita bawa masuk Tabung Haji seperti yang ibu bapa kita buat. Selalu yang dapat ialah tok siak, imam dan bilal dan saya minta kuota daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Tan Sri pernah beritahu mahu memodenkan sistem sekolah pondok di negara ini. Adakah rancangan itu masih ada dan relevan untuk dilaksanakan pada masa ini?

SYED MOKHTAR: Sistem sekolah pondok yang ada pada hari ini memerlukan perubahan, sekolah yang lengkap dengan kemudahan asas. Ini penting kerana kebersihan itu adalah asas kesihatan pelajar dan juga sebahagian daripada iman.

Kolej Yayasan Albukhary di Alor Star ada sistem, lapan jam belajar, lapan jam waktu tidur dan lapan jam lagi untuk buat kerja-kerja sukarela. Pembelajaran hukum agama asas seperti sembahyang dan mengaji adalah tanggungjawab individu dan mesti ada. Kolej tidak banyak tumpukan kepada agama kerana itu tanggungjawab individu, tanggungjawab dengan Allah. Kolej itu tumpukan ilmu dunia.

Bila kita susah, orang tolong kita dan bila kita nampak orang susah kita kena tolong. Objektifnya bila keluar dari kolej ini mereka berisi dengan ilmu, nak jadi akauntan atau ahli ekonomi, kita berikan pelajaran dan lepas itu kita lepaskan, tiada terikat untuk pergi ke mana sahaja. Sistem sekolah pondok hanya pentingkan agama. Agama adalah tanggungjawab kita, memang ada dalam jiwa cuma perlu diperkuatkan tapi perlu juga ada ilmu dunia.

Boleh Tan Sri berkongsi zaman kanak- kanak, terutama cara Tan Sri dibesarkan dengan didikan keluarga yang bagaimana?

SYED MOKHTAR: Macam biasa juga, saya pergi ke sekolah rendah dan menengah. Cuma masa itu keluarga saya susah. Bila habis sekolah menengah, duit tidak ada dan saya ambil keputusan untuk tolong ayah saya dan berusaha dari kecil untuk berjaya. Duit kita guna untuk kehidupan peribadi dan untuk tolong orang lain juga.

Kaum lain ada organisasi seperti persatuan Hokkien atau Kantonis tetapi di mana orang Melayu? Di Kedah tiada satu pun dewan orang Melayu. Bila saya buat kolej, saya suruh buat lima atau enam reka bentuk sebab orang Kodiang, Arau, Padang Terap dan Pokok Sena bukan mampu untuk pergi sampai ke Samarkhan, Istanbul, Isfahan untuk melihat reka bentuk asing itu. Bila anda pergi ke kolej itu ada lima konsep seperti Morish, Turki, Tupaki, Afrika Utara dan sekali gus mencerminkan Islam yang global. Secara peribadi saya memang minat kepada seni bina Islam.

Buat masa ini, sementara menantikan kolej itu siap, kita tempatkan di UIA, ada 372 pelajar dari 47 negara dan insya-Allah, kita akan buka kolej di Kedah dan tumpukan kepada pelajaran asas seperti Pertanian, Perakaunan, Ekonomi dan ICT. Kita juga pernah adakan program ilmu untuk anak-anak Islam Pakistan dan ramai yang berjaya dan bekerja di luar negara. Perbelanjaan sepenuhnya kolej itu ialah RM600 juta apabila siap kelak. Seluas 75 ekar telah siap dan sekarang kita ada pusat dialisis, masjid dan rumah anak yatim dan orang tua, justeru pelajar itu akan buat kerja-kerja sukarela.

Tan Sri bukan sahaja mengembangkan perniagaan tetapi juga melaksanakan pengembangan yayasan.

SYED MOKHTAR: Itu niat saya. Sambil berniaga sambil juga membuat kerja-kerja kebajikan. Kita sementara masih hidup, melebihi 2.5 peratus zakat yang disyaratkan oleh Islam dan dapat tolong anak bangsa, dan juga bukan Islam, 70 anak-anak Islam dan 30 peratus lagi dikongsi oleh pelajar luar dan bukan Islam. Baru-baru ini kita menaja pelajar dari China untuk belajar di UIA tetapi kita tidak paksa mereka masuk Islam.

Bagaimana Tan Sri bekerja?

SYED MOKHTAR: Saya bertindak mengikut keperluan tapi kena terus berusaha agar setiap masalah selesai secepat mungkin. Harus menyelesaikan isu. Tidur selalu lewat, lagi malam lagi cerah mata kerana saya suka buat kerja malam-malam.

Yang penting semua kerja jadi, kena selesaikan isu walaupun berat. Kalau yakin perkara benar, tiada masalah. Perkara yang benar akan beri kita kekuatan untuk terus berusaha, jangan lari dari tanggungjawab.

Senaman kita buat secara sederhana, makan dan minum satu pertiga sahaja.

Saya suka berusaha dan cuba setakat yang terdaya kerana ini Tanah Melayu, jadi Malaysia. Bila saya jumpa pemimpin UMNO saya kata UMNO Melayu punya dan BN Melayu dan semua kaum punya. Dari awal, saya kata saya anak UMNO dan DEB. Kalau UMNO bagi teladan buruk, orang Melayu kecewa dan kita kena jaga. Bendang pun kita jaga dan jangan pajak kepada orang lain. Tapi bila orang cash-out, kita bina jurang yang luas lagi. Pergi luar negara untuk pengembangan tidak apa, tetapi asas kita di sini.

Adakah sejak dulu lagi Tan Sri sudah nampak masalah pendidikan orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Masalah pendidikan memang ada dari awal lagi. Dalam tahun 60-an saya hadapi masalah pendidikan sebab tak ada kemampuan. Saya tidak boleh bayar yuran semasa di tingkatan lima.

Masalah budak-budak Melayu yang tak mampu nak bayar yuran memang ada pada masa itu. Saya nampak masalah pendidikan tapi saya pun salah seorang daripada mereka yang memerlukan pertolongan. Tapi tidak ada siapa yang tolong membayar yuran sekolah. Mungkin masa itu tidak ada orang Melayu yang berkemampuan yang boleh tolong saya. Jadi, bila dapat sikit peluang dalam perniagaan, saya ada kemampuan untuk menolong orang lain. Orang kaya ada dalam semua kaum. Mereka kena membantu kaum sendiri supaya tidak tercicir. Yang miskin kita kena bantu.

Apa yang Tan Sri akan lakukan dengan wang tunai RM80,000 yang diterima bersama trofi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan itu?

SYED MOKHTAR: Saya akan memberikannya kepada ibu saya. Masa dulu bila saya dapat RM1,000, saya hanya memerlukan RM500 saja. Bila saya dapat RM1,500 dan bawa balik ke rumah, mak saya kata RM750 cukup untuk keluarga. Baki RM750 bagi kepada orang tua-tua. Dari situ saya nampak perlunya jiran dan masyarakat dalam kehidupan kita. Saya dah ada interaksi dengan masyarakat.

Read more...

Tuesday, November 27, 2007

Laporan Penyelidikan Projek Liberalisme dan Konservatisme

Temuramah bersama TYT Duta Besar Malaysia di Mesir
Temuramah Bersama Hamid Tahir (Pemikir Liberal)


Laporan Kajian “Islam Antara Liberalisme dan Konservatisme di Malaysia” di Mesir

Penyelidik: Prof. Madya Mohamad Kamil Hj Ab Majid

Prof. Dr Ab Aziz Mohd Zin

1. Istilah

Istilah liberalisme dipertikaikan untuk digunakan dalam tajuk kajian ini. Justeru, istilah ini timbul di Barat dengan latar belakang yang ada di Barat. Ini ditimbulkan oleh Jamal al-Banna, Hamid Tahir daripada kalangan liberalis mahupun al-Jalayand, Muhammad Imarah dan Mansur Arafah dari kalangan Islamis. Jadi , persoalan pemakaian istilah perlu diperhalusi dan diperjelaskan.

2. Tokoh-tokoh Liberalis Timur Tengah

Semua mengakui ada liberalis di kalangan pemikir-pemikir di Timur Tengah. Walau bagaimanapun Hassan al-Masyat melihat liberal tidak bertentangan dengan Islam, ekoran ada perbezaan di antara liberal dengan sekular. Pemikiran liberal katanya, wujud pada tokoh-tokoh Islam seperti Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, al-Qaradhawi, Muhammad al-Ghazali, Muhammad Imarah, Muhammad Salim al-A’wa malah Mufti Mesir sendiri, Ali Jum`ah. Liberal bermaksud berfikiran bebas. Liberalisme Barat pula bebas tanpa batas.

Kenyataan ini disokong oleh Hamid Tahir tetapi menamakan tokoh di atas sebagai pemikir tajdid terhadap tokoh-tokoh seperti Muhammad al-Ghazali. , Khalid Muhammad Khalid, Muhammad al-Bahi, Muhammad Abdullah Daraz. Itulah tokoh-tokoh al-Azhar tetapi mereka itu termasuk al-Qaradhawi kata Hamid, skop tajdid mereka juz’i, mahdud dan terbatas.

Sambung Hamid Tahir, tokoh liberal sebenar di Mesir adalah seperti Hasan Hanafi, Atif al-iraqi, Nasr Abu Zaid ditambah pula dengan nama Muhammad Amin al-Alim dan Ali al-Harb. Menurut Muhammad Imarah pula, Hasan Hanafi bukan setakat tokoh liberalis tetapi zindiq atau mulhid dengan memetik ungkapan-ungkapan contoh daripada tulisan Hasan Hanafi sendiri. Malah, Muhammad Imarah menceritakan apa yang berlaku terhadap Hasan Hanafi iaitu dia pernah masuk Kristian ketika belajar di Perancis. Samalah dengan Nasr Abu Zaid yang dihukum murtad oleh Abdul Sabur Shahin bersama isteri beliau di Belanda ( dalam buangan ).

3. Pemikiran Liberal di Timur Tengah

Menurut Jamal al-Banna, beliau tidak berpegang pada manhajiyah mana-mana, tetapi berpegang kepada marja`iyah al-Quran dan as-Sunnah yang tidak bercanggah dengan al-Quran. Subhi Mansur pula menulis buku berjudul al-Quran wa Kafa. Ertinya, Jamal al-Banna berpegang kepada al-manhaj al-hurr (metodologi bebas). Baginya, Nabi hanyalah membawa unsur kepimpinan.

Pada hemat Jamal al-Banna, pemikiran Islam hari ini dikuasai oleh aliran Salaf (Ibn Taimiyah, al-Sar Khasi). Para ulamak Salaf mereka memang agung tetapi mereka bukan malaikat. Jarak di antara kita dengan mereka sudah 1000 tahun lamanya, apakah kita patut bertaklid begitu sahaja?

Jamal al-Banna menuding puak konservatif berada di al-Azhar. Mereka mempelajari Islam di luar zaman. Apakah perlu diterima semuanya tafsiran daripada zaman Ibnu Abbas hinggalah kepada Said Qutb.

Secara sinis, Jamal al-Banna mengatakan al-Azhar sudah merosakkan pemikiran anda. Begitu juga Wahabi yang membincangkan tidak lebih daripada isu hijab dan janggut. Sedangkan yang utama; akidah, syariat dan akhlak. Hamid Tahir mengutarakan kecaman terhadap al-Azhar dan Wahabi yang lebih mengutamakan perkara remeh seperti di atas

Hasan al-Masyat mengajak agar mengutamakan dialog, kebebasan memilih dan memuliakan peribadi manusia, itulah liberalisme. Tetapi beliau menolak liberalisme Barat sepenuhnya. Katanya, umat islam perlu dipertahankan keislaman mereka. Menurutnya lagi, ketika orang lain berubah seperti keretapi laju sebagaimana yang ada di Malaysia, orang Arab Mesir sukar berubah, umpama keretapi buruk. Malaysia menunjukkan contoh yang baik dengan; boleh menerima orang lain, berdialog dan bertoleransi, sesuai dengan la ikraha fi al-din.

4. Faktor Kemunculan

Taha Jabir al-Ulwani mempersalahkan golongan Islam yang tidak dapat mengemukakan program yang praktis. Ajaran Islam hanyalah ada pada dhamir, bukannya pada realiti. Realiti lebih baik di Amerika dan Eropah berbanding dengan negara umat Islam. Lihat apa yang berlaku di Pakistan, Sudan, Algeria dan Afghanistan. Malah negara Arab yang kaya pun tidak membayar zakat kepada negara Islam yang miskin.

Saad Mansur Arafah mempertikaikan konservatisme seperti Wahabi yang mengambil pendekatan keras (tasyaddud). Sebaliknya beliau menganggap al-Azhar membawa aliran moderate atau wasataiah. Pandangan ini sama seperti yang disuarakan oleh Duta Besar Malaysia, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir. Beliau menyatakan al-Azhar mewakili wajah sederhana, Mu`adil dan tawassut.

Al-Jalayand menyatakan liberalism berlaku kerana mendapat pengaruh ahli sosiologi Barat dengan pragmatisme Amerika. Dalam masa yang sama, Pengajian Islam pula mundur dengan kurikulum yang membincangkan isu-isu usuluddin yang tidak relevan lagi sebagai contohnya. Sepatutnya isu-isu af`alu Allah atau af`alu al-‘ibad dibincangkan dalam bentuk kerangka baru seperti hak asasi manusia, hak-hak wanita, fiqh minoriti muslim di negara bukan Islam, interaksi orang-orang Islam dengan bukan Islam dan seumpamanya.

Pandangan ini dikongsi sama oleh al-‘Ulwani yang ingin supaya diperbetulkan pendidkan agama. Malah al-Jalayand ingin memasukkan pengajian sains sebagai sebahagian daripada pengajian Islam sebenarnya.

5. Penyelesaian Masalah

Muhammad Imarah menyarankan supaya diterjemahkan buku-buku jawapan terhadap liberalisme ke dalam bahasa Malaysia. Begitu juga al-Jalayand.

Kumpulan liberalis kata Muhammad Imarah, mereka mendapat dana daripada Barat. Suara mereka tidak ada yang ingin mendengarnya di Mesir, sebab itu mereka menyebarkannya ke Asia Tenggara. Arafah menyetujui mereka ini tidak ada pengaruh. Mereka boleh diibaratkan seperti satu atau dua biji epal yang busuk dalam kotak besar yang menyebabkan kotak epal berbau busuk.

6. Dapatan Kajian:

1) Kebanyakan responden berpendapat pemakaian istilah liberal patut diperhalusi semula. Ia produk Barat yang asalnya tidak ada dalam istilah Islam.

2) Golongan liberalis meletakkan kesalahan pada golongan konservatif yang gagal mengemukakan Islam dalam wajah semasa. Islam dikemukakan oleh mereka dalam bentuk sejarah.

3) Puak liberalis menuduh al-Azhar dan Wahabi mewakili kumpulan jumud.

4) Golongan al-Azhar mengkafirkan Nasr Abu Zaid, Hasan Hanafi, malah menuduh mereka atheis. Pihak al-Azhar mengatakan mereka sebenarnya mewakili dan mempertahankan wasatiah. Sebaliknya, tokoh-tokoh liberalis adalah tali barut Barat dan mendapat dana dengan mencetak buku-buku bagi tujuan menyebarkan idea mereka.

5) Penyebaran kefahaman yang betul perlu di Malaysia melalui terjemahan buku-buku Muhammad Imarah yang sudah diberi izin untuk diterjemahkan.

6) Pemikir liberalis di Mesir menolak pendekatan wahabi dan al-Azhar secara umum. Mereka berpendapat boleh menerima aliran tajdid al-Azhar seperti al-Qaradhawi, Muhammad al-Ghazali, Abdullah Darras dan Muhammad Khalid tetapi tajdid mereka masih terbatas.

7) Dialog pemikiran rancak di Mesir. Ini menolak anggapan liberalis yang mengatakan berlakunya “keganasan pemikiran “ terhadap mereka. Pada anggapan golongan Islam, kalau berlaku keganasan pemikiran mana mungkin buku-buku mereka disebar secara terang-terangan seperti yang dilakukan oleh Maktabah Makbuli, jawapan pula dilakukan oleh Darul Syuruq.


Read more...

Thursday, September 6, 2007

KAEDAH PENDEKATAN DAKWAH SILAM DAN MASA KINI : PERBEZAAN DAN KESESUAIAN

KAEDAH PENDEKATAN DAKWAH SILAM DAN MASA KINI : PERBEZAAN DAN KESESUAIAN

Oleh:

Prof Madya Mohamad Kamil b. Hj Ab. Majid

Muhammed bin Yusof

Akademi Pengajian Islam

Universiti Malaya

  1. Pendahuluan

Islam ialah agama samawi yang terakhir dan bersifat sejagat (universal). Ia diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan Nabi terakhir untuk disampaikan kepada semua golongan manusia. Segala ajaran dalam Islam telah pun disampaikan sepenuhnya oleh Baginda dalam bentuk yang paling sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Oleh itu ajaran Islam berada dalam keadaan yang sempurna dan lengkap untuk manusia pada setiap tempat dan zaman sebagaimana dijelaskan oleh al-Qur’an:

Maksudnya:

Maka pada hari ini Aku (Allah) telah menyempurnakan agama kamu bagi kamu Aku telah menyempurnakan rahmatKu untuk kamu, dan Aku (Allah) telah reda bagi kamu sekalian akan Islam itu menjadi Din (agama) kamu.1

Pada peringkat awal Islam, Nabi s.a.w. beserta para sahabat telah bersungguh-sungguh dan bertungkus lumus menyebarkan Islam di mata dunia. Setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat, tugas mengembangkan Islam dan berdakwah pada jalan Allah adalah menjadi tanggugjawab ulama khususnya dan umat Islam seluruhnya.

Dalam al-Qur‘an tedapat beberapa ayat yang menggesa supaya tugasan dakwah ini dilaksanakan oleh setiap umat Islam, antaranya:

Maksudnya:

Dan hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar. Mereka inilah orang-orang yang beruntung.2

Walaupun ayat ini menimbulkan sedikit perbezaan pendapat mengenai hukum berdakwah iaitu perkataan ( منكم ) sama ada kepada golongan tertentu3 atau kepada semua umat Islam4, namun pendapat yang pertama adalah kurang tepat.

Firman Allah S.W.T lagi, maksudnya:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.5

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an tersebut, tugasan dakwah ini merupakan satu agenda penting yang harus dipikul dalam kehidupan setiap umat Islam. Namun bagi memastikan agenda ini berjaya menarik ramai sasaran sama ada dari kalangan umat Islam sendiri mahupun non-muslim, maka pendekatan yang sesuai serta bersistematik dan berstrategi perlu diatur dan disusun secara terancang.

  1. Konsepsi Dakwah Dari Perspektif Pemikiran Islam

Perkataan dakwah adalah berasal daripada bahasa Arab yang mempunyai beberapa pengertian. Menurut Kamus Lisan al-‘Arab, dakwah merujuk kepada meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil, menyeru dan melaung.6

Dari sudut Istilah, Muhammad al-Ghazali mendefinisikan dakwah sebagai satu program yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.7

Menurut Adam Abdullah al-Aluri, dakwah ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir mereka terjerumus ke dalamnya.8

Manakala menurut Dr. Ra’uf Shalabi, beliau menyatakan bahawa Dakwah Islamiyyah ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada kufur kepada iman, daripada keadaan kegelapan kepada keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan di akhirat.9

Dr. Yusof al-Qaradawi pula memberi definisi dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri daripada segala kongkongan yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah, menafikan hak ke atas orang yang dinafikan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan berjihad pada jalanNya.10

Berdasarkan konseptual dakwah yang dikemukakan oleh para ilmuan Islam tersebut dapatlah dirumuskan bahawa dakwah mencakupi semua usaha yang baik yang dilakukan secara terancang (bukan semata-mata laungan) sama ada secara individu atau berkumpulan dengan menggunapakai pendekatan (uslub) tertentu untuk membawa manusia supaya mengetahui tujuan hidup bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sama ada menerusi ilmu-ilmu yang diturunkan melalui wahyu ataupun ilmu-ilmu lain yang boleh memberikan faedah kepada kehidupan manusia.

  1. Pendekatan Dakwah Menurut Al-Qur’an

Adalah dimaklumi bahawa dakwah yang berkesan memerlukan kepada suatu pendekatan yang bersesuaian dengan sasaran. Asas kepada keperluan ini merujuk kepada dua komponen utama dalam Dakwah Islamiyah iaitu isi atau pengajaran yang hendak disampaikan kepada sasaran dan cara untuk menyampaikan pengajaran tersebut.11

Berdasarkan kedudukan tersebut, pendekatan adalah satu perkara yang penting dalam dakwah kerana ia merupakan cara bagaimana pengajaran yang disampaikan itu dapat mempengaruhi sasaran untuk menerimanya. Sesuatu pengajaran walaupun baik, susah untuk diterima oleh sasaran jika cara penyampaiannya tidak betul.12 Tanpa pendekatan yang baik juga, masyarakat yang menjadi sasaran dakwah akan memberi respon yang negatif terhadapnya walaupun isi yang disampaikan menarik dan bermutu.13

Pendekatan yang hendak digunapakai dalam berdakwah mestilah suatu pendekatan yang bersesuaian dengan fitrah manusia atau dikenali sebagai pendekatan fitrah.14 Ini kerana agama Islam merupakan agama fitrah yang amat bersesuaian dengan fitrah manusia.15

Pendekatan Fitrah ini terkandung dalam ayat al-Qur’an antaranya sepertimana Firman Allah S.W.T , maksudnya:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.16

Terdapat tiga pendekatan utama dalam ayat tersebut iaitu al-Hikmah, al-Mau’izah al-Hasanah (Nasihat yang baik) dan al-Mujadalah billati hia ahsan (Berbahas/ berdiskusi dengan cara yang terbaik). Tiga pendekatan inilah yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w. sepanjang hayatnya sebagai Rasul.17

Ayat tersebut juga dengan jelas memerintahkan supaya dakwah itu dilakukan dengan pendekatan yang pelbagai, yang boleh mempengaruhi dan menarik perhatian sasaran. Selain itu, menurut Dr Ra ‘uf Shalabi , cara dakwah yang dinyatakan dalam ayat tersebut merupakan cara yang dilalui oleh Nabi s.a.w. dalam dakwahnya kepada semua peringkat sasaran.18

Selain pendekatan dakwah tersebut, terdapat beberapa pendekatan lain yang disyorkan dalam al-Qur’an antaranya:

  1. Penjelasan yang nyata dan jelas

Isi atau pengajaran yang hendak disampaikan kepada sasaran mestilah jelas dan tidak menimbulkan kekaburan dan silap faham serta tafsiran yang menyeleweng.19

  1. Berperingkat-peringkat

Bagi tidak memberati orang yang menerima dakwah, pengajaran yang disampaikan dilakukan dalam keadaan berperingkat-peringkat. Sebagai contoh, pengharaman arak tidak dilarang secara terus, malah secara peringkat demi peringkat.

  1. Mudah

Mesej yang hendak disampaikan hendaklah melalui semudah-mudah cara. Ini kerana Islam itu sendiri mudah dan selaras dengan tabiat semulajadi manusia terutamanya dalam perkara yang berkaitan kelonggaran hukum atas sebab-sebab yang munasabah.20

  1. Menjinakkan

Dakwah Islamiyah hendaklah dilakukan dalam keadaan berjinak-jinak dengan sasaran.21 Ini termasuklah berkenalan dengan seseorang yang akan menerima dakwahnya. Perkenalan ini bertujuan memahami latarbelakang kehidupan sebenar sasaran, corak pemikiran dan bagaimana pengertian dan pandangannya terhadap alam raya ini dan terhadap agama Islam.22

Dengan kata lain, pendekatan mendampingi sasaran amat mustahak dan mampu memberi impak yang memberangsangkan kerana dengan berbuat demikian, pendakwah akan menemui ruang-ruang yang mungkin dijadikan sebagai batu loncatan untuk mengetuk pintu hati orang ramai.

  1. Adanya sebab di sebalik sesuatu suruhan dan larangan

Pendekatan melalui pendedahan hikmah (rahsia pensyariatan) disebalik suruhan dan larangan amat perlu bagi membuka minda sasaran untuk menerima unsur logik dan rasional. Pemikiran normal biasanya akan akur dengan kenyataan yang berasaskan logical thinking. Sebagai contoh, faedah yang didapati disebalik sembahyang23 dan akibat buruk yang akan diperolehi disebalik melakukan tegahan arak dan judi.24

Pada dasarnya, al-Qur’an banyak mendedahkan pendekatan dakwah dalam bentuk yang pelbagai agar pengajaran yang hendak disampaikan menepati kesesuaian dan tahap pemikiran golongan sasaran. Hal ini juga pernah ditegaskan oleh Sayyidina Ali k.w. :

‘Bercakaplah dengan orang lain berdasarkan kefahaman mereka (dalam lingkungan yang mereka boleh faham).25

Selain itu, ‘Abd al-Karim Zaydan menyebut bahawa al-Qur’an banyak mendedahkan pendekatan dakwah yang mana setiap orang Islam mesti memahaminya, sebagaimana memahami perkara-perkara lain yang terdapat dalam al-Qur’an. Tuhan memaparkan cara-cara dakwah dalam al-Qur’an untuk dijadikan panduan yang boleh membantu usaha dakwah.26

4.0 Pendekatan Dakwah Rasulullah S.A.W

Dalam sunnah Rasulullah s.a.w. terdapat banyak contoh mengenai pendekatan dakwah. Malah sepanjang hidup Baginda dipenuhi dengan cara-cara dakwah, kerana tugas Baginda ialah berdakwah. Menurut Zaydan sunnah dan sirah Nabi s.a.w. sama ada di Makah atau di Madinah banyak mengandungi pendekatan dakwah dan cara menyelesaikan masalah-masalah tertentu yang dihadapi. Ini memberi suatu kebaikan kepada para pendakwah masa kini kerana Rasulullah s.a.w. telah melalui semua keadaan yang mungkin dilalui oleh mereka .Oleh itu ia memberi panduan yang cukup baik bagi pendakwah sekarang.27

Antara pendekatan dakwah Rasulullah s.a.w. yang terawal ialah memperkenalkan Islam kepada orang-orang tertentu28 yang ada harapan akan menerima Islam dan supaya golongan ini boleh membantu Baginda mempercepatkan perkembangan Islam.

Baginda juga mengembangkan Islam pada peringkat permulaan dengan cara senyap-senyap atau secara bersembunyi.29 Cara ini dilakukan pada tiga tahun pertama dakwahnya.30 Bagi tujuan ini, Nabi s.a.w. memilih rumah Ibn Abi al-Arqam sebagai pusat untuk mengendalikan cara dakwah tersebut. Melalui cara tersebut, pihak musuh tidak sempat mengesan perkembangan dakwah. Pihak musuh hanya sedar tentang perkembangan dakwah setelah ia agak kuat dengan bilangan pengikutnya yang ramai berjaya diislamkan.31

Oleh itu antara pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w32 ialah :

1) Berhikmah33

Pendekatan ini adalah pengaplikasian kepada konsep hikmah dalam al-Qur’an surah al-Nahl ayat 125. Antara pendekatan ini yang dipraktikkan oleh Rasulullah s.a.w ialah semasa berdialog dengan tokoh Quraisy, Hussain yang diwakili oleh kumpulannya supaya memberitahu Nabi s.a.w. agar memberhentikan dakwahnya. Dalam dialog itu Hussain bertanyakan kepada Nabi s.a.w. tentang apa yang didengarnya iaitu Nabi s.a.w. mencaci tuhan-tuhannya. Lalu Nabi s.a.w. bertanyakan Hussain berapakah jumlah tuhan yang disembahnya. Hussain menjawab jumlahnya tujuh tuhan di bumi dan satu tuhan dilangit. Nabi s.a.w. bertanya tuhan mana yang diminta, jika ia ditimpa sesuatu keburukan. Hussain menjawab, dia minta dari tuhan langit. Nabi s.a.w. bertanya lagi tuhan mana yang diminta jika hartanya binasa. Hussain menjawab tuhan dilangit. Nabi s.a.w. menyampuk, apakah kamu samakan tuhan di bumi dengan tuhan dilangit, sedang dia sahaja yang menunaikan permintaan kamu. Lalu Nabi s.a.w. pun berkata, masuklah Islam nanti kamu akan selamat. Hussain terus masuk Islam.34

2) Pendekatan Psikologi

Psikologi adalah ilmu berhubung dengan jiwa dan pemikiran manusia. Manakala pendekatan dakwah ialah cara bagaimana untuk mempengaruhi jiwa dan pemikiran manusia. Oleh itu kedua-duanya merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Malah penggunaan psikologi untuk kepentingan dakwah akan menjadi daya tarikan yang lebih dalam dakwah.35

Berkaitan pendekatan ini, dalam hadith terdapat banyak perbezaan penjelasan yang dikemukakan oleh Nabi s.a.w., walaupun Baginda menerangkan sesuatu perkara yang sama, disebabkan berlainan sasaran. Contohnya, perbezaan jawapan Nabi s.a.w. antara seorang dengan seorang yang lain mengenai Islam yang lebih baik. Perbezaan tersebut disebabkan berlainan keadaan dan masalah yang dihadapi oleh sasaran yang bertanya.36

Ini menunjukkan bahawa pendekatan berbeza diambil semasa melalui proses penyampaian. Ia didasarkan kepada penentuan oleh keadaan sasaran yang berbeza mengikut golongan, peringkat dan kedudukan.

3) Ketegasan

Pendekatan ini diambil kerana cara berlemah lembut tidaklah sesuai dengan semua keadaan, kerana dalam keadaan tertentu memerlukan ketegasan. Contohnya, ketika Nabi s.a.w. berhadapan dengan tiga orang sahabatnya yang tidak ikut serta dalam Peperangan Tabuk (9H). Mereka ialah Kaab ibn Malik, Mirarah ibn al-Rabi’ dan Hilal ibn Umaiyah. Nabi s.a.w. dan para sahabatnya termasuklah juga isteri-isteri mereka bertiga melakukan boikot sehingga sampai tidak menjawab ucapan salam mereka bertiga selama beberapa ketika.37

3) Melarang Secara Indirect

Tidak dinafikan bahawa penyampaian dakwah memerlukan kepada sesuatu peryataan yang jelas dan nyata. Namun dalam keadaan tertentu misalnya larangan, ia memerlukan suatu tindakan yang bijak supaya dapat diterima apa yang hendak disampaikan secara lebik efektif. Contoh bentuk larangan secara indirect yang diparaktikkan oleh Rasululllah s.a.w. ialah sebagaimana Nabi s.a.w. melarang seorang pemuda yang meminta kebenaran daripada Baginda untuk melakukan zina. Nabi s.a.w. tidak terus melarang pemuda itu supaya tidak berzina, tetapi memberi suatu gambaran betapa zina itu tidak disukai oleh semua orang. Dengan itu, pemuda itu dapat memahami betapa jijiknya zina itu.38

4) Menjalin Hubungan yang Baik Dengan Non Muslim

Islam telah menggariskan beberapa bentuk hubungan yang sepatutnya terjalin antara masyarakat Islam dengan non muslim termasuklah hubungan kekeluargaan bagi saudara baru dengan keluarga asal mereka. Antara contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. berkaitan bentuk hubungan ini ialah Nabi s.a.w. mengadakan hubungan berbaik-baik dengan suku kaum di Madinah, termasuk orang-orang Yahudi. Untuk tujuan tersebut satu perjanjian telah diwujudkan. Melalui perjanjian tersebut, masing-masing pihak hendaklah hidup secara harmoni dan menjaga kerukunan hidup penduduk di Madinah dengan tanpa ceroboh-menceroboh antara satu sama lain.39 Nabi s.a.w. juga mengadakan hubungan baik dengan kabilah-kabilah yang ada disekeliling Madinah.40

Dengan terjalinnya hubungan ini, suasana yang aman dan harmoni dapat diwujudkan di Madinah. Oleh itu, Nabi s.a.w. dan orang Islam dapat menumpukan sepenuhnya kepada aktiviti dakwah dan persiapan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dengan cepat bagi menghadapi ancaman-ancaman peperangan selepas itu.

5.0 Pendekatan Dakwah Masa Kini dan Relevansinya dengan Pendekatan Dakwah Masa Silam

Dalam era globalisasi masa kini, suatu pendekatan dakwah kontemporari perlu digarapkan selaras dengan perubahan semasa. Tambahan pula berlakunya perubahan corak pemikiran dalam keanekaan budaya bangsa telah mendesak kepada suatu pendekatan yang lebih kreatif dan efektif.

Pada prinsipnya, pendekatan yang dibawa oleh al-Qur’an dan Sunnah Baginda s.a.w. masih terus relevan pada masa kini. Antaranya, tiga pendekatan yang dikemukakan dalam al-Qur’an iaitu hikmah, mau’izah hasanah dan mujadalah masih lagi sesuai dan sedang berlangsung sehingga hari ini. Akan tetapi cara pelaksanaannya mungkin berbeza mengikut kesesuaian zaman dan sasaran dakwah.41 Sebagai contoh, pada masa kini, mujadalah lebih tertumpu kepada seminar, diskusi ilmiah, simposium, nadwah dan yang terbaru adalah dialog antara agama.42 Manakala pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti pendekatan psikologi dan berhikmah menjadi antara pendekatan utama dalam program dakwah orang-orang asli di Malaysia.

Antara permasalahan utama masyarakat Islam hari ini ialah ketandusan idola yang komprehensif dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada berkaitan sahsiah, pentadbiran, ekonomi, kewangan dan sebagainya. Pada zaman Rasulullah s.a.w., Baginda sendiri merupakan satu institusi komprehensif yang menjadi rujukan dan panduan utama bagi masyarakat dalam menentukan setiap gerak geri dan segala tindakan. Asas kepada permasalahan tersebut, maka Islam pada masa kini diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dan institusi. Justeru itu, pendekatan dakwah masa kini adalah dilihat hasil daripada rentetan terjemahan dalam bentuk yang khusus antaranya:

1) Pendekatan Dakwah Melalui Insitusi

Terdapat berbagai-bagai institusi Islam di Malaysia pada masa ini termasuklah badan kerajaan mahupun NGO. Antaranya JAKIM, IKIM, ABIM, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan sebagainya. Kesemuanya secara tidak langsung merupakan satu pendekatan dakwah kontemporari. Ini kerana ia mencerminkan suatu sistem pengurusan Islam dan pentadbiran Islam. Manakala antara yang menggambarkan sistem perundangan Islam pula merangkumi Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti Negeri.

Dari aspek ekonomi dan kewangan Islam pula, lahir institusi seperti Bank Islam, Takaful Malaysia, Takaful Nasional, Takaful Ikhlas, YAPIEM dan sebagainya. Hasil daripada penonjolan sistem perbankan Islam oleh Bank Islam umpamanya, didapati pada hari ini beberapa bank konvensional lain turut berminat menyediakan kemudahan kewangan mengikut sistem kewangan Islam termasuklah Bank Rakyat dan Bank Bumiputra Commerce.

Selain itu, terdapat juga institusi yang secara jelas menampilkan imejnya sebagai institusi dakwah seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Instutut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP). Oleh itu dengan tertubuhnya insitusi-institusi ini yang secara tidak langsung memberi suatu cerminan imej Islam yang komprehentif mewakili beberapa aspek penting dalam kehidupan manusia. Ia juga menterjemahkan Islam dalam suatu acuan yang khusus. Apa yang paling penting, kesemua institusi ini mestilah menjaga kredibilitinya sebagai sebuah institusi Islam yang eksklusif. Ini kerana sekiranya institusi-institusi ini berjaya berperanan dengan baik dan menampilkan perkhidmatan cemerlang, maka ia dilihat satu pendekatan dakwah efektif dalam menarik orang ramai mengenali Islam dengan lebih dekat termasuklah non muslim.

2) Pendekatan Dakwah Melalui Hiburan

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa pendekatan yang terbaik semestinya berasaskan suatu pendekatan fitrah. Antara unsur fitrah yang diminati ramai pada waktu ini adalah hiburan atau seni muzik. Pada dasarnya, Islam membenarkan penganutnya menikmati seni ini. Sesuatu yang diminati ramai adalah lebih mudah diterima oleh khalayak.

Hiburan Islam tidak terhad kepada nasyid sahaja malah ia merangkumi seni muzik yang lain selagi mana menepati kretiria-kretiria yang digariskan oleh para ilmuan Islam. Pendekatan dakwah melalui seni hiburan ini sepatutnya di kembangkan dalam bentuk yang pelbagai, antaranya mewujudkan hiburan alternatif melalui islamisasi seni muzik.43 Pada hari ini, pengaruh sekular semakin menular ke dalam seni muzik. Ini disebabkan seni muzik yang dinikmati bukan lagi untuk mencari ketenangan dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T , tetapi ia semata-mata untuk berhibur, bersukaria, melepaskan hawa nafsu dan ingin bebas daripada kongkongan agama. Seni muzik seumpama inilah yang membawa kepada maksiat kerana sudah hilang matlamat asalnya. 44

Pemanfaatan hiburan bagi tujuan dakwah merupakan satu usaha yang sepatutnya dipandang serius oleh semua pihak. Ini kerana ia bukan sahaja berperanan memenuhi tuntutan fitrah manusia yang inginkan ketenangan dan hiburan, malah ia dilihat mempunyai potensi yang besar dalam mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup masyarakat dan seterusnya mencorakkan budaya sesebuah bangsa. Selain itu, ia juga mampu menyelinap secara halus dan tanpa disedari dapat mengubah sasaran kepada suatu yang positif.45

Melalui pendekatan ini juga, bukan mesej Islam yang terkandung dalam lirik lagu sahaja yang memberi impak kepada pendengar, malah gaya hidup , penampilan, corak pemakaian, muamalah penghibur juga menjadi ikutan dan idola mereka. Oleh itu, walaupun ia dilihat menampilkan seni hiburan Islam, namun pada masa yang sama banyak mesej lain yang dapat dihighlightkan termasuklah, fesyen pemakaian Islam, cara hidup Islam, pergaulan berimej Islam dan sebagainya.

6.0 Kesimpulan

Berdasarkan fakta-fakta berhubung pendekatan dakwah silam yang merangkumi pendekatan al-Quran dan Sunnah, maka ia dikenalpasti sebagai pendekatan utama pendakwah sepanjang zaman. Akan tetapi dari sudut komparatifnya adalah bentuk dan cara pelaksanaannya sahaja yang berbeza disebabkan berlainan zaman dan golongan sasaran. Di samping itu, alasan logik berkaitan penggunaan pendekatan fitrah juga merupakan suatu yang menarik untuk dikembang dan dipraktikkan. Pada masa kini, selain hiburan, masih terdapat banyak unsur fitrah lain yang selayaknya dijadikan sebagai pendekatan dakwah. Dengan memanfaatkan unsur fitrah dalam acuan yang betul menurut perspektif syara’ maka ia akan dapat menghasilkan suatu implikasi yang positif kepada kejayaan dakwah.

Rujukan:

1 Al-Qur’an, surah al-Maidah: 3

2 Al-Qur’an, surah Ali Imran: 104

3 Menurut al-Qurtubi (m. 671/1272 atau 73M), menyuruh makruf dan mencegah mungkar itu fardhu kifayah. Lihat Al-Qurtubi , al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, jil. 4, Beirut: Dar Ihya’, h. 165. Manakala al-Shawkani (1173H/1759 atau 60M-1250H/1834 atau 35M) pula menjelaskan, perintah tersebut khusus kepada ahli ilmu yang mengetahui tentang apa yang ditegah dan apa yang di suruh. Lihat Al-Shawkani, Fath al-Qadir, jil. 4, Beirut: Dar al-Fikr, h. 165.

4 Muhammad ‘Abduh (1849-1905) berpendapat, perkataan minkum bukan bererti daripada kamu, akan tetapi ia sebagai satu tambahan bagi menjelaskan perintah selepasnya. Oleh itu, tanggungjawab dakwah adalah atas semua orang. Ia tidak dikhususkan kepada sesuatu golongan sahaja. Bandingannya sebagaimana penjelasan Allah dalam surah al-‘Asr dan surah al-Maidah ayat 78-79 yang maksudnya ditujukan kepada umum. Lihat Muhammad Rashid Rida, al-Qur’an al-Hakim al-Shahir bi Tafsir al-Manar, Jil. 4. Beirut: Dar al-Ma’rifah, h. 27.

5 Al-Qur’an, surah Ali Imran: 110

6 Ibn Manzur, Lisan al- ‘Arab, Jil. 14. Beirut: Dar Sadir, h. 257-261

7 Muhammad al-Ghazali (1981). Ma’a Allah: Dirasat fi al-Da’wah wa al-Du’at, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Islami, h. 17.

8 Adam Abdullah al-Aluri (1989), Tarikh al-Da’wah al-Islamiyyah baina al-Ams ila al-Yaum, Kaherah: Maktabah Wahbah, h. 17.

9 Dr Ra’uf Shalabi (1982), Sikulugiyah al-Ra’I wa al-Da’wah, Kuwait: Dar al-Qalam, h. 49.

10 Dr. Yusof al-Qradawi (1978), Thaqafah al-Da’iyah, Beirut, h. 5.

11 Ab. Aziz bin Mohd Zin (1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, h. 76.

12 Ab. Aziz bin Mohd Zin (1991), Syahadah Ibadah Asabiah Dakwah, Petaling Jaya: Tempo Publishing, h. 103.

13 Roslan bin Mohamed (2002), Dakwah Non Muslim: Satu Introspeksi Ringkas, dalam Jurnal YADIM, bil. 3, Jun 2002, KL: YADIM, h. 121.

14 Wan Hussein @ Azmi Abdul Kadir (1998), Islam Agama Dakwah: Suatu Pengenalan, dalam Prinsip dan Kaedah Dakwah Dalam Arus Pembangunan Malaysia, Selangor: Penerbit UKM, h. 22.

15 Lihat al-Qur’an, surah al-Rum:30

16 Al-Qur’an, surah al-Nahl: 125

17 Wan Hussein @ Azmi Abdul Kadir (1998), op.cit., h. 22

18 Ra ‘uf Shalabi, al-Da’wah al-Islamiyyah fi ‘Ahdiha al-Makki , Kaherah: Majma’ al-Buhuth, h. 342.

19 Lihat al-Qur’an, Surah al-Maidah: 92 dan surah al-Nahl: 35

20 Lihat al-Qur’an, surah al-Baqarah: 185.

21 Lihat al-Qur’an, surah Ali ‘Imran: 159.

22 Fathi Yakan (1970), Kaifa Nad’u ila al-Islam, Beirut: Dar al-Hadith, h. 21.

23 Lihat al-Qur’an, surah al-‘Ankabut: 45

24 Lihat al-Qur’an, surah al-Maidah: 91.

25 Al-Bukhari, (1979), Sahih al-Bukhari, Jil. 1. Istanbul, h. 41.

26 Abd al-Karim Zaydan (2000), Usul al-Da’wah, Beirut: Muassasah al-Risalah, h. 413.

27 Ibid., h. 414.

28 Baginda memulakan dakwahnya di kalangan keluarganya sendiri, terutamanya yang terdekat. Apabila keluarganya sendiri memeluk Islam, ia akan menjadi benteng pertahanan yang kuat kepada dakwah dari ancaman luar. Ini termasuklah isterinya Khadijah, anak angkatnya Zaid bin Harith dan sepupunya Ali bin Abi Talib. Di samping keluarga terdekat, Baginda mendahulukan dakwah kepada golongan yang ada tanda-tanda akan menerima Islam dan berpotensi dalam dakwah seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Dengan pengislaman orang-orang yang berpotensi dalam masyarakat, maka Islam lebih cepat berkembang dan dapat mengurangkan tentangan musuh.

29 Ab. Aziz bin Mohd Zin (1997), op.cit., h. 79.

30 Dr Mustafa al-Siba’i, al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa’Ibar, Beirut: al-Maktabah al-Islami, h. 46 dan 49

31 Ibid., h. 47 dan 49.

32 Untuk mengetahui pendekatan-pendekatan dakwah Rasulullah s.a.w. dengan lebih terperinci, sila lihat ‘Abd al-‘Aziz Barghuth (2001), Manahij al-Da’wah, c.3. Dar al-Tajdid, 201-234.

33 Menurut Sayyib Qutb, hikmah yang disebutkan dalam ayat 125 surah al-Nahl bermaksud dengan melihat kepada keadaan sasaran dan suasana mereka, kadar yang perlu supaya tidak memberatkan mereka dan tidak menyusahkan mereka sebelum mereka bersedia. Ia juga termasuk cara penjelasan dan kepelbagaian mengikut keperluan dan jangan sekali-kali berdasarkan semangat yang boleh terkeluar daripada hikmah. Lihat Syyid Qutb, Fi Zilal al-Qur’an, muj. 4. h. 2201-2201.

34 Dr Ra’uf Shalabi, al-Da’wah al-Islamiyyah fi ‘Ahdiha al-Makki, h. 344.

35 Ab. Aziz bin Mohd Zin (1997), op.cit., h. 102-103.

36 Al-Nawawi (1972), Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, Jil. 2. Beirut: Dar al-Fikr, h. 9-10.

37 Al-Nadawi, al-Sirah al-Nabawiyyah, 311-315

38 Fathi Yakan, Kaifa Nad’u ila al-Islam., h. 42.

39 ‘Abd al-Latif Hamzah, al-I’lam fi Sadri al-Islam, h. 141-142

40 Ibid., h. 143-144.

41 Wan Hussein @ Azmi Abdul Kadir (1998), op.cit., h. 25.

42 Untuk keterangan lanjut mengenai dialog antara agama sila lihat Prof Madya Dr Khadijah Mohd Hambali (2006), “Dialog Antara Agama (Dialog Peradaban): Realiti, Aplikasi dan Cabaran”, (Kertas kerja Seminar Islam dan Hubungan Antara Agama di Malaysia Peringkat Kebangsaan, anjuran Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 18-19 Januari 2006)

43 Islamisasi seni muzik adalah satu usaha pembebasan seni muzik daripada unsur-unsur tahyul, mitos, animis, sekular dan pengembalian kepada fitrah asalnya iaitu untuk mencari ketenangan dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Dengan kata lain, ia bukanlah mewujudkan satu bentuk seni muzik yang baru, akan tetapi menilai dan mengislamisasikan apa yang dikatakan bercanggah dengan syariat agar selaras dengan tuntutan syara’ dan supaya ia mampu mendidik jiwa manusia.

44 Mohammad Kamil Hj Ab Majid dan Muhammed Yusof (2005), “Ke Arah Memperkasakan Islamisasi Seni Muzik Sebagai Satu Alternatif: Satu Pengamatan Awal”, (Kertas Kerja Persidangan Pendidikan Muzik Kebangsaan Mus Ed’05 di UPSI pada 28, 29, 30 November 2005), h. 14.

45 Mohammad Kamil Hj Ab Majid dan Muhammed Yusof (2006), ”Islamisasi Seni Muzik Sebagai Hiburan Alternatif: Satu Analisis Sari Perspektif Pendekatan Dakwah”, (Prosiding Seminar Serantau Dakwah dan Kesenian di UKM pada 7-8 Ogos 2006), h. 293.

Read more...