Kahwin Selepas Berzina
Bersama:KAMIL MAJID
Assalamualaikum,
Soalan: Saya ada kemusykilan tentang sah atau tidak perkahwinan seorang perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan. Mengikut buku teks agama tingkatan 5 dan hujah ustazah saya, perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan dikategorikan sebagai perempuan yang haram dikahwini sementara.
Betulkah sekiranya mereka berkahwin, lafaz nikah tersebut adalah tidak sah dan persetubuhan di antara pasangan mereka adalah zina? Kerana perkahwinan sebegini semakin menjadi-jadi dan kisah hidup pasangan seperti ini sering dipaparkan di dada umum, tetapi tidak ada yang menegur tentang sah atau tidak ikatan perkahwinan mereka. Jadi, adakah saya terlepas sesuatu? Adakah hadis dan dalil yang boleh menerangkan dengan terperinci tentang situasi tersebut?
– Remaja ingin tahu, Melaka.
Jawapan: Saudara, perkahwinan adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang dan bekerjasama untuk membina kehidupan.
Imam al-Syaukani mengatakan, orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3 surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.
Namun ada satu pengecualian, bahawa jika kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin (maksud surah al-Ma`idah ayat 5), mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu adalah taubat yang bersungguh- sungguh (nasuha). Taubat sebenar dalam maksud beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.
Pendapat ini diberikan oleh Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah Jilid 2. Pandangan begini dipersetujui sama oleh beberapa imam lain seperti Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.
Imam Ahmad menambahkan satu lagi syarat iaitu boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah. Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.
Walau bagaimanapun ada mazhab yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Syafii, Hanafi dan Maliki yang mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan, justeru perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.
Pendapat ini mentafsirkan maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela perbuatan zina.
Namun mazhab Malik mahu supaya ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Syafii yang tidak mensyaratkan soal edah itu.
Murid Abu Hanifah bernama Abu Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil zina itu.
Walau apa pun, perbuatan zina adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang suci.
Berdasarkan soalan saudara, sah atau tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, ia adalah sah jika menurut mazhab Syafii seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq. Namun dengan penzina lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.
Penzina sama ada lelaki atau perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan hodoh. Tidak sepatutnya melumurkan penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih. Di dalam Islam, hukum perkahwinan adalah ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya? Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.
Lebih daripada itu mungkin mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat atau jasmani yang rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.
Oleh itu, lelaki atau perempuan yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh hidup senang dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran murni.
Perkahwinan sepatutnya menimbulkan kasih sayang, mawadah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu daripada pasangan yang jahat, atau fasiq. Wallahualam.
- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment