Hari ini dalam Hijrah

Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Tuesday, August 14, 2007

PUISI SEMINAR ILMUAN

Persidangan antara bangsa para ilmuan,

Peserta mewakili berbagai zaman dari serata ceruk alam,
Umar al-khattab pengerusi sidang utama,
Umar Abdul Aziz pengapait rapat,
Mewakili tabi`in terhormat.
Abu Hanifah, Malik, Shafi`i dan Ahmad pembentang kertas kerja hukum,
Asy`ari, Maturidi, Juwaini dan Razi hadir bengkel Usuluddin,
Hasan Basri, Junaid Baghdadi, Qushairi dan Rabia`tul `Adawiyah hadir bengkel sufi,
Ibn Taymiyyah, Ghazali, Shatibi hadir bengkel tajdid fikri dan amali,
Beratus ilmuan menjadi peserta khusyuk mendengar hujah berperi.

Bengkel bahasa Sibawih pengerusi,
Bengkel Tafsir mengumpulkan Tabari, Zamakhsyari dan Qurtubi,
Bengkel hadith diwakili Bukhari Muslim Tirmidhi,
Ramai peserta dari kalangan Salafi,
Turut serta pengikut khalafi menjadi pemerhati.

Pada akhir persidangan tercapai satu resolusi,
Menasihat umat bersatu kembali merujuk Quran dan Sunnah Nabawi,
Mengguna akal penuh bistari,
Dan sambung resolusi itu lagi.

“Jangan ada menolak akal,
Apalagi menolak nas qat`i,
Nas didalami dan akal menggarapi,
Menoleh suasana zaman, tempat, adat dan uruf melingkari”

Tahukah kita semua mana qat`iyyat yang tak berubah hukumnya,
Mana murunah yang berubah menurut realiti berbeza,
Mana muhkamat dan mana mutasyabihat,
Jangan ilmu sekangkang kera mahu jadi mujtahid pula,
Tak tahu alif, ba, ta mahu jadi mujaddid juga,
Akhir si jahil jadi hero dunia.

Sidang mulia akan di adakan secara tahunan,
Memugar isi kandungan al-quran,
Dan makna mutiara hadis di taman,
Mengambil segala buah pemikiran ilmuan zaman berzaman,
Dari Ibn Khaldun hingga Afghani, Abduh dan Ali Syari`ati,
Menalaah pandangan Malik Bin Nabi dan Abul Hasan Ali al-Nadwi.

Tahun depan tema lebih berspisifikasi,
Akidah, dakwah,usul dan hukum,
Ekonomi, pengurusan, politik dan seni,
Semuanya berperspektif Islam,
Para akademia dari universiti seantero dunia dijemput hadir,
Mewakili ilmuan zaman ini.

Persidangan tanpa upacara resmi-resmian,
Raja tidak meresmi, menteri tidak dijemput,
Kerana penganjur tidak ada wang cukup untuk dibazirkan,
Tidak ada jamuan kepada para muktamirin,
Semua guna wang poket sendiri-sendiri,
Justeru ilmuan golongan tidak terbela ekonomi mereka.

Wang sudah habis SMS mencari juara fantasia,
Mencari Malaysian Idol,
Dan Mawi menjadi heronya,
Hingga berebutlah UMNO dan PAS menarik Mawi sebagai umpan baru,
Berpolimik Mursyidul Am dan ketua Dewan Ulama,
Sehingga berserabut jadinya.

Pastikan tema seminar tidak tersasar,
Dengan isu remeh temeh,
Bimbang para ilmuan lagi jauh ditolak ke tepi,
Kerana seorang penghibur menarik jutaan tarikan,
Para ilmuan terkapai-kapai mencari metod baru lagi,
Pendekatan mereka dikatakan ketinggalan zaman...


Read more...

Puisi Monolog Pesara 06 Kamil Majid

UM itu adalah hujung usia,
Banyak pengertian banyak makna,
Bagiku UM adalah usia matang,
Ketika usia menjejak lima puluh lima,
Aku berada di UM,
Universiti Malaya,
Sesuku abad berteduh di situ.
UM juga membawa pesanan untuk muslim umat ku,
Pesan untuk Melayu bangsa ku.

UM: Usia Matang,
Pada usia ini patut segalanya tidak lagi lintang pukang,
Jika jadi pemimpin tunjukkan contoh teladan,
Namun kekadang hati juga meradang,
Ada pemimpin berperangai buruk,
Tidak faham apa yang dia sendiri tak keruan mahu katakan,
Cakap masih macam kebudakan,
Muntah kata jeluak nista,
Sesama sendiri buka sengketa dan pekung di dada.

Siapa yang matang itu? Aku bertanya diri sendiri,
Ahli ilmu kekadang tidak sampai ke situ,
Ilmu banyak gondol ijazah besar,
Malah digelar pula cendikiawan sarjana,
Pidato dan retorik lemas mendengarnya.

Ahli ibadat pun belum sampai jua,
Masih menunjuk warak hutang tak bayar juga,
Kumat kamit lidah belum tentu sepadan dengan apa ada dalam dada,
Panjang tasbih kekadang hanya jadi topeng boneka setan,
Mereka menipu diri sendiri,
Jauhari tahu mana manikam.

Atau diharap pada para saudagar peniaga,
Lebih ramai tamak haloba,
Lukisan perhiasan dibeli harga berjuta konon memperaga,
Harta berjuta tidak juga redha,
Masih tidak tahu mana lebih dekat ke mana,
Syurga atau neraka.

Mungkin lebih matang pegawai besar kerajaan,
Namun ada yang merempat lepas bersara,
Tidak tahu guna pengalaman memimpin jentera,
Yang terus tamak pun ramai jua,
Hingga hilang nama baik wira bangsa.

Aku pun bertanya diri empunya,
Kenapa negatif menilai segala perkara pada hujung usia,
Bukankah ramai mereka yang boleh dipercaya,
Bersantun kata berhikmah bicara,
Bertindak bijaksana,
Tapi bilangan mungkin tidak seberapa,
Satu dalam seribu.

Seorang pelajar ku pernah bersuara:
"Ustaz, dunia sudah hilang satu mutiara,
Kerohanian sudah di alpa,
Lantas agama tidak lagi menjadi agenda,
Banyak mereka yang fikirnya tambah harta,
Sama seperti firman Tuhan dalam surah al-Takathur,
"Tidak tahu guna harta dan tak tahu bersyukur".

Kerana alpa juga,
Bersabdalah Nabi, si tua bangka pun berzina,
Si papa kedana menjadi sombong,
Malah pemimpin berbohong,
Nanti mereka tidak akan dilihat Tuhannya.

UM-Universiti Malaya,
Terbilang seratus teratas di dunia,
2005 menjunam terbaik 200 di dunia,
Pasang surut seperti air di laut,
Hingga pengurusan menjadi kalut.

Tahun 1981 aku ke sini: UM,
Pengajar yang tidak ada nama tidak punya apa-apa,
Masuk pintu besar takut pada pengawal,
Gahnya nama universiti perdana dan tertua.

9 Januari 2006 aku bersara secara paksa,
Khidmatku sampai hujung usia,
Sesuku abad menabur jasa mendidik anak bangsa,
Entah berapa ramai pelajarku mahasiswa,
Entah berapa ratus sudah lulusan sarjana,
Bertugas di mana-mana hingga hujung dunia,
Aku bangga dan itu hak milikku yang patut ku bangga.

UM memberi dan menerima,
Diberikan padaku nama bergelar professor madya,
Dengan nama dianugerah UM aku meredah seluruh nusantara,
Hadir persidangan kebangsaan dan antarabangsa,
Masuk desa masuk ke istana,
Berucap depan raja, depan perwira,
ke Sabah, Sarawak, Brunei, Pakistan, London, Jakarta, Yogjakarta,
Mesir bumi kedua tercinta,
Dewan negeri dan pendalaman yang ngeri,
Berbagai tajuk ku ucap kata-kata,
Tentang membina diri hingga soal Islam Hadhari,
Kononnya ceramah seorangan sarjana Universiti Malaya.

Mana negeri di semenanjung tidak ku pergi,
Mana jabatan tidak ku masuki,
Depan menteri atau dalam rimba Pahang di Pelangai,
Depan ulama dan para mufti,
Beberapa panel dilantik kerana nama ku ada di universiti ini,
Demikian UM membawa erti.

UM untuk muslim umatku,
Aku sedih melihat umatku begini,
Makin parah hari demi hari,
Dari isu Palastin bila akan berakhirnya?
Kashmir, Afghanistan, Iraq dan isu berjela-jela,
Mungkin tak akan selesai sampai bila-bila.

Seorang muridku di masjid pernah berkata,
Mengeluh dia:
"Beginilah ustaz tidak akan ada hujungnya
hidup ini ujian,
dan kita pemilih bestari perlu tentukan
di mana kita".

Sekali sekala terkenang aku jua,
Bila akan datang Ibn Hanbal baru, Ibn Taymiyyah zaman ini,
Jamaluddin dan Abduh abad 21M,
Supaya umat tidak lagi diterjah punah,
Kerana nila setitik rosak susu sebelanga,
Kita dikatakan pengganas durjana,
Sedang pencuri sebenarnya memburu mereka yang dituduh pencuri itu.

Aku masih optimis umatku muslim masih kuat,
Mereka seperti sekam dalam api yang tidak mati lumat tetapi membara,
Ia seumpama bangunan pencakar yang akan bangun semula,
Perlu dihunjam ke dalam besi tapak bangunan,
Supaya lebih kuat dan ada upaya.

UM untuk Melayu bangsaku,
Dituduh dengan berbagai perkara,
Kekadang ada benarnya jua,
Pemalas, suka berhibur, hasad dengki, sombong diri,
Hanya jika mereka berpegang kuat pada agama,
Menjadi sopan santun, bestari dan berbudi tinggi,
Kuat jati diri.

Istana raja satu ketika,
Pusat bangsaku mengaji,
Ulama dijunjung ilmu disebar,
Para mufti penasihat sebenar para raja.

Istana juga menjadi pusat budaya pengaruh Barat,
Tidak ada lagi anak raja jadi ulama,
Mereka menjadi pengikut setia budaya Barat,
Adat lama masih juga bertakhta,
Kemenyan masih berasap,
Kain kuning masih direntang.

Aku bertanya sendiri pada waktu dinihari ini,
Umatku,
Bangsaku,
Masihkah jauh nyata,
Kata-kata Menteri Perdana,
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang...
Read more...

Sunday, June 24, 2007

PUISI SEDETIK SESAAT

Sedetik sesaat kita dilahirkan ibu,
Menangis suara menemui dunia baru,
Membesar merangkak berjalan dan berlari,
Mencari hakikat ke taman ilmu mengenal diri.


Sedetik sesaat kita berfikir,
Kita berzikir,
Baru kita temui,
Insan hanyalah setitik air dari lautan luas makhluk penghuni buana.

Kita mesti berlari menerpa,
Mengejar masa,
Yang sudah senja,
Ke bintang kejora.

Sedetik sesaat,
Kita mengingat,
Berusaha mencari syurga di hati,
Dan mencari syurga hakiki.

Jadikan kerjaya jalan ke syurga,
Sebagai hamba berabdi diri kepada Maha Esa,
Ya Rabbi ya Ilahi ya Maulaya,
Engkaulah akhirnya penentu segala.

Jangan jadikan kerjaya anda jalan ke neraka,
Dengan epistemologi sesat lagi menyesat,
Sinarkan matlamat dengan cahaya keramat,
Akal, jiwa, hati yang berkat.

Jangan jadikan diri anda rama-rama,
Yang mati dalam neon malam,
Jadilah diri paksi yang berdiri tegak,
Insan yang lebih sempurna... Read more...

Friday, May 25, 2007

Puisi Hadhari Bermula




Hadhari Bermula,
Apabila manusia pertama menyatakan:
“Engkaulah sahaja(Ya Allah) yang kami sembah
Engkaulah sahaja(Ya Allah) yang kami mohon pertolongan
Tunjukilah kami jalan yang lurus”.

Telah datang kepada kita cahaya kebenaran ilahi
Telah turun kepada kita kitab suci yang jelas nyata kebenaran
al-Quran itulah menunjukkan jalan-jalan keselamatan
Jalan kesejahteraan

Allah telah menetapkan hukumnya
Tidak akan terubah nasib satu bangsa yang hanya pandai berzikir
Mengumat ngamitkan doa tanpa usaha
Kerana Allah telah menetapkan hukumnya
Bangsa itu mesti mengubah apa yang ada pada diri mereka


Lalu Allah berfirman:

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta
Dia mencipta manusia dari air mani menjadi sebuku darah beku
Bacalah dan Tuhanmu yang amat Pemurah
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
Yang mengajarkan manusia apa yang dia tidak tahu
Yang memuliakan kajian dan penyelidikan

Menjejak kaki ke bumi
Adam merasa terhina oleh binatang buas yang menyindirnya
Tanpa seurat benang di tubuhnya
Alam tabi`i semua turut sinis dengan diri yang tanpa apa-apa
Adam terasa lapar dahaga yang amat sangat


Dia lari ke gua yang gelap pekat tanpa cahaya
Memikir tentang diri yang
menempuh bahaya
Seluruh persekitaran memusuhi diri kerdil tak bermaya
Dia pun tidak tahu apa yang boleh menangkis segala yang akan tiba
Lalu insan kerdil bernama Adam itu mendongak ke langit
Dilihatnya beburung berterbangan
Dilihatnya di air ikan-ikan berenang keriangan
Di bumi binatang buas berkeliaran
Adam merasakan diri dalam ancaman tiada keselamatan
Cemburunya pada haiwan yang lemah pun ada tempat berteduh
Ada simpanan makanan
Tanpa ada ketakutan
Adam merasa diri penuh kehinaan
Lalu dia mengangkat tangan memohon restu pada Tuhan
Allah pun memberikan kepadanya arahan firman:
“Wahai lelaki,aku berikan kamu akal dan tangan
Aku berikan kamu bumi dan zaman
Pergilah kamu, kerjakan apa yang beburung lakukan
Menyelamlah kamu, seperti ikan-ikan penuh kebebasan “.

Adam terasa kembali semula segala kekuatan ego dirinya
Dia punya kudrat dan dia punya iradat kemahuan
Terbuka di depan mata kehidupan yang punyai matlamat jangka panjang
Mentari terus memancar di atas ubun-ubun kepala
Adam bertekad menempuh hari muka penuh ceria
Akan dibinanya
Tamadun tinggi di huni anak cucunya
Membangun sebuah hadarah gemilang bani Insan
Ada tauhid ada akhlak dan moral tinggi
Ada lebuhraya ada bangunan pencakar langit
Dan manusia menikmati satu kehidupan
Aman tanpa keganasan
Selamat tanpa penyangak pengkhianat
Sebuah daerah dunia aman makmur dan sejahtera
.
Read more...