Soalan: Saya selalu keliru dengan pandangan para penulis dan penceramah yang selalunya memberikan berbagai penilaian terhadap ulama silam, malah ulama semasa pun. Beberapa nama yang agak kontroversial seperti Ibn Taymiyyah, Muhammad Abdul Wahab, Ibn `Arabi malah Imam Ghazli sendiri. Daripada kalangan ulama terkemudian nama-nama kontroversial juga seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh dan Muhamad Iqbal. Bagaimana sebenarnya kedudukan mereka ini. Bolehkah kita ikut mereka atau tidak? Saya juga mendapati beberapa percanggahan tentang Syed Qutub. Ada mereka yang mungkin taksub kepada nama –nama ini atau ada yang menolak pendapat mereka itu. Bolehkah prof. bincangkan perkara ini yang selalu diperdebatkan. Peminat Pemikir Islam, Kota Kinabalu, Sabah. Jawapan: Memang ternyata anda seorang peminat bidang pemikiran Islam dan tokoh-tokoh pemikir. Saya percaya anda juga seorang pembaca yang rajin. Soalan ini cukup rumit untuk diperincikan dalam ruangan yang terbatas ini. Walau bagaimana pun saya akan cuba melayani permintaan sdr. Yang saya kira patut dipuji dan dialu-alukan. Sebagai orang awam, kita harus ingat kata-kata bidalan Melayu ” Jauhari juga yang mengenal manikam”. Maka ramai daripada kalangan penulis mahu pun pendakwah yang tidak sebenar-benarnya mencapai status jauhari. Lalu mereka tidak dapat membezakan mana yang intan dan mana yang kaca. Tetapi anihnya, mereka ini cukup berani membuat penilaian terhadap tokoh-tokoh ini. Jika saya jahil dengan nilai permata atau suara burung yang merdu, bagaimana saya boleh menilai itu semua. Malah mereka yang tidak mencapai tahap tertentu dalam permainan bola pun bukannya mudah ingin menilai seorang pemain bola yang baik. Inikan pula berkait dengan bidang pemikiran tokoh. Saya cukup hati-hati dalam masalah ini. Para ulama atau pemikir yang yang disebut di atas sebenarnya merupakan ulama muktabar, malah sebahagian besar mereka itu diangap mujtahid atau mujaddid. Mereka ulama umat untuk menjadi contoh tauladan kepada semua. Kita semua tidak harus menjadi taksub kepada mazhab atau aliran tertentu. Daripada kalangan bangsa Melayu mungkin tidak ada yang mencapai kedudukan tinggi seperti mereka. Hanya mereka yang taksub, akan melihat ulama yang sesuai dengan fikiran mereka sahaja mereka terima. Adapun ulama yang tidak sesuai dengan fikiran mereka ditolak. Perbuatan sedemikian menjadikan kita ”bodoh sombong”. Mungkin juga orang lain akan menilai kita sebagai ilmu tidak cukup matang. Ada mereka umpamanya yang mempertikaikan kedudukan fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah, kononnya tidak banyak menggunakan hadis, tetapi membuat hukum berdasarkan pemikiran rasional. Pada hal Imam Abu Hanifah seperti ulama lain juga yang membuat fatwa berdasarkan al-Quran dan hadis. Cuma mungkin berbeza dengan Imam Ahmad atau Imam Malik dan Imam Shafi`i, beliau lebih banyak menggunakan akal. Tak bermakna beliau menolak hadis, atau kurang tahu tentang hadis. Kalau pun dia kurang tahu hadis seperti tiga ulama yang lain itu, namun ia tetap imam mujtahid yang jauh lebih banyak tahunya daripada kita yang berlagak mahu menilai mereka itu. Ibn Taymiyyah, ulama mujaddid yang hebat. Tokoh pembaharu dalam dunia Islam pada abad 13M. Namun ramai mereka yang tidak menyukainya menganggap beliau sebagai musuh atau menuduhnya dengan berbagai tuduhan. Perbuatan ini tidak lebih daripada akibat taksub kepada mazhab mereka. Ibn Taymiyyah tidak diberi kedudukan yang baik. Beliau seorang ulama yang hebat dalam bidang hadis, fekah, tafsir dan sebagainya. Tetapi kita ini siapa yang cuba menilainya. Apakah kerana beliau bermazhab Hanbali dan kita bermazhab Syafi`i maka layak kita menolak kealimannya. Lebih teruk kerana pendapatnya berbeza dengan pendapat kita lalu dituduhnya menyeleweng dan murtad. Siapa sebenarnya yang menyeleweng. Saya bimbang penolakan itu kerana kita hanya ada sedikit ilmu yang tidak punyai kayu ukur untuk menilai mereka seperti ini. Lebih-lebih lagi terhadap tokoh seperti Syekh Muhammad Ibn Abdul wahhab, tokoh mujaddid zamannya diberi berbagai tuduhan. Anihnya, yang menuduh tokoh ini, membaca kitab Arab pun tidak tahu dan ilmunya jauh daripada mencapai taraf keilmuan Syekh Muhammad ini. Samalah mereka yang menolak pandangan al-Ghazali pun juga amat memalukan. Dengan hanya membaca dua tiga buah kitab dengan beraninya sudah pandai menghukum itu dan ini kepada orang lain. Dan menjadi mangsa juga ulama pembaharu dan pembawa ubur Islah lain seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh, Hasan Al-Banna atau Iqbal. Pada masa akhir-akhir ini juga Syed Qutub dan Maududi menjadi kecaman. Siapa kah kita yang berani menilai mereka ini? Apa yang seharusnya disedari, mereka itu adalah para ilmuan dan mujtahid atau mujadid. Mereka masih mengikuti kehendak Islam untuk mereka memahami Islam melaui al-Quran dan al-hadith. Lantas mereka mengeluarkan pendapat dan pemikiran yang lebih berani. Mereka bukan ulama jumud dan beku. Mereka mempunyai kefahaman yang benar. Mereka membawa aliran Islam yang berasaskan anjuran al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Untuk tidak bersikap zalim kepada mereka, syarat pertama setiap kita patut cuba memahami latar belakang zaman dan waktu mereka hidup. Ibn Taymiyyah muncul pada zaman orang Islam berpecahbelah. Aliran akidah, tasawuf dan fekah yang bercakaran sesama sendiri. Lalu dia muncul mempelopori penyatuan untuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kekuatannya menyatukan umat supaya kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Jangan lagi taksub mazhab. Apakah salah dia menganjurkan untuk tidak taksub mazhab. Mana hadis nabi yang menyuruh kita umat Islam taksub kepada mazhab? Muhammad Abdul Wahab pula melaksanakan pengajaran Ibn Taymiyyah secara praktis, ketika masyarakat semenanjung Arab jauh ke dalam syirik hingga ada yang menyembah pokok kayu. Wajar lah beliau mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang syirik itu. Beliau membawa pendekatan tauhid yang lebih mudah difahami berbanding dengan pendekatan yang sifatnya terpengaruh dengan aliran Mu`tazilah atau falsafah Greek. Ibn `Arabi mempunyai kreativiti rohaniah yang cukup tinggi. Abbas Mahmud al-`Aqqad menyifatkannya sebagai genius. Namun mereka yamg tidak dapat memahaminya menuduhnya kufur dan sebagainya. Saya berpendapat tokoh-tokoh ini kesemuanya, meskipun ada kelemahan mereka, tetapi berbanding dengan sumbangan besar mereka, mereka jauh banyak berjasa kepada Islam berbanding dengan kita yang berani mengatakan itu dan ini kepada mereka. Apa sumbangan para pengkritik dan pengutuk ini yang baru masih bertatih dalam ilmu Islam. Contohnya, Jamaluddin Afghani yang dituduh pernah menganggotai freemason tetapi adakah tuduhan ini benar?Mungkin kah dia diperangkap atau tidak sengaja berlaku demikian. Namun jasanya kepada dunia Islam cukup besar. Apalagi beliau menjadi inspirasi ke arah pembebasan bangsa Timur menuju kemerdekaan. Bukan sahaja untuk umat Islam tetapi bangsa yang terjajah yang sanggup berjuang mencapai kemerdekaan. Tanpa pengaruh Jamaluddin Afghani dan Abduh, mungkin Malaysia pun masih dijajah politiknya sampai hari ini. Abduh juga menjadi wira dalam reformasi pendidikan Islam moden di dunia Islam. Kehebatan universiti Al-Azhar hingga namanya harum sampai ke hari ini dan Abduh berperanan memberi sumbangan besar kepada pemodenan pendidikan Islam. Hingga kini, al-Azhar bukan sahaja pusat ilmu agama tetapi menawarkan berbagai disiplin pengajian seperti perubatan, kejeruteraan dan lainnya. Kesimpulannya, jangan kita mudah menuduh mereka itu kerana ada sedikit kesilapan, atau mereka tidak sama dengan cara kita berfikir dan bertindak. Manalah ada manusia yang sempurna. Dan adakah kita yang menuduh orang itu begitu dan orang ini begini memberi jasa besar kepada umat Islam. Adakah kita ada kekuatan seperti Iqbal yang memberi inspirasi kepada pembentukan negara Islam Pakistan. Apakah penuduh ada kekuatan sanggup mengorbankan nyawa mempertahankan Islam seperti Syed Qutub. Mengambil sikap mempersalahkan semua orang akan melahirkan masyarakat yang tidak menghormati dan mengiktiraf peranan pihak lain. Ia membawa perangai buruk tidak memberikan penghormatan dan penghargaan kepada para pemimpin semasa kerana berlainan fahaman. Islam memberikan kepada kita semua ruang untuk berbeza pendapat. Apa yang tidak dibenarkan adalah perpecahan kerana taksub kepada mazhab masing-masing. Fanatik dan taksub inilah yang menjadi perosak kepada perpaduan umat. Wallahua`lam. |
Buku menarik untuk download!
Hari ini dalam Hijrah
Saturday, September 6, 2008
KEDUDUKAN ULAMA SILAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment