Politik Wanita Ada Batasan-Mingguan Malaysia, Bicara Agama, 9 Mac 2008
Oleh Kamil Majid
SOALAN:
Saya seorang saudara baru keturunan India sejak dua tahun. Baru-baru ini saya membaca pandangan prof. mengenai ‘wanita boleh berpolitik’.
Saya mempunyai kemusykilan yang memerlukan penjelasan. Apa yang saya faham, dan mungkin kenyataan saya juga kurang tepat, Allah s.w.t. mengharamkan wanita mendedah aurat seperti rambut dan berfirman dalam al-Quran supaya wanita harus bertudung.
Lelaki dan perempuan dan tidak mahram haram bersentuhan kecuali dalam keadaan yang telah sah dan darurat seperti perubatan dan sebagainya. Tetapi apa yang kita lihat pada pemimpin wanita kita sekarang tidak sama seperti para isteri Nabi dan sahabat- sahabatnya yang pandai menjaga kemuliaan agama Islam.
Adakah berkecimpung dalam politik, bebas bergaul, berjabat tangan dengan lelaki bukan mahram, tidak menutup aurat (perkara asas yang jelas) menyumbang kepada kejayaan agama islam dan mendukung hasrat Nabi kita?
– Nordin, Pulau Pinang.
JAWAPAN:Saya amat terharu membaca surat saudara yang bertanyakan tentang sumbangan orang-orang politik, khususnya ahli politik wanita terhadap agama Islam. Saya juga bersetuju seratus peratus dengan apa yang saudara sebutkan. Justeru, apabila saya berpendapat wanita boleh berpolitik, mereka tidaklah seharusnya melanggar apa yang disyariatkan Allah dari segi pakaian dan menutup aurat, dari segi pergaulan yang bebas yang saya sudah sebut dalam artikel saya sebelum ini.
Pendapat yang saudara berikan, sesungguhnya memperlihatkan saudara, walaupun baru memeluk Islam tetapi lebih memahami daripada mereka yang sudah lama berada dalam agama Islam.
Hanya apa yang ingin saya kongsikan dengan sdr. mengenai mengikuti segala apa yang dilakukan nabi atau isteri-isteri nabi. Memanglah itu yang paling ideal untuk dicapai oleh setiap manusia seperti apa yang dilakukan oleh Ibn Umar yang akan berbuat apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Namun setakat apa yang saya faham, apa yang disebut sunah nabi itu walaupun kesemuanya elok dilakukan, tetapi tidak semuanya wajib kita lakukan kerana tidak semua sunah itu merupakan perundangan.
Ambilkan contoh, Rasulullah memakai tongkat di tangannya. Ia tidak semestinya setiap orang mengikuti perbuatan itu. Rasulullah berbuat demikian mungkin sebagai adat kaumnya yang memakai tongkat. Adat orang Malaysia, mungkin bukan begitu. Jadi kita tidak perlu pakai tongkat, tetapi tidak salah bagi mereka yang ingin berbuat demikian.
Demikian juga soal pemakaian, walaupun boleh sesiapa yang ingin memakai serban dan jubah atas alasan pakaian nabi, tetapi syariatnya adalah menutup aurat. Apa sahaja pakaian orang Melayu atau India dan Cina yang dikira menutup aurat, sudah dikira mengikut sunah, kerana sunahnya menutup aurat, bukan jubah dan serban itu.
Penampilan
Bukanlah tujuan saya untuk memperkecilkan penampilan seperti yang ditunjukkan nabi itu atau isteri nabi. Namun penampilan mereka itu adalah penampilan yang cukup sempurna. Ini bukan bererti, jika tidak sebiji dengan Rasulullah atau isteri baginda, kita umatnya tidak mengikut sunah lagi.
Ambilkan contoh lain, berjanggut dan menutup kepala bagi lelaki. Hal ini memang ada hadis menunjukkan ia satu sunah yang baik. Pakaian yang lengkap dan sempurna. Namun dalam beberapa hal ia berkait juga dengan adat dan keadaan setempat.
Mungkin bagi bangsa Arab, menutup kepala dan berjanggut itu pasti bagi mereka. Sebab itu di Arab Saudi mereka menganggap mereka yang tidak berjanggut dan tidak berserban dianggap tidak ikut sunah. Mungkin kerana bukan semua orang Arab itu beragama Islam, untuk membezakannya perlu kepada identiti sendiri.
Isu di sini yang saya nampak adalah soal identiti diri. Orang Islam tanpa mengira lelaki mahupun perempuan perlu menunjukkan identiti keislaman mereka. Mereka tidak seharusnya bergaul atau berpakaian, termasuk orang politik sehingga langsung tidak ada identiti keislamannya.
Oleh sebab itu apabila saya menganjurkan wanita boleh berpolitik, bukanlah bermaksud bebas melakukan apa sahaja, tetapi mereka terikat dengan syariat, adab dan etika Islam dalam semua perkara termasuk berpakaian dan pergaulan.
Cuma saya ingin menekankan sekali lagi di sini, kita umat Islam pada hari ini berada pada dua kutub ekstrem. Ada mereka yang ingin memenjarakan wanita di rumah, malah anehnya sampai sekarang masih ada seruan, melarang wanita ke kubur atau ke masjid atas alasan larangan daripada nabi. Adakah wajar, ketika wanita diizin ke mana sahaja, mereka masih tidak diizin untuk ke masjid? Suasana hari ini juga sudah berubah, sebab keselamatan dan unsur fitnah sudah “clear”. Patutnya wanita digalakkan ke masjid.
Dalam masa yang sama ada satu ekstrem lain iaitu membebaskan wanita tanpa had sehingga tidak ada lagi perbezaan mereka dan orang lain dalam berpakaian, pergaulan atau apa sahaja sehingga tidak wujud lagi satu identiti bagi wanita Islam.
Perkara ini amatlah dikesali, apalagi daripada kepimpinan yang harus menunjukkan contoh teladan yang baik. Wallahualam.
* Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment