Hari ini dalam Hijrah

Tuesday, November 27, 2007

Laporan Penyelidikan Projek Liberalisme dan Konservatisme

Temuramah bersama TYT Duta Besar Malaysia di Mesir
Temuramah Bersama Hamid Tahir (Pemikir Liberal)


Laporan Kajian “Islam Antara Liberalisme dan Konservatisme di Malaysia” di Mesir

Penyelidik: Prof. Madya Mohamad Kamil Hj Ab Majid

Prof. Dr Ab Aziz Mohd Zin

1. Istilah

Istilah liberalisme dipertikaikan untuk digunakan dalam tajuk kajian ini. Justeru, istilah ini timbul di Barat dengan latar belakang yang ada di Barat. Ini ditimbulkan oleh Jamal al-Banna, Hamid Tahir daripada kalangan liberalis mahupun al-Jalayand, Muhammad Imarah dan Mansur Arafah dari kalangan Islamis. Jadi , persoalan pemakaian istilah perlu diperhalusi dan diperjelaskan.

2. Tokoh-tokoh Liberalis Timur Tengah

Semua mengakui ada liberalis di kalangan pemikir-pemikir di Timur Tengah. Walau bagaimanapun Hassan al-Masyat melihat liberal tidak bertentangan dengan Islam, ekoran ada perbezaan di antara liberal dengan sekular. Pemikiran liberal katanya, wujud pada tokoh-tokoh Islam seperti Muhammad Abduh, Rasyid Ridha, al-Qaradhawi, Muhammad al-Ghazali, Muhammad Imarah, Muhammad Salim al-A’wa malah Mufti Mesir sendiri, Ali Jum`ah. Liberal bermaksud berfikiran bebas. Liberalisme Barat pula bebas tanpa batas.

Kenyataan ini disokong oleh Hamid Tahir tetapi menamakan tokoh di atas sebagai pemikir tajdid terhadap tokoh-tokoh seperti Muhammad al-Ghazali. , Khalid Muhammad Khalid, Muhammad al-Bahi, Muhammad Abdullah Daraz. Itulah tokoh-tokoh al-Azhar tetapi mereka itu termasuk al-Qaradhawi kata Hamid, skop tajdid mereka juz’i, mahdud dan terbatas.

Sambung Hamid Tahir, tokoh liberal sebenar di Mesir adalah seperti Hasan Hanafi, Atif al-iraqi, Nasr Abu Zaid ditambah pula dengan nama Muhammad Amin al-Alim dan Ali al-Harb. Menurut Muhammad Imarah pula, Hasan Hanafi bukan setakat tokoh liberalis tetapi zindiq atau mulhid dengan memetik ungkapan-ungkapan contoh daripada tulisan Hasan Hanafi sendiri. Malah, Muhammad Imarah menceritakan apa yang berlaku terhadap Hasan Hanafi iaitu dia pernah masuk Kristian ketika belajar di Perancis. Samalah dengan Nasr Abu Zaid yang dihukum murtad oleh Abdul Sabur Shahin bersama isteri beliau di Belanda ( dalam buangan ).

3. Pemikiran Liberal di Timur Tengah

Menurut Jamal al-Banna, beliau tidak berpegang pada manhajiyah mana-mana, tetapi berpegang kepada marja`iyah al-Quran dan as-Sunnah yang tidak bercanggah dengan al-Quran. Subhi Mansur pula menulis buku berjudul al-Quran wa Kafa. Ertinya, Jamal al-Banna berpegang kepada al-manhaj al-hurr (metodologi bebas). Baginya, Nabi hanyalah membawa unsur kepimpinan.

Pada hemat Jamal al-Banna, pemikiran Islam hari ini dikuasai oleh aliran Salaf (Ibn Taimiyah, al-Sar Khasi). Para ulamak Salaf mereka memang agung tetapi mereka bukan malaikat. Jarak di antara kita dengan mereka sudah 1000 tahun lamanya, apakah kita patut bertaklid begitu sahaja?

Jamal al-Banna menuding puak konservatif berada di al-Azhar. Mereka mempelajari Islam di luar zaman. Apakah perlu diterima semuanya tafsiran daripada zaman Ibnu Abbas hinggalah kepada Said Qutb.

Secara sinis, Jamal al-Banna mengatakan al-Azhar sudah merosakkan pemikiran anda. Begitu juga Wahabi yang membincangkan tidak lebih daripada isu hijab dan janggut. Sedangkan yang utama; akidah, syariat dan akhlak. Hamid Tahir mengutarakan kecaman terhadap al-Azhar dan Wahabi yang lebih mengutamakan perkara remeh seperti di atas

Hasan al-Masyat mengajak agar mengutamakan dialog, kebebasan memilih dan memuliakan peribadi manusia, itulah liberalisme. Tetapi beliau menolak liberalisme Barat sepenuhnya. Katanya, umat islam perlu dipertahankan keislaman mereka. Menurutnya lagi, ketika orang lain berubah seperti keretapi laju sebagaimana yang ada di Malaysia, orang Arab Mesir sukar berubah, umpama keretapi buruk. Malaysia menunjukkan contoh yang baik dengan; boleh menerima orang lain, berdialog dan bertoleransi, sesuai dengan la ikraha fi al-din.

4. Faktor Kemunculan

Taha Jabir al-Ulwani mempersalahkan golongan Islam yang tidak dapat mengemukakan program yang praktis. Ajaran Islam hanyalah ada pada dhamir, bukannya pada realiti. Realiti lebih baik di Amerika dan Eropah berbanding dengan negara umat Islam. Lihat apa yang berlaku di Pakistan, Sudan, Algeria dan Afghanistan. Malah negara Arab yang kaya pun tidak membayar zakat kepada negara Islam yang miskin.

Saad Mansur Arafah mempertikaikan konservatisme seperti Wahabi yang mengambil pendekatan keras (tasyaddud). Sebaliknya beliau menganggap al-Azhar membawa aliran moderate atau wasataiah. Pandangan ini sama seperti yang disuarakan oleh Duta Besar Malaysia, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir. Beliau menyatakan al-Azhar mewakili wajah sederhana, Mu`adil dan tawassut.

Al-Jalayand menyatakan liberalism berlaku kerana mendapat pengaruh ahli sosiologi Barat dengan pragmatisme Amerika. Dalam masa yang sama, Pengajian Islam pula mundur dengan kurikulum yang membincangkan isu-isu usuluddin yang tidak relevan lagi sebagai contohnya. Sepatutnya isu-isu af`alu Allah atau af`alu al-‘ibad dibincangkan dalam bentuk kerangka baru seperti hak asasi manusia, hak-hak wanita, fiqh minoriti muslim di negara bukan Islam, interaksi orang-orang Islam dengan bukan Islam dan seumpamanya.

Pandangan ini dikongsi sama oleh al-‘Ulwani yang ingin supaya diperbetulkan pendidkan agama. Malah al-Jalayand ingin memasukkan pengajian sains sebagai sebahagian daripada pengajian Islam sebenarnya.

5. Penyelesaian Masalah

Muhammad Imarah menyarankan supaya diterjemahkan buku-buku jawapan terhadap liberalisme ke dalam bahasa Malaysia. Begitu juga al-Jalayand.

Kumpulan liberalis kata Muhammad Imarah, mereka mendapat dana daripada Barat. Suara mereka tidak ada yang ingin mendengarnya di Mesir, sebab itu mereka menyebarkannya ke Asia Tenggara. Arafah menyetujui mereka ini tidak ada pengaruh. Mereka boleh diibaratkan seperti satu atau dua biji epal yang busuk dalam kotak besar yang menyebabkan kotak epal berbau busuk.

6. Dapatan Kajian:

1) Kebanyakan responden berpendapat pemakaian istilah liberal patut diperhalusi semula. Ia produk Barat yang asalnya tidak ada dalam istilah Islam.

2) Golongan liberalis meletakkan kesalahan pada golongan konservatif yang gagal mengemukakan Islam dalam wajah semasa. Islam dikemukakan oleh mereka dalam bentuk sejarah.

3) Puak liberalis menuduh al-Azhar dan Wahabi mewakili kumpulan jumud.

4) Golongan al-Azhar mengkafirkan Nasr Abu Zaid, Hasan Hanafi, malah menuduh mereka atheis. Pihak al-Azhar mengatakan mereka sebenarnya mewakili dan mempertahankan wasatiah. Sebaliknya, tokoh-tokoh liberalis adalah tali barut Barat dan mendapat dana dengan mencetak buku-buku bagi tujuan menyebarkan idea mereka.

5) Penyebaran kefahaman yang betul perlu di Malaysia melalui terjemahan buku-buku Muhammad Imarah yang sudah diberi izin untuk diterjemahkan.

6) Pemikir liberalis di Mesir menolak pendekatan wahabi dan al-Azhar secara umum. Mereka berpendapat boleh menerima aliran tajdid al-Azhar seperti al-Qaradhawi, Muhammad al-Ghazali, Abdullah Darras dan Muhammad Khalid tetapi tajdid mereka masih terbatas.

7) Dialog pemikiran rancak di Mesir. Ini menolak anggapan liberalis yang mengatakan berlakunya “keganasan pemikiran “ terhadap mereka. Pada anggapan golongan Islam, kalau berlaku keganasan pemikiran mana mungkin buku-buku mereka disebar secara terang-terangan seperti yang dilakukan oleh Maktabah Makbuli, jawapan pula dilakukan oleh Darul Syuruq.


Read more...

Tuesday, November 6, 2007

Penyelidikan di Mesir





Pada 20/10/2007 hingga 1/11/2007 Ustaz Kamil bersama Prof. Dr Ab Aziz Mohd Zin, pensyarah Universiti Malaya, berada di Mesir untuk menjalankan penyelidikan bertajuk Islam Antara Liberalisme dan Konservatisme di Malaysia. Misi di Mesir ini bertujuan untuk menemuramah beberapa orang tokoh liberal dan beberapa orang ulamak Mesir untuk mendapatkan pandangan tentang gejala pemikiran Islam liberal yang telah menular di seluruh pelusuk dunia Islam pada masa kini.


Hasil temuramah dengan beberapa orang tokoh liberal di Mesir seperti Hassan Hanafi(Pensyarah Universiti Kaherah), Prof. Dr Hamed Tahir (TNC Universiti Kaherah). Ustaz juga turut menemuramah beberrapa orang tokoh terkenal seperti Jamal al-Banna (penulis/pemikir ), Dr Arafah (Dekan Kuliyah Banat, Alexandaria), Dr Muhammad 'Imarah (pemikir Islam terkenal) dan Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (TYT Duta Besar Malaysia di Kaherah) sendiri untuk mendapatkan pandangan tentang gejala Islam Liberal ini.

Kajian tentang Islam Liberal ini akan dikumpulkan dan dianalisis dengan dapatan kajian daripada negara-negara lain seperti Indonesia dan Malaysia sendiri. Penyelidikan ini penting bagi merangka satu bentuk pemikiran sederhana (wasatiya) yang dapat mendasari pemikiran umat Islam supaya tidak terlalu bebas (liberal) atau tertutup (konsrevatif).

Read more...