Hari ini dalam Hijrah

Tuesday, October 23, 2007

Filem Kiamat Sudah Dekat



Filem ini mengandungi banyak unsur dakwah yang disampaikan secara bersahaja tetapi memberi kesan yang mendalam kepada para penonton. Filem yang mengisahkan tentang seorang pemuda rockers bernama Fandi yang jatuh cinta dengan Sarah, seorang anak Tok Imam (Haji Romli). Usaha Fandi untuk memikat hati Sarah bukanlah mudah. Pelbagai cabaran yang dihadapinya untuk menawan gadis tersebut. Fandi terpaksa berdepan dengan Tok Imam tersebut sebelum dapat memikat hati Sarah yang sudah ketiadaan ibu. Usaha Fandi nampak mustahil kerana dia tidak mempunyai asas langsung dalam ilmu agama walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam.

Dia tidak pandai bersolat, tidak tahu membaca al-Quran sehingga apabila ditanya tentang khitan pun dia tidak mengerti maksudnya. Tok Imam meletakkan syarat kepada kepada Fandi, jika dia mahu menjadikan Sarah sebagai isteri, dia perlu pandai membaca al-Quran dan pandai bersembahyang dalam masa dua minggu. Fandi begitu bersungguh-sungguh dalam usahanya itu. Mujurlah, seorang kanak-kanak bernama Samprol, jiran kepada Haji Romli tampil membantu Fandi sehingga dia berjaya menguasai ilmu membaca al-Quran dan bersembahyang.

Ujian paling getir yang dihadapi oleh Fandi ialah apabila Haji Romli meletakkan syarat kepada Fandi supaya menguasai ilmu ikhlas sebelum dapat memperisterikan Sarah. Dalam masa yang sama, Haji Romli telah pun memilih untuk bermenantukan seorang anak kepada rakannya yang belajar dalam bidang agama di Mesir walaupun Fandi sudah pandai bersembahyang dan membaca al-Quran. Ketika ini Sarah juga sudah mula menaruh hati kepada Fandi. Kerana patuh dengan orang tua, Sarah pasrah dengan keputusan bapanya itu tetapi meletakkan syarat supaya sesiapa pun yang bakal menjadi suaminya perlu menguasai ilmu ikhlas bukan hanya Fandi sahaja. Akhirnya, dengan segala susah payah walaupun kecewa dengan keputusan tersebut Fandi tetap reda dengan qada dan qadar Tuhan.

Fandi bertemu muka dengan Haji Romli dan menyatakan kesyukurannya dipertemukan dengan Sarah dan Haji Romli. Walaupun dia tidak dapat memiliki Sarah tetapi kerana Sarah dia berjaya menguasai ilmu asas agama, kerana Sarah juga lah keluarga dan rakan-rakan Fandi menemukan cahaya Islam dan mula mempraktikkan agama dalam kehidupan seharian. Fandi menyatakan bahawa dia akan rasa berbahagia jika melihat Sarah berbahagia. Melihatkan Fandi yang begitu ikhlas walaupun niat asalnya untuk memiliki Sarah tidak kesampaian, Haji Romli terus berubah fikiran dan bersetuju menjadikan Fandi sebagai bakal menantunya. Filem berunsurkan dakwah ini perlu diperbanyakkan lagi pada masa kini masa-masa akan datang kerana ia berupaya menjadi medan dalam memperbaiki sahsiah umat. Apa pandangan anda tentang filem Kiamat Sudah Dekat ini?

No comments: