Secara jujurnya, rancangan realiti tv berunsurkan dakwah ini tidak pernah saya ketahui kewujudannya walaupun ia sudah pun ditayangkan di kaca TV negara seberang, Lativi, sejak bulan Ramadhan tahun 2006. Sebaik sahaja melihat petikan-petikan video rancangan Pildaci (Pemilihan Dai Cilik) di lama web Youtube, jiwa ini berasa begitu kagum dengan kehebatan kanak-kanak Indonesia yang petah menyampaikan ceramah dan berpidato dengan begitu lancar sekali. Gaya mereka begitu bersahaja sehingga kadang-kadang kita lupa bahawa yang sedang bercakap itu hanya seorang kanak-kanak.
Kepetahan mereka berbicara, menyusun kata-kata, kadangkala diiringi dengan ayat-ayat al-Quran dan petikan hadis begitu mengagumkan. Kematangan mereka jelas terserlah pada gaya pengucapan yang berupaya menarik perhatian para penonton. Rata-ratanya penonton terdiri daripada orang yang lebih dewasa berbanding para peserta tersebut. Sebagai contoh, Rajib Faizul Hak yang baru berusia 8 tahun adalah antara peserta termuda dalam rancangan Pildacil. Rajib menyatakan bahawa dia sudah mula belajar berdakwah sejak berusia 4 tahun lagi dan menjadikan Ustaz Jeffry Al Buchori, seorang pendakwah terkemuka Indonesia sebagai idolanya.
Sementara menurut Imas pula, salah seorang peserta perempuan dalam Pildacil menyatakan dia sudah biasa membaca kisah-kisah Nabi sejak kelas 2 SD lagi (Darjah dua lagi). Katanya, menghafal teks ucapan bukannya satu perkara yang sukar. Cukup dengan membaca 3 kali sahaja, dia sudah dapat menghafal dan menguasai pengucapannya. ”Yang paling penting adalah cara pembawaan dan isi ceramah perlulah menarik”, tutur Imas yang sudah biasa berceramah dari kampung ke kampung ini.
Rancangan realiti tv dakwah ini turut menampilkan undian SMS bagi menentukan pendakwah cilik mana yang dapat bertahan walaupun juri disediakan. Daripada 11 orang peserta, 3 orang dipilih untuk ke peringkat akhir. Pemenang pertama akan membawa pulang hadiah Rp 25 juta dan pakej ibadah umrah. Naib juara pula memenangi Rp 15 juta berserta trofi. Manakala pemenang tempat ketiga mendapat ganjaran bernilai Rp 10 juta dengan trofi. Juara favorit pula mendapat Rp 5 juta juga dengan trofi.
Dalam hati ini tertanya-tanya, tiadakah kanak-kanak di Malaysia yang mampu melakukan perkara yang sama seperti kanak-kanak Pildacil ini? Jika selama ini kita dihidangkan dengan rancangan realiti tv berbentuk pertandingan nyanyian yang juga melibatkan kanak-kanak seperti Rancangan Bintang Kecil, My Starz dan sebagainya, bilakah lagi rancangan Pildacil versi Malaysia akan menghiasi kaca tv di tanah air tercinta ini?Bersama kita muhasabah diri sempena Ramadhan al-Mubarak yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment