Hari ini dalam Hijrah

Saturday, September 6, 2008

KEUTAMAAN BAGI UMAT ISLAM

Keutamaan bagi umat Islam dewasa ini, bermaksud bagaimana kita seharusnya tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya secara adil. Perkara itu meliputi sgala hal yang berkait dengan hukum, nilai dan kerja. Sesuatu amalan itu sebagai contoh, hendaklah diutamakan apabila ia patut diutamakan, Jadi jangan diutamakan yang kurang penting daripada yang lebih penting.

Dengan kata lain, jangan lah umat Islam suka memperbesar-bsarkan perkara remeh temeh dan jangan pula memperkecil-kecil perkara yang sebenarnya besar. Sesuatu kerja yang asas dan dasar harus didahulukan berbanding dengan kerja yang tidak pnting. Oleh sebab itu umat Islam memerlukan pemahaman yang baik berkait dengan keutamaan dalam brtindak, atau dikenali juga dengan istilah fiqh maratib al-a`mal sama ada dalam perkara kebendaan mahu pun maknawi, pemikiran atau sosial, ekonomi atau politik, perpaduan atau kerjasama.

Para ulama pernah membuat teguran kepada umat Islam yang amat tidak faham dengan keutamaan ini, sehinggakan terlalu mengutamakan kegiatan sukan dan hiburan berbanding dengan kegiatan ilmiah dan akademik. Aktiviti jasmani kadangkala lebih berkali ganda diberi perhatian berbanding aktiviti mental, sehingga menjadi perbincangan harian umat Islam tentang sukan dan hiburan sedangkan tentang buku dan ilmu jarang diambil peduli.


Akibat daripada itu nama-nama yang menjadi tumpuan masyarakat bukan lagi para ilmuan atau budayawan, tidak juga para karyawan dalam sektor awam atau swasta yang cukup banyak menyumbang kudrat dan sumbangan bermakna,itulah yang tidak ada keadilan dari segi penonjolan.

Justeru itu, semua media lebih sibuk dengan nikah cerai selebriti berbanding dengan pencapaian seseorang sasterawan mahu pun seorang profesor yang memberikan teori baru. Tidak dihiraukan sangat pencapaian demi pencapaian akademik lulusan IPT dalam segala segi dan bidang tetapi lebih menonjolkan berapa harga mas kahwin artis, perkahwinan di hotel mana dan siapa tetamunya hatta haji dan umrah mereka pun menjadi berita sensasi yang sebenarnya tidak ada apa-apa erti.

Ahli Agama Yang Hilang Kefahaman Keutamaan
Di kalangan ilmuan agama juga terdapat salah faham tentang keutamaan ini. Akibatnya, banyak perkara yang kurang penting diutamakan. Sedangkan keperluan semasa yang amat perlu tidak dihiraukan.
Misalnya, apa perlunya bersibuk membina masjid yang banyak pada tempat yang sudah ada banyak masjid? sedangkan masjid itu yang sudah ada belum mampu dimakmurkan, hanya digunakan sekali seminggu sahaja. Mereka lebih suka membina bangunan batu daripada membina insannya.

Berapa ramai pula merka yang berkali-kali melakukan ibadah haji dan umrah sanggup mengurangkan pemergian mereka ke sana supaya orang lain lebih selesa membuat ibadat haji atau sanggup berkorban menggunakan perbelanjaan sedikit harta mereka kepada mangsa perang di Palestin, malah mangsa-mangsa gempa bumi dan bencana alam?

Banyak kewajipan segera diabaikan sedangkan pada masa yang sama mereka asyik melakukan kerja yang boleh ditangguhkan. Patutkah ditangguhkan pembelaan terhadap anak-anak yatim, ibu tunggal atau merawat mereka yang sakit atau memberikan pekerjaan kepada penganggur. Kenapa beban tugas ini hanya diserahkan kepada kerajaan sahaja hatta untuk mencuci longkang di depan rumah mereka.

Ratio Ahli Agama dan Pekerja Profesional

Imam al-Ghazali pernah menegur para terpelajar pada zamannya yang beramai-ramai mendalami bidang fiqh, sedangkan ketika itu para doktor terdiri daripada tabib Yahudi atau Nasrani. Mereka yang bukan Islam itu lah yang bersusah merawat pesakit muslim, ketika orang Islam menumpu kepada bidang hukum. Di tangan orang Yahudi dan Nasrani itulah terletaknya nyawa kaum muslimin dan aurat muslimah terdedah kepada mereka kerana tidak cukup doktor muslim di negara umat Islam sendiri.

Apakah maknanya, jika ketika orang bukan Islam menyambut tahun baru mereka, tiba-tiba orang Islam di Kuala Lumpur tidak dapat memasak nasi sebab gas dapur sudah habis dan tidak ada pihak yang menghantarnya. Apa maksudnya, apabila kereta rosak di tengah jalan tidak terdapat mekanik, sebab hari itu Tahun Baru Cina. Kenapa sukar mencari kedai gunting muslim dan terpaksa kepala yang begitu mulia di gunting rambutnya oleh seorang yang brbeza agama. Ini semua justeru hilangnya kefahaman tntang keutamaan.

Isu menjadi lebih besar jika pergi ke peringkat global. Apakah wajar ketika kita dihimpit musuh-musuh Islam, para pendakwah masih bertelagah bolehkah atau tidak makan atas meja, atau mana lebih afdal makan atas meja memakai sudu dan garfu atau makan dengan tangan sambil duduk atas lantai. Mana lebih baik memakai jam di tangan kanan atau di tangan kiri, atau memakai pakaian warna putih atau warna hitam.

Lebih menghairankan, bagaimana mereka yang dikatakan berdakwah atau bergerak dalam perjuangan Islam yang tidak menghormati orang tua mereka atau mengherdik mereka yang lebih tua, apalagi mengata dan mencemuh dengan bahasa yang agak kasar??? Pendek kata seribu satu perkara pelik setiap hari berlaku di sekeliling kita ibarat berjalan kaki ke atas dan kepala ke bawah kerana kurang faham denga konsep kutamaan.

Kutamaan Masa Kini
Tuntutan semasa yang kurang diberikan perhatian ini semua, berlaku dengan banyaknya apabila umat Islam seperti mencuaikan fardu kifayah iaitu kemajuan yang setanding dengan orang lain dalam pembinaan industri dan persenjataan.
Berapa ramai jumlah para profesional kita yang terlatih dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan seumpamanya ketika kita berebut-rebut mendirikan sekolah tahfiz.
Memang baik orang hafal al-Quran itu, tetapi adakah baik tidak faham al-Qur`an sehingga kita melupakan maksud dan kefahaman surah al-Hadid tentang besi, atau maksud kisah Saba` Raja Balqis dengan Istana Raja Sulaiman, apakah iktibar yang patut kaum muslimin lakukan dengan ayat-ayat santifik dalam al-Qur`an? Adakah mereka berpada dengan hanya mahu dapat pahala bacaan sahaja. Tidakkah juga para jurutera Perodua, pekerja kilang Proton mendapat pahala. Adakah tidak berpahala jika anda membuka ladang dan memberi pekerjaan kepada penganggur yang melalui pendapatannya pula dapat menyara anak isteri mereka, pahalanya kecil berbanding dengan hafalan al-Qur`an itu?.

Kenapa memandang remeh tanggungjawab amar ma`ruf dan nahi munkar, di mana fungsi itu merupakan ciri hidup orang beriman. Apakah maksud amar ma`ruf nahi munkar itu hanya berkhutbah, atau menjadi penguatkuasa undang-undang itu tidak ada pahala. Manalah banyak pahala seorang pengkhutbah dengan mereka yang menggunakan kuasa untuk menangkap pelaku maksiat, penjual yang menyorok barang atau seumpamanya.

Fenomena lain yang berkait dengan kelemahan pemahaman ini juga, mereka yang memerangi perkara makruh, lebih daripada memahami perkara haram. Bersibuk dengan menghalang perbuatan berdosa kecil dengan mengabaikan perbuatan berdosa besar.

Kaitan Keutamaan Dengan Memahami Keseimbangan
Pemahaman keutamaan tidak harus dilihat berdiri secara sendiri. Ia berkait juga dengan kprluan memahami keseimbangan dalam hidup. Kefahaman tentang perimbangan, iaitu membandingkan keutamaan antara perkara yang sama-sama mendatangkan kebaikan. Membandingkan keutamaan antara yang sama-sama membawa kerosakan. Lebih-lebih lagi membandingkan antara yang baik dengan yang merosakkan.

Perbandingan sesama kbaikan ada tiga peringkat:
Amat mustahak, tanpanya tidak dapat hidup(daruriyah). Tahap kdua mustahak- boleh hidup tanpanya tetapi hidup menjadi sukar(hajiyah). Kurang mustahak, adanya baik, bagi menambah seri kehidupan (kamaliah).

Dharuriyyat terdapat pada pemeliharaan agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Sebahagian orang menambah satu lagi iaitu soal maruah diri.
Semua umat Islam hendaklah mengutamakan:
- Kepentingan yang meyakinkan berbanding dengan kepentingan yang kurang meyakinkan. Mengutamakan isu besar, seperti perpaduan berbanding isu kecil seperti kepentingan diri. Mengutamakan kerja kolektif berbanding krja individu. Mengutamakan kepentingan majoriti berbanding kepentingan minoriti. Didahulukan kepentingan berterusan berbanding dengan kepentingan tak berterusan. Didahulukan isi lebih daripada bentuk.

Sama juga halnya dengan perbandingan antara keburukan.
Ia juga melibatkan keburukan yang melibatkan terganggunya pemeliharaan agama, jiwa, nasab keturunan, akal dan harta malah maruah diri.

Bagi memahami perbandingan antara baik dan buruk, diberikan kaedah berikut:
Menolak keburukan lebih diutamakan daripada mencari kebaikan. Contohnya, makan gula itu sedap tetapi menambahkan penyakit kencing manis, maka ditolak makan gula, jika membawa mudarat kepada penyakit kencing manis. Samalah halnya, jika pelancongan membawa wang dari luar, tetapi kerosakan moral daripadanya nyata. Haruslah difikirkan agar ada jenis pelancongan yang tidak membawa bersamanya mudarat. Tetapi kalau mudarat hanya kecil, faedahnya lebih besar, keburukan yang kecil itu boleh dimaafkan. Atau juga keburukan itu hanya sementara tetapi faedahnya berkekalan, sudah tentu diutamakan kebaikan itu. Tidak perlu mengambil kira keburukan yang belum tentu timbul berbanding dengan faedah yang pasti ada.

Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan yang diambil kira di sini adalah sama ada berbentuk kepentingan duniawi atau ukhrawi atau kedua-duanya sekali. Demikian juga keburukan dunia atau akhirat. Ini dapat difahami melalui syariah atau akal rasional atau kedua-dua sekali.

Bagi seorang doktor perubatan, mereka berfikir untuk memilih mana yang lebih kepada pesakit ketika mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. samalah kita berfikir tentang baik dan buruk. Di antara dua penyakit yang menimpa seseorang, tentulah dirawat terlebih dahulu penyakit yang lebih bahaya. Dibiarkan dulu penyakit yang kurang bahaya. Utamakan antara dua perkara yang membawa kesihatan kepada si pesakit. Hanya doktor akan ragu-ragu menghadapi dua kemungkinan bahaya dan manfaat yang sama. Di situ timbul istilah ijtihad. Apabila para pakar memutuskan, jika betul mereka dapat dua pahala dan jika salah, masih mendapat satu pahala.
Secara mudah, dalam pentadbiran awam juga kita perlu mendapat pandangan pakar.


Utama Kualiti Daripada Kuantiti
Kejayaan bukan hanya diukur pada bilangan yang banyak atau sedikit, malah usia manusia pun lebih dilihat kepada sumbangan masing-masing dalam hidup ini. Orang Islam ramai yang silap faham tentang hadis nabi yang menyeru beranak ramai. Mereka berusaha mendapat anak yang seramai mungkin. Tetapi mereka lupa yang dibanggakan oleh nabi bukannya anak yang menjadi penjenayah dan penyangak. Nabi sukakan anak-anak soleh, bukannya yang jahil dan fasik.

Isu kualiti banyak dibincang dalam al-Quran. Kemenangan tentera Talut mengalahkan tentera Jalut ( al-Baqarah: 249-251), kemenangan tentera Nabi S.A.W. dalam peperangan Badar (Ali Imran: 123) dan lain-lain lagi. Namun satu kesimpulan boleh diambil apabila unsur iman dan kemahuan ada, segala perkara akan menjadi. Bacalah hadis, nabi berasa bimbang dengan ramai umatnya pada akhir zaman tetapi bilangan mreka yang diumpamakan olh Nabi S.A.W. seperti buih.

Kakitangan kerajaan tidak akan dinilai menurut besar-kecil fizikal atau warna baju mereka, tetapi kualiti kerja yang ditunjukkan. Kualiti kerja cemerlang itu diistilahkan oleh Islam sebagai “ihsan”. Ihsan si penyembelih apabila pisaunya tajam, sampai ayam tidak sempat berasa sakit. Cemerlang seorang guru apabila ramai pelajar cemerlang akademik dan hebat sahsiah diri mereka yang dididik.

Pada zaman ini kita bukan lagi bersaing antara yang gagal dengan yang lulus. Persaingan sampai ke tahap siapa dapat 16A dan 18A. Bersaing bukan untuk masuk ke universiti, tetapi bidang apa yang diterima masuk; perubatan, agama, kejuruteraan atau apa?

Orang tidak perlu berbangga dengan usia yang panjang tetapi tidak dapat memberi sumbangan yang jelas. Menjadi kebanggaan adalah usia Imam Nawawi 40 tahun, Umar Ibn Abdul Aziz 36 tahun, al-Ghazali 55 tahun namun meninggalkan bekas dan pengaruhnya kepada sejarah insan sejagat. Apalah ertinya usia 80 dan 90 tahun yang nantinya anak cucu pun tidak bersedia untuk memeliharanya, akhirnya dihantar oleh anak ke pusat jagaan orang tua. Kita memohon keberkatan dari umur yang panjang.

Kesimpulan
Rasulullah s.a.w. hanya dalam masa 23 tahun dapat menyebarkan Islam ke ceruk dunia sehingga kekal kesannya sehingga15 abad. Abu Bakar menjadi khalifah hanya 2 ½ tahun sahaja tetapi masih dikenang hingga hari ini.

Sayang juga mereka yang mati awal sebelum nyawanya hilang. Mati dalam maksud tidak berbuat apa-apa hanya sekadar menunggu saat kematian sebenar. Mereka menghabiskan masa di kedai kopi berjam-jam lamanya selepas sembahyang subuh, justeru hilang makna keutamaan dalam hidup.





Read more...

KEDUDUKAN ULAMA SILAM

Soalan: Saya selalu keliru dengan pandangan para penulis dan penceramah yang selalunya memberikan berbagai penilaian terhadap ulama silam, malah ulama semasa pun. Beberapa nama yang agak kontroversial seperti Ibn Taymiyyah, Muhammad Abdul Wahab, Ibn `Arabi malah Imam Ghazli sendiri. Daripada kalangan ulama terkemudian nama-nama kontroversial juga seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh dan Muhamad Iqbal. Bagaimana sebenarnya kedudukan mereka ini. Bolehkah kita ikut mereka atau tidak? Saya juga mendapati beberapa percanggahan tentang Syed Qutub. Ada mereka yang mungkin taksub kepada nama –nama ini atau ada yang menolak pendapat mereka itu. Bolehkah prof. bincangkan perkara ini yang selalu diperdebatkan.



Peminat Pemikir Islam,

Kota Kinabalu, Sabah.



Jawapan: Memang ternyata anda seorang peminat bidang pemikiran Islam dan tokoh-tokoh pemikir. Saya percaya anda juga seorang pembaca yang rajin. Soalan ini cukup rumit untuk diperincikan dalam ruangan yang terbatas ini. Walau bagaimana pun saya akan cuba melayani permintaan sdr. Yang saya kira patut dipuji dan dialu-alukan.

Sebagai orang awam, kita harus ingat kata-kata bidalan Melayu ” Jauhari juga yang mengenal manikam”. Maka ramai daripada kalangan penulis mahu pun pendakwah yang tidak sebenar-benarnya mencapai status jauhari. Lalu mereka tidak dapat membezakan mana yang intan dan mana yang kaca. Tetapi anihnya, mereka ini cukup berani membuat penilaian terhadap tokoh-tokoh ini.

Jika saya jahil dengan nilai permata atau suara burung yang merdu, bagaimana saya boleh menilai itu semua. Malah mereka yang tidak mencapai tahap tertentu dalam permainan bola pun bukannya mudah ingin menilai seorang pemain bola yang baik. Inikan pula berkait dengan bidang pemikiran tokoh. Saya cukup hati-hati dalam masalah ini.


Para ulama atau pemikir yang yang disebut di atas sebenarnya merupakan ulama muktabar, malah sebahagian besar mereka itu diangap mujtahid atau mujaddid. Mereka ulama umat untuk menjadi contoh tauladan kepada semua. Kita semua tidak harus menjadi taksub kepada mazhab atau aliran tertentu. Daripada kalangan bangsa Melayu mungkin tidak ada yang mencapai kedudukan tinggi seperti mereka.

Hanya mereka yang taksub, akan melihat ulama yang sesuai dengan fikiran mereka sahaja mereka terima. Adapun ulama yang tidak sesuai dengan fikiran mereka ditolak. Perbuatan sedemikian menjadikan kita ”bodoh sombong”. Mungkin juga orang lain akan menilai kita sebagai ilmu tidak cukup matang.

Ada mereka umpamanya yang mempertikaikan kedudukan fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah, kononnya tidak banyak menggunakan hadis, tetapi membuat hukum berdasarkan pemikiran rasional. Pada hal Imam Abu Hanifah seperti ulama lain juga yang membuat fatwa berdasarkan al-Quran dan hadis. Cuma mungkin berbeza dengan Imam Ahmad atau Imam Malik dan Imam Shafi`i, beliau lebih banyak menggunakan akal. Tak bermakna beliau menolak hadis, atau kurang tahu tentang hadis. Kalau pun dia kurang tahu hadis seperti tiga ulama yang lain itu, namun ia tetap imam mujtahid yang jauh lebih banyak tahunya daripada kita yang berlagak mahu menilai mereka itu.

Ibn Taymiyyah, ulama mujaddid yang hebat. Tokoh pembaharu dalam dunia Islam pada abad 13M. Namun ramai mereka yang tidak menyukainya menganggap beliau sebagai musuh atau menuduhnya dengan berbagai tuduhan. Perbuatan ini tidak lebih daripada akibat taksub kepada mazhab mereka. Ibn Taymiyyah tidak diberi kedudukan yang baik. Beliau seorang ulama yang hebat dalam bidang hadis, fekah, tafsir dan sebagainya. Tetapi kita ini siapa yang cuba menilainya.

Apakah kerana beliau bermazhab Hanbali dan kita bermazhab Syafi`i maka layak kita menolak kealimannya. Lebih teruk kerana pendapatnya berbeza dengan pendapat kita lalu dituduhnya menyeleweng dan murtad. Siapa sebenarnya yang menyeleweng. Saya bimbang penolakan itu kerana kita hanya ada sedikit ilmu yang tidak punyai kayu ukur untuk menilai mereka seperti ini.

Lebih-lebih lagi terhadap tokoh seperti Syekh Muhammad Ibn Abdul wahhab, tokoh mujaddid zamannya diberi berbagai tuduhan. Anihnya, yang menuduh tokoh ini, membaca kitab Arab pun tidak tahu dan ilmunya jauh daripada mencapai taraf keilmuan Syekh Muhammad ini.

Samalah mereka yang menolak pandangan al-Ghazali pun juga amat memalukan. Dengan hanya membaca dua tiga buah kitab dengan beraninya sudah pandai menghukum itu dan ini kepada orang lain. Dan menjadi mangsa juga ulama pembaharu dan pembawa ubur Islah lain seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh, Hasan Al-Banna atau Iqbal. Pada masa akhir-akhir ini juga Syed Qutub dan Maududi menjadi kecaman. Siapa kah kita yang berani menilai mereka ini?

Apa yang seharusnya disedari, mereka itu adalah para ilmuan dan mujtahid atau mujadid. Mereka masih mengikuti kehendak Islam untuk mereka memahami Islam melaui al-Quran dan al-hadith. Lantas mereka mengeluarkan pendapat dan pemikiran yang lebih berani. Mereka bukan ulama jumud dan beku. Mereka mempunyai kefahaman yang benar. Mereka membawa aliran Islam yang berasaskan anjuran al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Untuk tidak bersikap zalim kepada mereka, syarat pertama setiap kita patut cuba memahami latar belakang zaman dan waktu mereka hidup. Ibn Taymiyyah muncul pada zaman orang Islam berpecahbelah. Aliran akidah, tasawuf dan fekah yang bercakaran sesama sendiri. Lalu dia muncul mempelopori penyatuan untuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kekuatannya menyatukan umat supaya kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Jangan lagi taksub mazhab. Apakah salah dia menganjurkan untuk tidak taksub mazhab. Mana hadis nabi yang menyuruh kita umat Islam taksub kepada mazhab?

Muhammad Abdul Wahab pula melaksanakan pengajaran Ibn Taymiyyah secara praktis, ketika masyarakat semenanjung Arab jauh ke dalam syirik hingga ada yang menyembah pokok kayu. Wajar lah beliau mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang syirik itu. Beliau membawa pendekatan tauhid yang lebih mudah difahami berbanding dengan pendekatan yang sifatnya terpengaruh dengan aliran Mu`tazilah atau falsafah Greek.

Ibn `Arabi mempunyai kreativiti rohaniah yang cukup tinggi. Abbas Mahmud al-`Aqqad menyifatkannya sebagai genius. Namun mereka yamg tidak dapat memahaminya menuduhnya kufur dan sebagainya.

Saya berpendapat tokoh-tokoh ini kesemuanya, meskipun ada kelemahan mereka, tetapi berbanding dengan sumbangan besar mereka, mereka jauh banyak berjasa kepada Islam berbanding dengan kita yang berani mengatakan itu dan ini kepada mereka. Apa sumbangan para pengkritik dan pengutuk ini yang baru masih bertatih dalam ilmu Islam.

Contohnya, Jamaluddin Afghani yang dituduh pernah menganggotai freemason tetapi adakah tuduhan ini benar?Mungkin kah dia diperangkap atau tidak sengaja berlaku demikian. Namun jasanya kepada dunia Islam cukup besar. Apalagi beliau menjadi inspirasi ke arah pembebasan bangsa Timur menuju kemerdekaan. Bukan sahaja untuk umat Islam tetapi bangsa yang terjajah yang sanggup berjuang mencapai kemerdekaan. Tanpa pengaruh Jamaluddin Afghani dan Abduh, mungkin Malaysia pun masih dijajah politiknya sampai hari ini.

Abduh juga menjadi wira dalam reformasi pendidikan Islam moden di dunia Islam. Kehebatan universiti Al-Azhar hingga namanya harum sampai ke hari ini dan Abduh berperanan memberi sumbangan besar kepada pemodenan pendidikan Islam. Hingga kini, al-Azhar bukan sahaja pusat ilmu agama tetapi menawarkan berbagai disiplin pengajian seperti perubatan, kejeruteraan dan lainnya.

Kesimpulannya, jangan kita mudah menuduh mereka itu kerana ada sedikit kesilapan, atau mereka tidak sama dengan cara kita berfikir dan bertindak. Manalah ada manusia yang sempurna. Dan adakah kita yang menuduh orang itu begitu dan orang ini begini memberi jasa besar kepada umat Islam. Adakah kita ada kekuatan seperti Iqbal yang memberi inspirasi kepada pembentukan negara Islam Pakistan. Apakah penuduh ada kekuatan sanggup mengorbankan nyawa mempertahankan Islam seperti Syed Qutub.

Mengambil sikap mempersalahkan semua orang akan melahirkan masyarakat yang tidak menghormati dan mengiktiraf peranan pihak lain. Ia membawa perangai buruk tidak memberikan penghormatan dan penghargaan kepada para pemimpin semasa kerana berlainan fahaman.

Islam memberikan kepada kita semua ruang untuk berbeza pendapat. Apa yang tidak dibenarkan adalah perpecahan kerana taksub kepada mazhab masing-masing. Fanatik dan taksub inilah yang menjadi perosak kepada perpaduan umat. Wallahua`lam.


Read more...

Thursday, July 3, 2008

HIDUP LUAR ZAMAN

Soalan: Kenapa masyarakat kita masih berselisih faham tentang banyak isu. Ada pihak yang cuba membawa fahaman Syiah ke tengah masyarakat Ahli Sunnah di Malaysia. Ada pula pihak yang cuba menawarkan mazhab lain di tengah-tengah masyarakat Melayu yang bermazhab Shafi`i. Keadaan ini semua mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh. Apa akan jadi kepada bangsa kita pada masa akan datang?

Muslim Perihatin, Kuala Lumpur.

Jawapan: Saya berpendapat pertamanya, kita semua harus memahami Al-Quran dan al-Sunnah menjadi pegangan asas kita. Kita tidak perlu berselisih faham tentang akidah dan pegangan pokok kita seperti yang sudah dimaklumi tersebut dalam rukun iman dan rukun Islam. Jangan ada pihak yang mempersoalkan pegangan kita kepada prinsip-prinsip syari`ah dan asas-asas akhlak yang sudah diterima pakai.

Malah jangan sama sekali kita bertikai pendapat dalam perkara hukum yang sudah tetap dalam al-Quran. Umpamanya, isu poligami dibolehkan, soal pembahagaian pusaka yang sudah ditetapkan. Baki lagi, bagaimana kita patut melaksanakan dengan baik, agar tidak berlaku salah dalam pelaksanaan. Itulah secara umum yang dinamakan perkara asas dan dasar.

Adapun perkara perincian, khususnya dalam perkara furu` dan cabang, sememangnya Islam memberikan ruang untuk berbagai mazhab dan berbeza penafsiran. Asalkan sahaja tidak ada perasaan fanatik kepada pihak-pihak tertentu.


Namun harus difahami, daripada segi pengurusan setiap tempat dan zaman ada pendapat rasmi, apa yang kita sebut sebagai mazhab rasmi. Di mana setiap orang perlu mematuhi peraturan malah hukum dan fatwa rasmi agar tidak menjadi haru-biru dari segi kehidupan bersosial.

Di Iran, mereka berpegang kepada mazhab Syi`ah. Di Arab Saudi pula mereka memakai mazhab Hambali. Di Malaysia malah Nusantara atau Alam Melayu sejak zaman berzaman kita berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Jika kita semua berpegang kepada keadaan ini, tidaklah menjadi kelamkabut dan bermasalah.

Seperti persoalan yang dikemukakan di atas, sekarang seperti timbul kecenderungan di negara ini cuba dilontarkan dengan berbagai pemikiran baru. Bagi mereka yang mempunyai asas yang cukup kuat, merek faham dan boleh menghadapi keadaan ini. Namun bagi orang ramai, perkara seperti ini menjadi satu kekacauan dalam pegangan mereka. Di sini para pendakwah atau ulama harus lebih berhati-hati, agar jangan terjadi yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran. Nanti akan timbul masyarakat awam yang bukan sahaja keliru malah menolak kesemua mazhab yang ada, malah mereka akhirnya tidak melaksanakan perkara-perkara asas agama pun.

Punca Masalah

Menurut Muhammad S. Al-Ewwa, isu yang membelit umat Islam masa kini dan golongan yang bekerja untuk Islam ini adalah mereka berkerja dalam kerangka di luar zaman.Maksudnya, mereka mengambil berat dengan isu lama yang tidak akan ada penghujungnya, selama mana manusia akan berbeza daripada segi kefahaman dan kedalaman ilmu yang berbeza.

Sampai hari kiamat pun isu-isu yang dibangkitkan tidak akan selesai sampai bila-bila. Mana mungkin kita boleh memaksa orang menjadi satu fikiran. Apa yang mustahak, kita harus kembali kepada isu-isu semasa pada zaman ini. Isu masa kini bukan isu fekah yang utama-meskipun ia amat penting, atau isu akidah dan isu sejarah yang lama itu.

Isu semasa yang perlu ditangani adalah bagaimana penguasaan tamadun lain ke atas diri kita umat Islam. Barat dengan segala kekuatan dan kekayaan yang diwakili Amerika dan Eropah, mereka sedang mempengaruhi semua segi kehidupan generasi kita pada hari ini..

Mereka berada pada puncak di mana semuanya harus sama dengan kemahuan mereka sehingga selera makan dan selera muzik pun mahu dipaksakan kepada seluruh bangsa di dunia termasuk umat Islam. Kata Muhamad al-Ewwa, tamadun barat berusaha mematikan semua tamadun lain, atau tamadun lain itu setidak-tidaknya, terkepung dan paling tidak mereka kekal dalam kemunduran.

Persoalan masa kini lebih mendalam, di mana segala ketenangan dan kebahagiaan yang kita kecapi selama ini, hasil pegangan kita kepada agama dan budaya, pegangan kita kepada keluarga mahu dilonggarkan, malah beberapa sistem yang sedia ada mahu diporak perandakan. Dan kesemua keadaan yang ada mahu dirampas daripada kehidupan kita, tanpa lagi mengira dia Syiah, atau Wahabi atau Ahli Sunnah wal Jamaah malah apa pegangan aliran berfikir mereka. Kita semua diharap berkiblat kepada kebendaan dan materialisme. Ini punca yang patut disedari oleh mereka yang suka mencari perbezaan lebih daripada mencari permuafakatan.

Lihat sahaja sekarang ini, pada setiap iklan disogok kepada publik dengan makanan dan minuman tertentu supaya nantinya kecapan rasa akan menjadi satu, fesyen pakaian yang serupa yang nantinya akan pupus segala perbezaan daripasda segi kepelbagaian. Pakaian kebangsaan atau fesyen warisan yang diwarisi turun temurun semakin berkurangan penggunaannya.. Akhirnya, walau pun berbagai bangsa dan agama di Malaysia akan mempunyai satu rasa dan satu fesyen: Berpakaian T-shirt, dan minuman berbotol/ minuman dalam ten, yang berjenama satu sahaja......

Apa yang menjadi masalah kita hanyalah menjadi pengguna produk itu, bukan pencipta produk. Kita menjadi pengimpot makanan dan minuman itu hingga kepada budatya dan bersifat tamadun, bukan kita pencipta tamadun. Dengan bahasa yang agak keras, akhirnya kita akan menjadi bangsa ”kera” yang meniru apa yang orang lain buat tanpa mengira betul atau salah. Contohnya terlalu banyak untuk diungkapkan di depan mata kita pada setiap hari.

Umat Islam justeru itu, diseru untuk hidup meneliti perkembangan zaman ini dan jangan lagi hidup di luar zaman, seolah-olah kita hidup dalam zaman keemasan pemerintahan khalifah Islam masa lampau, di mana kita ada masa untuk berbincang dan berbahas dengan isu-isu remeh temeh dan perkara pokok yang sebenarnya kita abaikan
.
Pada zaman dahulu, penguasaan itu didatangkan dari atas ke bawah, dalam bentuk peperangan melalui tentera atau tokoh politik. Tetapi pada hari ini penguasaan budaya asing ke atas diri umat kita didatangkan dari bawah: kita dipaksa oleh anak-anak kita, anak kaum buruh dan anak pegawai kerajaan, anak tentera dan anak menteri, supaya kita semua makan satu jenis makanan, memakai satu jenis pakaian dan mempunyai cara hidup yang sama hatta minum di warung kopi asing.

Jadi apalah maknanya perbahasan remeh temeh antara sesama kita lagi. Antara selawat kuat dan selawat senyap, antara wirid beramai-ramai dan wirid individu.

Manakah isu yang lebih membelit diri kita, selain dari penguasaan tamadun asing itu. Bilkah kita akan bertukar kepada bagaimana yang sepatutnya kita mencorakkan tamadun dunia. Apakah kemampunan kita untuk menawarkan tamadun dan budaya yang lebih unggul dan hebat.

Tamadun pada hari ini yang ada adalah sepenuhnya tamadun kebendaan. Orang hanya bercakap tentang dolar dan ringgit. Hatta untuk membaca doa pun mengharap upah dan imbuhan. Sudah hilang warisan lama yang bernama gotong royong dan kesukarelawan dan seumpamanya. Malah tamadun yang tidak berminat lagi kepada semua nilai agama, baik Islam, kristian atau agama apa sahaja. Apa sahaja jenis kehidupabn beragama dianggap menjadi ancaman kepada mereka, iaitu tamadun kebendaan.


Oleh itu kita mengajak semua mereka yang terlibat dan bersibuk dengan isu-isu di atas untuk kembali meletakkan diri kita pada ”harga” yang sebenarnya. Kita jangan terikut-ikut dengan ” harga” seseorang itu adalah dikira berapa wang yang dia atau atau dia punya, tetapi meletakkan ”harga” pada sejauah mana kita dapat meletakkan ”harga” diri kita pada dimensi tamadun dunia yang sedang bergolak. Bukan terikut-ikut dengan ”harga” yang ditetap oleh neraca perkiraan neraca materialisme. Wallahu a`lam.








(23)

DAHULUKAN KEBEBASAN
Soalan: Menarik perhatian saya perbezaan pandangan antara pendukung mereka yang ingin menegakkan Negara Islam terlebih dahuludengan mereka yang mengutamakan soal lain seperti keadilan atau kebebasan atau ekonomi. Apakah keutamaan di Malaysia. Sedangkan pihak kerajaan mempertingkatkan integriti, kebebasan kehakiman dan penghapusan rasuah?

Peminat politik, Kuala Krai. Kelantan.

Jawapan: Persoalan yang ditimbulkan amat menarik untuk diperbincangkan. Saya memberi jawapan ini berbandang dengan beberapa soalan lain yang dipertanyakan.

Isu ini menyentuh politik dan perkembangan semasa di tanah air. Malah menjadi perdebatan juga di luar negara. Ruangan ini bagi saya lebih berfaedah membincangkan isu-isu semasa masyarakat sebegini daripada beberapa soalan yang lebih banyak menyentuh hal-hal peribadi dan hukum hakam yang sudah banyak terdapat dalam ruangan lain di akhbar mahu pun di majalah.

Dalam beberapa perbincangan di luar negara pun orang masih terus menerus membincangkannya; manakah yang patut dan lebih baik didahulukan antara strategi pelaksanaan syariah secara menyeluruh atau memperjuangkan isu-isu universal terlebih dahulu seperti soal kebebasan, keadilan sosial atau nilai-nilai yang didukung secara langsung atau tidak langsung oleh syariah Islam. Soalan ini menjadi lebih releven dengan persekitaran negara seperti negara malaysia yang bersifat majmuk.

Pandangan beberapa tokoh pemikir Islam ada tiga jawapan terhadap soalan yang diutarakan oleh saudara penanya. Jawapan bagi soalan tersebut. Pendapat pertama: Pihak yang mengatakan pelaksanaan syariah patut diutamakan. Justeru alasan mereka, dengan terlaksananya syariah secara konfrehensif dengan sendiri nya akan wujudlah nilai kebaikan yang lain seperti kebebasan, keadilan dan berbagai nilai-nilai yang baik.

Pihak kedua yang agak lebih praktikal berpendapat bahwa dalam situasi masa kini, kebebasan, keadilan dan seumpamanya sebagai nilai universal patut didahulukan kerana apabila ada nilai-nilai ini benar-benar wujud dan berfungsi akan mempercepatkan lagi pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu pun, kata golongan ini diserukan agar manusia melakukan keadilan dan berbuat baik (ihsan). Malah kata tokoh pemikir Islam Fathi Yakan, anutan agama harus melalui pilihan bukan paksaan dan kebebasan yang diperjuangkan, bukannya paksaan. Malah kebebasan lah yang menuju ke arah praktikaliti pelaksanaan keislaman. Tanpa kebebasan segala-galanya tidak menjadi.

Pandangan ini dikongsi sama oleh Fahmi Huwaidi seorang lagi pemikir Islam Mesir, di mana beliau menganggap dengan adanya kebebsan berpolitik dan pemerintahan yang demokratik akan lebih cepat menuju kepada pelaksanaa Islam yang sebenar.

Abdul Mun`im Abu Futuh, seorang tokoh gerakan Islam yang menonjol dewasa ini bersama Syeikh Yusuf al-Qaradawi ulama terkenal Dunia Islam termasuk kumpulan ini di mana mereka menyatakan kebebasan lah yang diperlukan lebih awal dalam situasi sekarang. Tanpa kebebasan rakyat akan merasakan keberagamaan mereka secara terpaksa dan dikawal. Roh Islam itu sendiri adalah inginkan kebebasan, bukannya paksaan. Tanya mereka, bagaimana kita memaksa masyarakat menerima Islam tanpa mereka terlebih dahulu memahaminya dengan baik. Bukankah kebebasan itu pembuka jalan kepada pelaksanaan Islam?,sambung mereka lagi
.
Dr Yunus, bekas Dekan Fakulti Syariah di Gaza, menyatakan bahwa menuntut kebebasan adalah lebih utama dari menuntut pelaksanaan syariah, justeru kebebasan beriman itu satu daripada cabang akidah yang diberikan keutamaan.

Syekh Faisal Maulawi daripada lembaga fatwa Eropah selanjutnya mewakili kumpulan ketiga mengatakan, sebenarnya tidak patut timbul mana yang lebih utama, justeru kedua-duanya berkait rapat. Apa yang jelas, kebebasan adalah fitrah manusia. Sedangkan syariat juga satu kewajipan bagi manusia yang beriman selepas mereka cukup umur baligh .Syariah Islam satu juzuk daripada agama Islam secara keseluruhannya. Jadi kebebasan yang dituntut bukanlah kebebasan mutlak seperti yang difahami oleh faham liberalisme di Barat, tetapi bagi orang Islam kebebasan yang berjalan menurut disiplin dan mematuhi kehendak syariat Islam.

Kebebasan dan pelaksanaan syariah dua perkara yang sama beriringan di antara satu sama lain di mana kebebasan menjadi satu bahagian daripada pelaksanaan Islam yang menyeluruh.

Jelasnya, para pemikir Islam umumnya berpendapat tidak akan berlaku pelaksanaan syariah yang sebenar tanpa ada kebebasan yang menghormati kemuliaan manusia untuk hidup bebas, bebas bersuara dan bertindak, asalkan tidak mengancam pihak lain atau mengganggu masyarakat awam.

Apa yang pasti kata Muhamad Salem Al-Ewa seorang lagi pemikir Islam kontemporari, Islam tidak berjalan dengan baik dalam satu pemerintahan kuku besi, atau pemerintahan yang zalim, malah Islam tidak akan maju dalam masyarakat yang para ulamanya hanya memberikan fatwa mengikut selera pemerintah sahaja atau sekadar pembodek dengan meninggalkan perintah Allah dan tidak memelihara kepentingan rakyat ramai.

Tidak ada faedahn nya bercakap tentang pelaksanaan Islam dalam negara yang pemerintahnya mengekang kebebasan rakyat. Malah banyak dalam sejarah Islam, di mana nama Islam diperalatkan oleh para pemerintah zalim dan para diktator. Akhirnya ia banyak membawa keburukan kepada nama Islam daripada faedahnya dapat kepada Islam.

Sebenarnya perbincangan seperti ini masih merupakan perbincangan yang terbuka. Ia tidak akan ada kata pemutus kerabna ia menjadi khilaf daripada segi strategi. Demikian lagi dengan banyak isu-isu semasa umat Islam. Namun banyak pihak yang bercakap atas nama Islam selalunya tidak berlapang dada untuk membincangkan isu-isu Islam semasa seperti ini atas alasan kita tidak ada kematangan untuk berbincang.

Justeru itu janganlah dipersempitkan ruang perbincangan jika kita mahu melihat rakyat dan orang ramai lebih faham dengan Islam. Tetapi ia tidaklah pula menafikan memang tidak patut memberikan kebebasan yang mutlak hingga tidak ada lagi disiplin perbincangan sampai mengeruhkan keadaan dan membawa harubiru kepadaa kehidupan bermasyarakat.


Budaya berbincang dan berpolimik patut diperluaskan dalam perkara yang terbuka kepada perdebatan. Di kalangan orang Islam sendiri ramai mereka yang takut kepada perbincangan ini kerana tidak cukup modal untuk melakukannya. Ruang-ruang yang lebih luas harus diberikan kepada metreka yang layak. Hanya harus ada kefahaman, mana perkara yang patut diperdebat dalam ruang terbuka dan ada pula perkara yang hanya patut diperdebat oleh para pakar supaya tidak menimbulkan masalah kepada orang awam yang sukar memahaminya.

Gesaan al-Quran untuk bertanya kepada pakar adalah satu anjuran terbuka agar agar kebebasan intelktual bukan sekadar dibenarkan malah digalakkan. Menutup pintu perbahasan dalam kepompong masing-masing seperti kepompong mazhab juga sudah agak kurang sesuai. Masyarakat sudah menerima konsep-konsep tajdid, ijtihad, reformasi, islah dan perubahan atau beberapa konsep lain yang menjurus kepada kebebasan berfikir yang sebenarnya mendapat pengiktirafan Islam. Ia menjadi lebih relevwen dalam masdyarakat yang lebih terbuka seperti dewasa ini.

Baki lagi, setiap bidang mesti ada kepakaran dan keahlian masing-masing. Bagaimana kepakaran lain perlu dihormati, kepakaran bidang pemikiran Islam juga harus dipelihara agar tidak berlaku pencerobohan dan membawa keadaan lebih berserabut. Wallahua`lam.

















(24) HIDUP BERJIRAN
SOALAN:


Assalamualaikum,
Ustaz,
Saya mempunyai masalah yang telah lama bermain difikiran. Jiran saya membuat rumah hampir -hampir melanggar sempadan dan saya kira terdapat sedikit bahagian yang telah masuk ke sempadan tanah rumah orang tua saya. Bahagian bumbung memang telah melebihi sempadan dan kadang-kadang sampah dari dapur mereka dibuang ke kawasan rumah saya. Hati kecil saya sering mengatakan yang saya tidak menghalalkan seinci pun tanah yang dilanggar oleh jiran saya. Saya bercadang untuk membuat tembok batu bagi menggantikan pagar yang sedia ada yang rosak akibat tingkap yang dibuka oleh jiran saya . Soalan saya adakah jiran saya itu dikira berdosa besar dan bolehkah saya berniat tidak menghalakan apa yang bukan hak jiran saya ? Setiap malam apabila tidur saya cuba untuk memaafkan semua orang muslimin muslimat tetapi apabila mengenangkan jiran yang tidak peduli soal kejiranan ini hati saya semakin sakit tambahan pula orang tua saya tinggal berkeseorangan dikampung. Harap ustaz dapat beri panduan. Ingin Tahu.Yassir Lutfi
Jawapan: Hak berjiran satu perkara yang amat dititikberatkan oleh agama Islam. Dalam Islam jiran adalah mereka yang dekat dengan rumah kita. Dalam bahasa klasik disebut, 40 buah rumah ke kanan dank e kiri, 40 ke atas dan 40 ke bawah.
Ukuran ini menjadi releven dengan rumah pangsapuri dan flat pada hari ini. Semua mereka itu adalah jiran anda.


Sebagai jiran kita ada kewajipan dan kita juga ada hak masing-masing. Abdullah Nasih `Ulwan memberikan empat asas yang semua pihak patut fahami:
(a) Jangan menyakiti jiran
Dasar ini memberi erti tidak boleh melakukan zina, pencurian,mengutuk dan mencampakkan sampah sarap ke rumah jiran. Jadi perbuatan jiran anda itu amatlah salah. Melakukan zina atau pencurian terhadap jiran sepuluh kali ganda lebih buruk dasripada melakukannya kepada pihak lain. Hingga hadis Bukhari ada menyebut ” Tidak beriman mereka yang menyakiti jiran”.

(b) Memelihar jiran
Setiap daripada kita wajib nmemelihara jiran. Sikap ini menandakan hati yang bersih. Sekali lagi Nabi SAW. Mengingatkan ”Sispa yang memenuhi hajat jirannya, Allah akan memenuhkan hajatnya.”

(c) Berbuat baik kepada jiran. Dengan maksud jika jiran gembira ikutlah sama memberikan tahniah dan jika mereka berduka berilah takziah, walau pun bukan seagama. Malah jika mereka sakit ziarahilah mereka. Jika anda bertemu berilah salam atau sapa lah mereka. Ertinya, jika ada keperluan mereka kepada pertolongan, mereka hendaklah dibantu. Dalam hal ini nabi meletakkan mereka yang menghormati jiran tanda orang beriman.

Sebagai orang yang dekat keperluan kepada jiran melebihi keluarga sendiri. Jika habis air, garam,beras atau keperluan harian yang lain, maka jiran lah tempat mengadu. Jika ada kenduri kendara memerlukan kawasan, mangkuk pinggan, atau pisau, siapa lagi jika bukan jiran.

Sikap dan perbuatan jiran anda bertentangan dengan itu semua. Namun bagi kita pula hendaklah mengambil sikap dasar seterusnya.
(d) Menanggung kejahatan jiran. Kata pepatah Melayu ”Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali”. Memang ikutkan hati yang panah, apa sahaja mahu dilakukan kepada jiran yang sebegitu rupa. Tetapi Islam meletakkan mereka yang membalas kejahatan jiran dengan kebaikan sebagai kedudukan paling mulia.

Rasulullah S.A.W bersabda memuji orang yang berlapang dada, mudah memaafkan, memberi kepada enggan berbuat begitu kepada kita malah menghubung silatu rahim dengan mereka yang memutuskan silatu rahim.

Membalas kejahatan dengan kejahatan akan merosakkan perpaduan. Jika ada ruang untuk membaiki keadaan secra baik, itulah jalan paling selamat. Justeru itu kita dituntut memiliki perasaan bersabar dan tidak muda jadi pemarah.

Dalam perkara ini pendidikan sejak awal perlu di mana setiap orang dididik agar tahu dan amalkan sikap berbaik-baik dengan jiran ini.
Read more...

Thursday, May 1, 2008

Penghinaan kepada nabi

Penghinaan Kepada Nabi
Soalan: Bagaimana menghadapi penghinaan kepada Nabi S.A.W. seperti berlaku di Denmark dan Belanda. Apakah cukup dengan hanya memboikot produk keluaran mereka?

Muslim sejati, Subang Jaya.

Jawapan: Sdr. Termasuk dalam kumpulan bersifat muslim sejati. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud kira-kira bukan namanya muslim mereka yang tidak ambil berat tentang umat Islam yang lain.

Dalam hubungan ini saya berpendapat setiap daripada kita seharusnya berperanan mengikut kebolehan dan kemampuan masing-masing.

Apa yang menarik perhatian saya, menurut maklumat umat Islam di Barat khususnya di Belanda menjadikan isu ini sebagai masa untuk mereka menghadapi secara yang bertamadun dan hadhari. Mereka tidak melawannya secara emosi tetapi lebih kepada menggunakannya kepada pendekatan straregik, iaitu mengumpulkan umat Islam menjadi bersatu. Mereka tidak lagi menganggap diri mereka pendatang tetapi sebagai warga negara yang sah.

Umat Islam di Holland kini sudah mencapai satu juta orang daripada 16.3 juta penduduknya. Jadi cara berhadapan dengan cabaran daripada ekstremis kanan ini mengikut saluran undang-undang dan hak mereka sebagai warga negara Holland.

Penghinaan kepada Rasulullah melalui penyebaran semula karekatur Nabi S.A.W. bukanlah merupakan reaksi atas perbuatan orang Islam tetapi lebih kepada, bagaimana untuk mendapatkan reaksi orang Islam secara yang tidak bertamadun untuk menggambarkan, benar orang Islam itu ganas dan kurang bertamadun.

Cara yang halus dan strategik digunakan oleh orang Islam di sana. Iaitu salurang undang-undang digunakan dalam sebuah negara yang menghormati undang-undang. Kebijaksanaan umat Islam adalah mengambil faedah daripada krisi yang berlaku, bukannya membuat tindakan melulu yang boleh merosakkan keadaan.


Di antara perkara yang diberikan perhatian adalah memperdalamkan lagi rasa kewujudan mereka sebagai umat Islam di satu pihak dan memperkasakan kedudukan mereka sebagai warga negara generasi ketiga dan keempat yang tidak ada lagi negara lain bagi mereka kecuali negara Holand.

Kedua menjadikan peristiwa ini untuk merapatkan lagi hubungan dengan rakyat Holland secara keseluruhan. Justeru perbuatan menghina Nabi S.A.W ini hanyalah merupakan angkara golongan ekstrem kanan yang kurang senang hati dengan perkembangan umat Islam, malah mengambil peluang untuk mendapatkan u ndi bagi pilihan raya sahaja.

Malah peluang ini digunakan oleh masyarakat Islam untuk meletakkan Islam sebagai lebih berkesan dengan mengadakan musabaqah hafalan al-Quran peringkat kebansaan dan menyiarkan beberapa filem dokumtari yang menyebarkan pengetahuan tentang Islam.

Perkara yang sama seharusnya menjadi pelajaran kepada umat Islam apabila berlaku satu-satu keadaan krisi yang mencemaskan umat Islam. Keadaan dan situasi itu harus diambil peluang untuk menggerakkan perpaduan dan umat dan langkah-langkah strategik bagi memperbetulkan keadaan.

Contohnya, situasi umat Islam selepas PRU 12 seharusnya tidak menjadikan orang Islam terus leka dengan retorik atau angan-angan kosong, seolah-olah kuasa politik di negara ini akan selama-lama kekal di tangan orang Islam. Apa sahaja boleh terjadi dalam sebuah negara berbilang kaum dan mengamalkan demokrasi seperti di Malaysia.

Umat Islam harus mengambil pendekatan yang strategik dari segi politik, keagamaan, ekonomi dan kebudayaan dan tidak mudah meleburkan diri dalam persekitaran yang ada.

Berbalik kepada persoalan di atas, pada hemat saya penghinaan kepada nabi bukan dalam bentuk lukisan kartun sahaja seperti yang berlaku di Barat. Di negara umat Islam juga penghinaan secara tidak langsung dan secara langsung berlaku setiap masa dengan ada nya pihak-pihak yang tidak ambil pedoman dan bimbingan daripada arahan rasulullah S.A.W.

Arahan paling stratergik diberikan Nabi S.A.W. kepada kita semua agar bersatu padu dan asas perpaduan itu adalah berpegang kepada ajaran al-Quranb dan al-Sunnah.

Sejauh mana telinga kita mendengar terhadap seruan itu atau masing-masing kita sanggup menghinjak dengan kaki apabila bertembung dengan kepentingan peribadi dan puak masing-masing.

Juateru itu, banyak amalan, sunnah dan sirah nabi yang bersifat peribadi kita ambil, tetapi kita letak ke belakang jika arahan itu bersifat dasar dan polisi yang patut kita amalakan.

Dalam banyak keadaan kita amat bersedih hati kerana setiap hari sebenarnya, kita menghina nabi kita dengan menolak ketepi ajaran dan sabda mereka. Anjuran nabi supaya kita mendalami ilmu pengetahuan juga, banyak tidak di ambil endah oleh kita semua. Malah arahan nabi supaya kita menjaga masa dan jangan membazirkan kepada perkara yang tidak berfaedah. Kita terimanya sebagai cakap kosong manusia biasa.

Akibat daripada itu kadang kala kehidupan kita menjadi sempang perenang bermula dalam keluarga yang hancur, masyarakat yang kucar kacir dengan berbagai gejala negatif dan negara pub dalam beberapa keadaan seperti tidak menentu kerana menolak anjuran Nabi Muhammad S.A.W.

Keinsafan harus sentiasa ada pada diri setiap kita dengan sentias membuat rujukan kepada syariat Islam dalam semua perkara dan setiap aspek; dari kaedah dan tekni mendidik anak sampai kepada kehidupan bersuami isteri, dalam hubungan dan komunikasi antara pekerja dan majikan sampai kepada hubungan parti pemerintah dan parti pembangkang.

Oleh itu bersempena dengan Maulidi Rasul yang baru sahaja di sambut, jadikanlah nabi S.A.W sebagai contoh yang sebenarnya. Jangan hanya kita bercakap demi agama, bangsa dan negara kita berjuang tetapi nampak sangat kebanyakan kita berjuang demi kepentingan diri sendiri terlebih dahulu. Soal bangsa dan agama hanya menjadi retorik semata-mata. Wallahu a`1am.
Read more...

ZINA SAMA DENGAN HOMOSEKS

HOMOSEKS SAMA DENGAN ZINA

Soalan: Apakah hukum lesbian dan gay, kerana ia semakin menjadi di kalangan anak-anak muda melayu Muslim di Malaysia. Boleh diberikan penjelasan. Disamping itu minuman arak juga banyak berlaku di kalangan anak muda Melayu. Apa pendapat tuan?

Suhaimi Baba, Kuantan Pahang.

Jawapan:
Saya cukup terkejut dengan soalan ini. Kenapa kejadian seperti ini menjadi-jadi. Sedangkan Malaysia salah sebuah negara yang menjadikan mata pelajaran agama sebagai wajib di sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Beribu guru agama dilantik setiap tahun. Setahu saya sukatan pelajaran agama juga cukup tinggi.

Apa pun, persoalan ini pertamanya harus dipertanyakan kepada setiap ibubapa, sejauh manakah mereka bertanggung jawab dalam mendidik anak-anak remaja mereka. Atau mereka hanya melepas tangan sahaja atas alasan tanggung jawab telah diberikan kepada guru-guru khususnya guru agama di sekolah-sekolah.

Adalah menjadi kesalahan kepada para ibubapa yang tidak memberikan pendidikan yang mencukupi kepada anak-anak, oleh sebab tugas ini adalah tugas asasi mereka. Mereka bukan sahaja wajib memberikan makan minum dan tempat tinggal, malah memberikan didikan sempurna.

Adapun guru adalah memberikan bantuan bagi membimbing pendidikan yang lebih cemerlang. Allah S.W.T. pernah mengingatkan ibubapa agar menjaga anak-anak mereka daripada tercebur ke dalam api neraka.


Tugas guru menjadi pembimbing tambahan tidak juga penting. Meskipun tugas mengajar itu hukumnya fardu kifayah, tetapi apabila mereka memilih kerjaya itu sudah menjadi fardu `ain ke atas diri mereka.

Akan dipersoalkan nanti, apakah mereka benar-benar ikhlas mendidik anak bangsa atau hanya sekadar makan gaji sahaja. Justeru itu dalam bidang pendidikan memerlukan semua peringkat ikhlas, bukan hany sekadar mengejar kelulusan tinggi peratus murid dan setakat menghabiskan kurikulum sahaja. Lebih penting menjamin anak-anak didik melaksanakan apa yang dipelajari.

Pengetua, pengurus dan PIBG semua bertanggung jawab hinggakan kepada menteri yang dipertanggung jawab.

Akhlak buruk seperti lisbian (hubungan sejenis sesama perempuan) dan gay (hubungan sesama sejenis lelaki) hukumnya sama dengan hukum zina juga.

Saya banyak menerima pertanyaan seperti soalan diatas, terutama selepas artikel dalam ruangan ini berjudul: Kahwin Selepas Zina. Pada kesimpulannya, saya membuat andaian, masyarakat kita hari ini begitu ramai terjebak dengan maksiat zina, rogol, penderaan di rumah, ” suami makan luar”, ”isteri simpan lelaki” dan berbagai lagi.

Ini semua menggambarkan iman yang sudah hampir malah memang hancur. Akhlak yang runtuh. Apalagi perbuatan minum minuman keras yang sudah menjadi tren baru selepas agak lama tidak kedengaran.

Pada saya selain ibubapa yang harus mengambil berat hal anak-anak, pihak pembuat polisi dan menteri-menteri yang baru di lantik dalam beberapa kementerian termasuk pelajaran ,belia, wanita dan lain-lain seharus melihatnya secara yang lebih bertanggung jawab.



Berbalik kepada homoseks dan lesbian ini ia bertentangan dengan fitrah manusia dan merosakkan kemaslahan manusia sedunia. Al-Quran menggambarkan perbuatan kaum Nabi Lut itu sebagai fasiq, jahat dan melampaui batas. Sehingga bumi diterbalikkan oleh kemurkaan Allah.

Oleh itu, negara di mana di dalam nya diamalakan jenayah zina, homosekas dan lesbian ini berhati-hati sebelum ditimpa bencana musibah. Dari segi hukuman pula maka hukuman ke atas mereka serupa juga dengan hukuman terhadap penzina.

Meminum arak juga salah satu dosa besar. Maka ruangan ini mengajak semua pihak yang terlibat dengan semua dosa besar ini agar segera bertaubat. Sedangkan pintu taubah selalu terbuka untuk mereka.

Di samping itu masyarakat harus memainkan perana masing-masing. Ibubapa harus membawa anak mereka yang terjebak ke dalam kancah ini berjumpa dengan mereka yang lebih tahu termasuk pakar psikologi atau pakar-pakar lain termasuk ahli agama untuk membincangkannya.

Para pengurus sekolah juga lebih bertanggung jawab. Demikian juga para pengurus asrama.

Kita semua tidak harus memandang kecil dan remeh perkara di atas. Para pemimpin j uga harus memberi teguran yang baik, tidak hanya bercakap soal pembangunan fizikal dan kemajuan. Apa yang akan dicapai kemajuan dan wawasan 2020, jika akhlak masyarakatnya rosak seperti apa yang di alami di Barat. Bukankah umat Islam mempunyai acuan kemajuan sendiri, bukannya menjadi pak turut barat.

Kepada para pemimpin yang baru dipilih, beretakwalah kepada Allah. Jangan menyombong diri dengan hanya sedikit kuasa yang ada. Jangan lupa daratan dengan sedikit kemewahan dunia. Azab Allah lebih pedih dari segalanya dan neraka itu amat mengerikan. Hisablah diri kita semua sebelum kita dihisab di akhirat nanti. Wallahua`lam.
Read more...

wajib pertahan negara

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA


Isu ketenteraan cukup penting sehingga menjadi dasar hidup muslim wajib mempertahan negara.Bukankah Allah berfirman agar kita mempersiapkan kekuatan dan ketenteraan sehingga menggerunkan musuh?

Setiap daripada diri kita dituntut menyayangi negara dan tanah air. Apalagi mempertahankan tanah air jika diserang musuh.

Apa yang penting isu keselamatan dan ketenteraan sepatutnya dikaitkan dengan perintah agama bagi mempertahankannya. Justeru itu setiap orang merasakan bertanggung jawab mempertahan tanah air dan tidak timbul berbagai tanggapan negatif terhadap isu pertahanan negara malah soal keselamatan negara secara keseluruhannya.

Sepatutnya setiap ibubapa merasa bangga jika ada daripada kalangan anak-anak mereka yang ingin menyertai tentera atau pasukan keselamatan dengan niat memberi khidmat kepada bangsa, negara malah agama.

Sudah sampailah masanya, persepsi pertahanan negara dan isu keselamatan dikaitkan dengan bukan sahaja keperluan negara tetapi menjadi tuntutan agama.
Hanya yang perlu diberikan perhatian, niat mesti diperbetulkan. Bukankah nabi mengingatkan para sahabat yang baru berpeluang berperang mempertahankan agama itu pun masih pulang daripada perjuangan yang kecil kerana perjuangan lebih besar adalah perjuangan melawan nafsu, berbakti dengan ikhlas, bukan atas tujuan mencari nama, pangkat atau kedudukan.

Apabila timbul ura-ura kekuarangan calon untuk direkrut dalam tentera atau pasukan keselamatan, ada sesuatu perkara yang tidak kena dalam pendekatan kita mempromosi tugas ini.

Jika ia dikaitkan dengan tuntutan agama, keperluan negara maka sepatutnya menjadi kebanggaan semua pihak untuk melepaskan anak mereka masuk dalam bidang tersebut. Malah ibubapa sepatutnya mendoorong supaya ada dalam setiap keluarga mereka yang sanggup mempertahankan tanah air dan bangsa daripada ancaman musuh luar, mahu pun musuh dalam yang sengaja merosakkan keamanan orang ramai.

Dalam keadaan jenayah yang makin terjadi, gejala sosial yang makin besar saiznya, apatah lagi amar makruf nahi mungkar yang perlu. Adakah dengan hanya melalui khutbah dan cerama. Saya berpendapat memasuki pasukan keselamatan dan menjadi tentera satu amalan baik yang didukung oleh agama.

Dengan wujudnya KAGAT dalam tentera dan unit agama dalam pasukan polis diharapkan tugas ketenteraan ini makin mmenjadi tarikan. Kerja mengawal keselamatan negara juga menjadi pilihan.

Tidak timbul sama sekali persepsi negatif seperti yang sdr tanayakan di atas. Soal umur panjang atau pendek bukan kerja kita. Nyawa boleh melayang bila-bila masa sahaja. Contohnya, di Malaysia, umur mereka yang mati kerana kecelakaan jalan raya jauh lebih besar daripada mereka yang tewas dalam peperangan.

Tiap hari ada sahaja mereka yang menjadi balu atau duda. Barangkali mati kerana tidak cukup senaman atau kerana penyakit lebih ramai daripada mati kerana dibunuh oleh penjenayah. Sedangkan mati kerana mempertahankan negara dan agama dalam tentera atau pasukan keselamatan jauh lebih bermaruah daripada mati kerana jangkitan HIV atau penyakit kerana cara hidup menyimpang atau mati kerana merempit.

Alasan gaji sedikit juga tidak timbul, jika mereka yang terlibat dalam pasukan keselamatan dan tentera yang sudah dibekalkan dengan kelulusan yang baik dan kemahiran yang tinggi dalam berbagai lapangan yang diperlukan.

Islam satu agama yang cukup praktikal, memahami keperluan keadaan yang sentiasa berubah. Keperluan pertahanan dan keselamatan pada masa ini juga bukan hanya memerlukan kualiti fizikal semata-mata tetapi kua;liti dan kecanggihan teknologi dalam peperangan zaman moden mahu pun pemeliharaan keselamatan dalam negeri.

Jika diteliti dalam pendekatan Islam hadhari pun salah satu prinsipnya pertahanan negara dan menjamin keselamatan negara yang mempunyai peranan penting dalam mensetabilkan politik dan ekonomi negara. Malah dengan jaminan keselamatan juga kem,ajuan agama dapat berjalan lancar.

Lihatlah mereka yang keselamatan tidak terjamin apatah lagi pertahanan negara yang rapuh, sukar untuk menjalani amal ibadat sepoerti apa yang sedang berjalan di negara kita.

Nyatalah isu yang dibincangkan ini, pada asasnya satu fardu kifayah yang dituntut, malah menjadi fardu a`in pada situasi yang tertentu. Selamat berjuang
Read more...

mindamuslim

Perkahwinan adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang, bekerjasam membina kehidupan.

Imam al-Syaukani mengatakan, orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3 surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.

Namun ada satu pengecualian, bahawa jika mereka kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin maksud surah al-Ma`idah ayat 5, mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu adalah taubat sungguh-sungguh (nasuha).


Taubat sebenar dalam maksud beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbutan keji itu. Pendapat ini diberikan oleh Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah Jilid 2,. Pandangan begini dipersetujui sama oleh bebrapa Imam lain seperti Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Imam Ahmad menambahkan satu syarat lagi, boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah. Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.

Walau bagaimana pun ada mazhab yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Shafi`i, Hanafi dan Maliki yang mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan justeru perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.


Pendapat ini menfsirkan maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela perbuatan zina.

Namun mazhab Malik mahu supaya ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Shafi`i yang tidak mensyaratkan soal edah itu.

Murid Abu Hanifah bernama Abu Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil zina itu.

Walau apa pun perbuatan zina adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang suci.

Berdasarkan soalan sdr. Sahkah tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, menurut mazhab Shafi`i seperti dinukil oleh Syed sabiq adalah sah.

Namun dengan penzina lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.

Penzina sama ada lelaki atau perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan huduh. Tidak sepatutnya melumurkan penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih.
Hukum perkahwinan dalam Islam ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya. Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.

Lebih daripada itu mungkin mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat, atau jasmani yang rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.

Oleh itu, lelaki atau perempuan yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muahmmad S.A.W tidak boleh hidup senang dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran murni.

Perkahwinan sepatutnya menimbulkan kasih sayang, mawaddah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu daripada pasangan yang jahat, atau fasiq. Wallahua`lam.
Read more...

Saturday, March 15, 2008

Politik Wanita Ada Batasan-Mingguan Malaysia, Bicara Agama, 9 Mac 2008

Oleh Kamil Majid


SOALAN:
Saya seorang saudara baru keturunan India sejak dua tahun. Baru-baru ini saya membaca pandangan prof. mengenai ‘wanita boleh berpolitik’.

Saya mempunyai kemusykilan yang memerlukan penjelasan. Apa yang saya faham, dan mungkin kenyataan saya juga kurang tepat, Allah s.w.t. mengharamkan wanita mendedah aurat seperti rambut dan berfirman dalam al-Quran supaya wanita harus bertudung.

Lelaki dan perempuan dan tidak mahram haram bersentuhan kecuali dalam keadaan yang telah sah dan darurat seperti perubatan dan sebagainya. Tetapi apa yang kita lihat pada pemimpin wanita kita sekarang tidak sama seperti para isteri Nabi dan sahabat- sahabatnya yang pandai menjaga kemuliaan agama Islam.

Adakah berkecimpung dalam politik, bebas bergaul, berjabat tangan dengan lelaki bukan mahram, tidak menutup aurat (perkara asas yang jelas) menyumbang kepada kejayaan agama islam dan mendukung hasrat Nabi kita?

– Nordin, Pulau Pinang.

JAWAPAN:Saya amat terharu membaca surat saudara yang bertanyakan tentang sumbangan orang-orang politik, khususnya ahli politik wanita terhadap agama Islam. Saya juga bersetuju seratus peratus dengan apa yang saudara sebutkan. Justeru, apabila saya berpendapat wanita boleh berpolitik, mereka tidaklah seharusnya melanggar apa yang disyariatkan Allah dari segi pakaian dan menutup aurat, dari segi pergaulan yang bebas yang saya sudah sebut dalam artikel saya sebelum ini.

Pendapat yang saudara berikan, sesungguhnya memperlihatkan saudara, walaupun baru memeluk Islam tetapi lebih memahami daripada mereka yang sudah lama berada dalam agama Islam.

Hanya apa yang ingin saya kongsikan dengan sdr. mengenai mengikuti segala apa yang dilakukan nabi atau isteri-isteri nabi. Memanglah itu yang paling ideal untuk dicapai oleh setiap manusia seperti apa yang dilakukan oleh Ibn Umar yang akan berbuat apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.


Namun setakat apa yang saya faham, apa yang disebut sunah nabi itu walaupun kesemuanya elok dilakukan, tetapi tidak semuanya wajib kita lakukan kerana tidak semua sunah itu merupakan perundangan.

Ambilkan contoh, Rasulullah memakai tongkat di tangannya. Ia tidak semestinya setiap orang mengikuti perbuatan itu. Rasulullah berbuat demikian mungkin sebagai adat kaumnya yang memakai tongkat. Adat orang Malaysia, mungkin bukan begitu. Jadi kita tidak perlu pakai tongkat, tetapi tidak salah bagi mereka yang ingin berbuat demikian.

Demikian juga soal pemakaian, walaupun boleh sesiapa yang ingin memakai serban dan jubah atas alasan pakaian nabi, tetapi syariatnya adalah menutup aurat. Apa sahaja pakaian orang Melayu atau India dan Cina yang dikira menutup aurat, sudah dikira mengikut sunah, kerana sunahnya menutup aurat, bukan jubah dan serban itu.

Penampilan

Bukanlah tujuan saya untuk memperkecilkan penampilan seperti yang ditunjukkan nabi itu atau isteri nabi. Namun penampilan mereka itu adalah penampilan yang cukup sempurna. Ini bukan bererti, jika tidak sebiji dengan Rasulullah atau isteri baginda, kita umatnya tidak mengikut sunah lagi.

Ambilkan contoh lain, berjanggut dan menutup kepala bagi lelaki. Hal ini memang ada hadis menunjukkan ia satu sunah yang baik. Pakaian yang lengkap dan sempurna. Namun dalam beberapa hal ia berkait juga dengan adat dan keadaan setempat.

Mungkin bagi bangsa Arab, menutup kepala dan berjanggut itu pasti bagi mereka. Sebab itu di Arab Saudi mereka menganggap mereka yang tidak berjanggut dan tidak berserban dianggap tidak ikut sunah. Mungkin kerana bukan semua orang Arab itu beragama Islam, untuk membezakannya perlu kepada identiti sendiri.

Isu di sini yang saya nampak adalah soal identiti diri. Orang Islam tanpa mengira lelaki mahupun perempuan perlu menunjukkan identiti keislaman mereka. Mereka tidak seharusnya bergaul atau berpakaian, termasuk orang politik sehingga langsung tidak ada identiti keislamannya.

Oleh sebab itu apabila saya menganjurkan wanita boleh berpolitik, bukanlah bermaksud bebas melakukan apa sahaja, tetapi mereka terikat dengan syariat, adab dan etika Islam dalam semua perkara termasuk berpakaian dan pergaulan.

Cuma saya ingin menekankan sekali lagi di sini, kita umat Islam pada hari ini berada pada dua kutub ekstrem. Ada mereka yang ingin memenjarakan wanita di rumah, malah anehnya sampai sekarang masih ada seruan, melarang wanita ke kubur atau ke masjid atas alasan larangan daripada nabi. Adakah wajar, ketika wanita diizin ke mana sahaja, mereka masih tidak diizin untuk ke masjid? Suasana hari ini juga sudah berubah, sebab keselamatan dan unsur fitnah sudah “clear”. Patutnya wanita digalakkan ke masjid.

Dalam masa yang sama ada satu ekstrem lain iaitu membebaskan wanita tanpa had sehingga tidak ada lagi perbezaan mereka dan orang lain dalam berpakaian, pergaulan atau apa sahaja sehingga tidak wujud lagi satu identiti bagi wanita Islam.

Perkara ini amatlah dikesali, apalagi daripada kepimpinan yang harus menunjukkan contoh teladan yang baik. Wallahualam.

* Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Read more...

Tuesday, March 4, 2008

Fanatik Melampau dan sesat - Mingguan Malaysia - 2 Mac 2008

Fanatik, melampau dan sesat
Bersama:KAMIL MAJID


Soalan: Fanatik agama menjadi satu faktor kepada kesesatan. Bolehkah Prof. terangkan ajaran yang membawa kesesatan itu?


– Lutfi Haron, Kuala Terengganu.


JAWAPAN: Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw dan tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.


Al-Wasat atau al-I’tidal adalah satu paksi yang membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri sederhana - Wasat itu maka umat Islam terdedah kepada tokok tambah atau pengurangan dalam urusan agama. Penambahan atau pengurangan ini menjadi salah satu punca perpecahan. Soalnya, bagaimana satu umat itu boleh maju apa lagi boleh memimpin jika mereka berpecah-belah? Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik, hilang kesederhanaan kerana fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.


Keadaan bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama tarekat atau sebagainya.


Fanatik bermaksud sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian dan biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan taksub. Lawan “fanatik” dan “taksub” ialah toleransi, lapang dada, keluasan fikiran dan kesabaran. Sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah s.w.t. terhadap umat terdahulu khasnya ahl al-kitab. Allah berfirman maksudnya:


Katakanlah: Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus. (Surah al-Maidah (5): 77).


Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti dituntut oleh Islam. Allah berfirman maksudnya:


Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (Surah al-Baqarah (2): 143).


Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahupun guru atau kumpulan adalah salah satu daripada gejala melampau. Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat daripadanya sebagai jahil, bodoh, fasik dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan.


Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bidaah, kufur dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah, mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.


Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:


Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama.


Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar.... (Riwayat Bukhari dan Nasaai)


Sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah terhadap umat yang dahulu khasnya ahli Kitab. Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz’i. Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu’. Allah memerintahkan hamba-Nya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud firman Allah:


Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang. Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh.


Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri mahupun guru dan kumpulan masing-masing adalah salah satu daripada gejala melampau-lampau. Ia menggambarkan kebekuan fahaman seseorang yang tidak boleh melihat maslahah umum. Sikap begini adalah pembawaan yang memandang hanya diri atau kumpulan sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain salah. Pihak yang tidak menurut pemikirannya dianggap bodoh, fasik dan derhaka. Keadaan ini, seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai rasul yang maksum dan kata-katanya sebagai sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama salaf dan khalaf telah berijmak bahawa semua pendapat boleh diambil dan ditinggalkan kecuali sabda Rasulullah.


Taksub dan fanatik yang dikutuk begini adalah sikap orang-orang yang cuba mengikat pihak lain kepada dirinya dan menafikan peranan orang lain. Ia akan menjadi lebih berbahaya apabila sikap ini dimanifestasikan dalam bentuk tindakan keras dan memaksa, walaupun terdapat keadaan yang memberi kelonggaran atau kelapangan. Contohnya, percubaan mewajibkan sesuatu yang Allah tidak wajibkan, lalu memaksa orang lain mengerjakan amalan-amalan sunat sama seperti menunaikan yang fardu, atau mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.


Dalam medan dakwah, pendekatan keras dan kasar juga tidak wajar digunakan. Malah Rasulullah menyatakan, Allah menyukai sikap lemah lembut dalam segala urusan. Salah satu manifestasi ketaksuban adalah apabila terdapat sesuatu pihak yang mengkafirkan pihak yang lain, kecuali yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka. Gejala ini membawa kepada perbuatan menghalalkan darah dan harta pihak lain kerana pada pandangan mereka, golongan tersebut dianggap murtad dan kufur. Penyakit ini disifatkan oleh Yusuf al- Qaradawi seperti penyakit yang menimpa golongan Khawarij pada zaman awal Islam.


Satu lagi manifestasi ketaksuban adalah sikap memilih pendekatan kekerasan iaitu menggunakan senjata bagi menghapuskan apa yang dianggap batil, atau cuba mengubah kemungkaran dengan menggunakan kekuatan senjata. Ia selalunya ditujukan kepada para penguasa yang tidak melaksanakan hukum yang diturunkan Allah, menangguhkan pelaksanaan syariat Islam atau menggantikannya dengan hukum atau undang-undang ciptaan manusia. Ertinya, golongan ini akan melancarkan jihad.


Golongan ini sebenarnya keliru dalam membezakan tugas pemerintah dan tugas individu. Tindakan Abu Bakar memerangi kaum murtad atau mereka yang enggan membayar zakat, merupakan tanggungjawabnya sebagai pemerintah. Sedangkan sebagai individu Muslim, apa yang perlu dilakukan hanyalah melakukan al-amr bi al- ma’ruf wa al-nahy anil munkar, menasihati dalam agama – jika mampu – dengan kaedah-kaedah yang dibolehkan. Taghyir al- munkar bi al-yad atau menggunakan kuasa atau kekuatan untuk mengubah kemungkaran, bukanlah diwajibkan ke atas semua orang. Sebaliknya, ia hanyalah diwajibkan ke atas pihak yang mempunyai kuasa terhadap orang yang di bawahnya, contohnya, kuasa bapa ke atas anak, majikan ke atas pekerja atau pemerintah ke atas rakyatnya.


Sikap taksub kadangkala berlaku sebagai reaksi kepada masyarakat Islam yang membenarkan kemungkaran berleluasa. Dalam erti kata lain, Islam yang ada bercampur dengan kesyirikan akidah, bidaah dalam ibadah. Kejumudan fikiran, mendatar dalam fahaman, mencari yang payah dalam fatwa dan keras dalam pergaulan, juga boleh menyuburkan sikap fanatik. Fenomena lain yang menyuburkan sikap taksub dan fanatik ialah bersikap jumud dalam berfikir, mendatar dalam memahami sesuatu, mencari yang payah dalam berfatwa dan memilih pendekatan dakwah yang mengakibatkan orang awam menjadi liar dan keras dalam pergaulan. Fenomena begini menyebabkan ternafinya tajdid dan ijtihad dalam menetapkan sesuatu hukum. Para ulama hanya tahu mengatakan haram dan bidaah tetapi tidak mampu untuk berijtihad dan meneliti sesuatu ketetapan hukum secara mendalam.


Fenomena ini bolehlah dinamakan sebagai aliran zahiriah baru. Mereka hanya sibuk dengan soal janggut dan serban, mencari pandangan yang berat dalam fatwa, mengharamkan wanita bekerja atau turut serta dalam pengundian pilihan raya dan sebagainya. Semua ini berlaku kerana pemimpin dan guru mereka mempunyai kefahaman yang cetek terhadap persoalan agama yang menyebabkan mereka terdorong untuk menerima pendapat tersebut berasaskan kekurangan ilmu dan kefahaman. Benarlah maksud hadis Rasulullah tentang bahayanya ilmu yang separuh masak.


Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap prasangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum daripada memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil.


Perlu ditekankan di sini, mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya kepada semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya. Wallahualam.


- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
Read more...

Friday, February 29, 2008

Read more...

Umat Islam wajib mengundi - Mingguan Malaysia 24 Februari 2008

Umat Islam Wajib Mengundi
Oleh: KAMIL MAJID


SOALAN:Ketika pilihan raya umum ke-12 semakin dekat dan rakyat akan membuang undi tidak lama lagi, ada suara sumbang menyatakan mengundi dalam pilihan raya bercanggah dengan roh Islam kerana kata mereka, Islam berbeza daripada demokrasi. Apa pendapat profesor?
– Profesional Keliru,
Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN: Dewasa ini semakin ramai yang keliru apabila bercakap mengenai Islam. Kekeliruan mungkin kerana tidak cukup pengetahuan atau salah mentafsirkan ajaran Islam. Saya cukup bersimpati dengan masyarakat yang terlalu banyak terdedah kepada sumber yang pelbagai. Pada satu keadaan ia baik, jika masyarakat boleh menapis dan menilainya dengan baik. Tetapi ia menjadi negatif, apabila anggota masyarakat tidak cukup alat untuk membuat penilaian.

Bagi menjawab persoalan ini, dalam menilai kedudukan demokrasi, ada beberapa pihak dalam masyarakat Islam iaitu pertama: Mereka yang menolak demokrasi secara total. Kedua, menerima demokrasi tanpa soal. Ketiga: Menerima demokrasi dengan syarat tidak bertentangan dengan Islam.

Golongan pertama, mereka ini menolak demokrasi dengan alasan cukup simplistik. (a) Islam dari Tuhan dan demokrasi daripada manusia. (b) Islam menjalankan hukum Allah, sedangkan demokrasi melaksanakan hukum dan undang-undang manusia. (c) Demokrasi berasaskan suara majoriti, sedangkan tidak setiap pendapat majoriti itu betul. (d) Demokrasi perkara bidaah kerana tidak ada pada zaman nabi dan umat terdahulu. (e) Demokrasi dari Barat yang sekular. Demokrasi itu kufur, kata mereka.

Golongan kedua, mempercayai demokrasi boleh menyelesaikan segala masalah negara, bangsa dengan maksud kebebasan berpolitik, keadilan sosial, ekonomi bebas.

Tanpa syarat mereka inginkan demokrasi di negara ini dilaksanakan seperti di barat, tanpa ikatan keagamaan, mengetepikan akhlak malah tidak percaya kepada nilai-nilai yang telah tetap. Mereka cuba memisahkan sepenuhnya akhlak dan ekonomi, akhlak dan ilmu malah akhlak dan politik. Mereka mahu ikut barat seratus peratus.

Golongan ketiga, majoriti umat Islam yang melihat dalam sistem demokrasi, termasuk sistem pilihan raya, dalamnya ada perkara yang serasi dengan prinsip Islam. Inti pati demokrasi yang serasi dengan Islam seperti, orang ramai memilih pemimpin mereka, mereka tidak dipaksa menerima pemimpin yang mereka tidak menyukainya.

Demokrasi juga menyediakan saluran bagi rakyat memperbetulkan keadaan jika berlaku kesilapan. Dua pendapat terawal jelas terjebak dalam perangkap hitam putih. Malangnya sikap bercelaru antara benar dan salah ini berlaku juga di kalangan mereka yang menganggap diri mereka kuat beragama.

Menganggap demokrasi sepenuhnya buruk, satu sikap yang keterlaluan. Ia menunjukkan kejahilan terhadap makna demokrasi sebenar. Bukankah demokrasi di sesetengah negara dicapai oleh rakyat setelah memakan korban darah dan air mata rakyatnya? Contohnya seperti berlaku di Eropah Timur.

Bukankah sebuah negara demokratik menjadi idaman orang-orang Islam yang diperintah oleh sistem pemerintahan kuku besi? Kenapa sebahagian kaum muslimin menolak demokrasi? Banyak perkara inti pati dalam demokrasi, bukan sahaja tidak bertentangan dengan prinsip kebebasan dan keadilan dalam Islam, malah ia merupakan tuntutan Islam. Munculnya kediktatoran apabila hilangnya suara rakyat yang berani menegur. Diktator muncul bila hilangnya demokrasi.

Sedang Islam menentang sistem yang menzalimi rakyat dengan kekerasan, dan siapa sahaja yang berani menegur akan dihumban ke neraka. Satu sistem di mana mereka yang menjadi pengampu sahaja yang boleh hidup.

Demokrasi sebenar sama dengan Islam, di mana pemimpin selalu mengambil pandangan rakyat bagi mencapai keadilan dan menghormati hak asasi manusia.

Dalam Islam bukanlah menjadi kesalahan mengambil atau meniru mana-mana sistem yang baik. Selagi ia tidak bercanggah dengan nas, atau tidak bertentangan dengan kaedah syarat yang tetap.

Jadi pilihan raya sebagai satu mekanisme memilih pemimpin dalam Islam bolehlah disamakan dengan hukum dan kaedah memberi saksi “syahadah”. Mereka yang berhak bersuara setelah sampai usia 21 tahun, wajib menunaikan tanggungjawab penyaksian itu. Mereka mesti memilih pemimpin yang lebih berupaya, adil dan berkemampuan memimpin. Itu saksi mereka kepada Tuhan.

Memilih

Mereka yang memilih pemimpin yang tidak layak, adalah termasuk orang yang bohong dalam memberikan saksi palsu. Apabila kriteria pemilihan salah kerana calon itu keluarganya atau ada kepentingan diri atau apa- apa sebab lain maka ia menjadi saksi palsu.

Jika kerana tidak mengundi, yakni tidak memberi saksi yang benar, terpilihlah calon yang tidak layak, pengundi yang tidak menjalankan undian itu berdosa. Islam memberikan dua kriteria utama; calon yang kuat dan beramanah.

Jelasnya, inti pati demokrasi seperti disebut al-Qaradawi dalam fatwanya, berserasi dengan prinsip Islam berdasarkan sumber al- Quran dan al-sunah.

Umat Islam yang menerima demokrasi sebenarnya menerima ia sebagai satu bentuk atau kerangka bagi satu sistem pemerintahan. Ia mengandungi cara pemilihan pemimpin, cara berunding, nasihat, amar makruf nahi munkar, menentang kezaliman, menolak maksiat, dan sebagainya.

Apa yang lebih penting jika dapat disebut, mana-mana peraturan yang bercanggah dengan syariat, ia terbatal. Justeru itu demokrasi menurut acuan sendiri yang dipraktis dalam masyarakat muslim yang berilmu, berakal, beriman dan bersyukur menepati kehendak Islam.
Hanya tinggal lagi, tidak boleh dalam sistem demokrasi, sampai membenarkan undian dalam perkara jelas hukumnya, atau perkara asas agama yang berdasarkan suara ramai. Pengundian hanya dibolehkan dalam perkara ijtihadiah sahaja.

Contohnya, memilih calon ke dewan undangan negeri dan parlimen. Ini termasuk apa yang dinamakan oleh para ulama fikah “kepentingan umum”. Banyak dalam kes pada zaman nabi dan para sahabat, apabila pendapat berbeza, suara majoriti diambil kira. Imam al-Ghazali sendiri menyetujui, suara ramai diambil kira apabila ada perbezaan pandangan.

Perjuangan utama umat Islam dewasa ini adalah kebebasan. Ini boleh dicapai dengan apa yang diistilahkan oleh Mahmud ‘Aqqad sebagai “demokrasi Islam”. Demokrasi sebagai jalan paling ampuh dan berdisiplin untuk menjayakan agama dan kehidupan yang mulia. Oleh itu saya berpendapat mengundi adalah wajib mengikut hukum agama. Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.
Read more...

Thursday, February 14, 2008

Kahwin selepas berzina-Ruangan Bicara Agama-Mingguan Malaysia-10 Februari 2008

Kahwin Selepas Berzina

Bersama:KAMIL MAJID
Assalamualaikum,
Soalan: Saya ada kemusykilan tentang sah atau tidak perkahwinan seorang perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan. Mengikut buku teks agama tingkatan 5 dan hujah ustazah saya, perempuan yang sedang mengandungkan hasil perzinaan dikategorikan sebagai perempuan yang haram dikahwini sementara.

Betulkah sekiranya mereka berkahwin, lafaz nikah tersebut adalah tidak sah dan persetubuhan di antara pasangan mereka adalah zina? Kerana perkahwinan sebegini semakin menjadi-jadi dan kisah hidup pasangan seperti ini sering dipaparkan di dada umum, tetapi tidak ada yang menegur tentang sah atau tidak ikatan perkahwinan mereka. Jadi, adakah saya terlepas sesuatu? Adakah hadis dan dalil yang boleh menerangkan dengan terperinci tentang situasi tersebut?

– Remaja ingin tahu, Melaka.

Jawapan: Saudara, perkahwinan adalah benih kepada wujudnya masyarakat. Dunia tersusun daripada perkahwinan dan berumah tangga. Perkahwinan penuh dengan kasih sayang dan bekerjasama untuk membina kehidupan.

Imam al-Syaukani mengatakan, orang yang terkenal sebagai penzina sama ada lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin dengan pasangan yang bukan penzina. Ini berdasarkan keterangan ayat 3 surah al-Nur. Di mana diharamkan orang mukmin berkahwin dengan penzina atau musyrik. Mereka hanya layak dikahwinkan dengan sesama penzina dan musyrik.

Namun ada satu pengecualian, bahawa jika kedua-duanya sudah bertaubat sebelum berkahwin (maksud surah al-Ma`idah ayat 5), mereka dibenarkan berkahwin. Dengan syarat taubat itu adalah taubat yang bersungguh- sungguh (nasuha). Taubat sebenar dalam maksud beristighfar, menyesal dan memang tidak lagi melakukan perbuatan keji itu.

Pendapat ini diberikan oleh Ibnu Umar seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah Jilid 2. Pandangan begini dipersetujui sama oleh beberapa imam lain seperti Ahmad, Ibn Hazam, serta diperakui oleh Ibnu Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Imam Ahmad menambahkan satu lagi syarat iaitu boleh berkahwin apabila wanita itu habis tempoh edah. Ertinya, jika mengandung selepas dia bersalin.

Walau bagaimanapun ada mazhab yang lebih memberi kemudahan seperti mazhab Syafii, Hanafi dan Maliki yang mengharuskan perkahwinan si penzina lelaki dengan penzina perempuan, justeru perzinaan tidak menjadi halangan kepada berlakunya akad nikah.

Pendapat ini mentafsirkan maksud ayat dilarang berkahwin, bukan larangan pengharaman tetapi mencela perbuatan zina.

Namun mazhab Malik mahu supaya ada edah agar tidak bercampur nasab keturunan anak haram dengan anak halal nanti. Berbeza dengan mazhab Hanafi dan Syafii yang tidak mensyaratkan soal edah itu.

Murid Abu Hanifah bernama Abu Yusuf pula tetap mahu mensyaratkan edah, iaitu selepas bersalin atas alasan jangan bercampur benih daripada perzinaan. Ada pula pendapat mengatakan boleh berkahwin, tetapi tidak boleh bersetubuh kecuali selepas bersalin anak hasil zina itu.

Walau apa pun, perbuatan zina adalah perbuatan terkutuk yang menjadi dosa besar. Allah mahukan orang Islam memakan makanan yang baik dan beristeri atau bersuami dengan pasangan yang suci.

Berdasarkan soalan saudara, sah atau tidak perkahwinan mereka yang berzina dan mengandung, ia adalah sah jika menurut mazhab Syafii seperti dinukilkan oleh Syed Sabiq. Namun dengan penzina lelaki atau perempuan, tidak patut berlaku perkahwinan dengan mereka yang masih suci kerana tidak patut lelaki suci itu menjadi mangsa kepada penzina wanita dan sebaliknya wanita suci tidak patut menjadi mangsa penzina lelaki.

Penzina sama ada lelaki atau perempuan mempunyai jiwa yang sakit dan hodoh. Tidak sepatutnya melumurkan penyakit kejinya kepada pasangan yang bersih. Di dalam Islam, hukum perkahwinan adalah ingin memberikan kebahagiaan kepada manusia. Bagaimana para penzina dapat membahagiakan orang lain justeru mereka menjadi punca penyakit berbahaya? Mereka mungkin membawa HIV dan penyakit kelamin yang kronik yang akan menjangkiti pihak pasangannya yang sihat itu.

Lebih daripada itu mungkin mereka menurunkan kepada anaknya nanti akhlak yang jahat atau jasmani yang rosak dan cacat kerana pembawaan penyakit jasmani atau jiwanya.

Oleh itu, lelaki atau perempuan yang beradab dan mengikut ajaran nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh hidup senang dan bahagia bersama penzina atau mereka yang hidup menyimpang daripada ajaran murni.

Perkahwinan sepatutnya menimbulkan kasih sayang, mawadah dan rahmat. Apakah boleh muncul kesemua itu daripada pasangan yang jahat, atau fasiq. Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Read more...

Monday, January 28, 2008

Jemputan sempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan


Pada 30 Januari 2008 (Rabu), Prof Madya Mohamad Kamil dijemput sebagai pembentang kertas kerja dalam Ijtima' Da'ie Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan. Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia bertempat di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim pada pukul 10.00 - 11.00 pagi.



Kertas kerja bertajuk Modal Insan Sebagai Pra Syarat Tamadun Ummah ini antara lain akan membincangkan tentang kepentingan modal insan sebagai tulang belakang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Sultan Kelantan berkenan mencemar duli bertitah merasmikan program tersebut.
Read more...

Sunday, January 27, 2008

Kolum Bicara Agama-Mingguan Malaysia 27/1/2008

Jangan biar fikiran tertutup

Bersama:KAMIL MAJID

Saudara,

Islam satu nama yang mencukupi bagi memahami makna dan maksud Islam yang bersifat menyeluruh; akidah, syariat, akhlak dan adab. Adapun perkataan selepasnya hanyalah sekadar memberikan maksud tambahan, atau penekanan aplikasi atau penekanan khusus sahaja kepada aspek ketamadunan.

Ketika umat Islam dijajah pada zaman penjajahan Barat, Jamaluddin Afghani memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi bagi keseluruhan bangsa Timur yang terjajah agar membebaskan diri daripada penjajah Barat. Pada masa itu mula dikenali “Islam siyasi – Islam politik”.

Sebelum itu, Islam tidak sangat dikaitkan dengan politik. Justeru umat Islam sebelumnya banyak membincangkan Islam secara tradisional dari sudut ilmu, akidah, ibadat, dakwah, tasawuf dan seumpamanya.

Samalah halnya, sebutan nama bagi umat Islam mencukupi dengan menyebut umat Islam. Tetapi, bagi menerangkan bangsa yang khusus, dikatakan umat Islam Turki, umat Islam Melayu, Arab atau lainnya.

Selepas Jamaluddin Afghani, muridnya Muhammad Abduh, merasakan tidak cukup perjuangan Islam menekankan aspek politik sahaja. Politik sekadar memenuhi maksud emosi dan semangat. Lalu diperkenalkan reformasi pendidikan, terkenal pula istilah tarbiah/Islam tarbawi. Istilah ini banyak digunakan oleh Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, pemikir Islam dari India.

Apabila jatuhnya kerajaan Uthmaniah di Turki,bagi membangkitkan semula kebangkitan Islam, lalu diperkenalkan pendekatan Islam haraki. Setelah negara umat Islam mencapai kemerdekaan, kemajuannya masih terhad, ditekankan pula pendekatan ketamadunan dengan nama “Islam hadhari”. Bagi mereka yang berminat dengan kerohanian, mereka menamakan pendekatan mereka dengan istilah, Islam sufi.

Ramai orang awam menjadi keliru dengan pelbagai pendekatan ini. Dalam perbincangan bidang pemikiran Islam di universiti, perkara ini menjadi perkara biasa dibincangkan, terutama bidang pemikiran Islam.

Merujuk kepada peristilahannya, tidaklah ada salahnya menggunakan istilah tersebut. Malah pemakaian istilah hadhari ini di kalangan pemikir Arab, perbincangan perkara ini digunakan oleh tokoh ikhwan Muslimin seperti Abdul Mun‘im Abul Futuh, malah beberapa wacana dan tesis menggunakan judul buku dan tesis dengan istilah “Masyru‘ al-Islami al- Hadhari” atau ”Masyru‘ al-Hadhari al- Islami”.

Kontroversial

Di Malaysia, istilah manhaj Islam Hadhari diperkenalkan. Mungkin ia menjadi kontroversial kerana istilah ini muncul dari lidah orang politik. Ia mendapat respons negatif dari pihak-pihak lain. Tetapi secara ilmiahnya, ia bukan istilah yang pelik, terutama, bagi mereka yang mendalami pemikiran Ibn Khaldun, Malik bin Nabi mahupun al-

Qaradawi sendiri.

Barangkali, jika mereka yang hanya terdedah dengan buku-buku tauhid, usuluddin dan fikah, atau tasawuf sahaja dan kurang meneliti karya-karya dalam bidang pemikiran atau tamadun, istilah demikian agak kurang ditemui.

Pada hemat saya, isu gagasannya lebih penting dibincang dari soal nama. Banyak nama jika diperdebatkan hanya menghabiskan masa sahaja. Saya sendiri keliru mana yang betul antara “goreng pisang” atau “pisang goreng”, mana yang betul antara “Perdana Menteri” dan “Menteri Perdana”.

Jika perkara Islam hadhari ini mahu didebatkan, perdebatan gagasan lebih elok diteliti. Malah soal pelaksanaan lebih perlu dipolimikkan.

Menariknya, gagasan lain banyak dihasilkan buah pemikirannya oleh para pemikir. Kekuatan para pemikir, gagasannya lebih mendalam. Negatifnya, bertahun malah kadangkala berkurun lamanya, gagasan itu tinggal sebagai teori. Tidak ada jentera yang dapat melaksanakannya. Kelebihan gagasan ahli politik pula, mungkin gagasan mereka lebih mudah diaplikasi kerana ada jentera apalagi jika ada peruntukan. Sedangkan teori para politikus mudah dilaksana, gagasan para pemikir mungkin timbul atau tenggelam, berdasarkan pendukung dan kekuatan murid-murid mereka.

Jika ingin dikaitkan maksud Islam Hadhari paling kecil, saya melihat sedikit demi sedikit ada kemajuan, asalkan kita mahu melihat dengan kaca mata putih. Saya berkesempatan melawat Kaherah akhir tahun lepas (2007) untuk satu penyelidikan ilmiah. Ketika saya singgah di lapangan terbang antarabangsa Dubai (transit sembilan jam), masjid di lapangan terbang itu elok dan selesa. Tetapi lebih selesa lagi surau Rawat dan Rehat (R&R) di Dengkel, pertengahan jalan antara Subang Jaya ke lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA). Saya kurang selesa bersembahyang di surau lapangan terbang antarabangsa Jakarta mahupun Kaherah ketika berada di dua buah lapangan antarabangsa negara umat Islam ini, berbanding dengan surau R&R di Tapah ketika berehat di lebuh raya utara – selatan untuk ke Ipoh.

Jadi pada saya, Islam hadhari di Malaysia mula menampakkan kemajuan, apabila keselesaan beribadah di perjalanan Lebuh raya utara – selatan Malaysia lebih baik daripada beberapa surau lapangan terbang antarabangsa dunia Islam lainnya.

Kuliah

Menariknya, Islam hadhari sudah dijadikan mata kuliah di peringkat pengajian tinggi. Di Universiti Malaya subjek diperkenalkan dengan nama “Islam Pendekatan hadhari”. Diserap pula dalam kurikulum maktab dan sekolah menengah. Malah sistem pengajian Jawi, Quran dan Arab (J-Qaf) antara produk Islam hadhari. Saya diberitahu oleh ketua pengarah Jakim antara produk Islam hadhari juga apabila calon-calon saintis dan profesional UIA mula dididik menghafal Quran hasil kerjasama UIA dan Jakim. Sedangkan sebelum ini ramai lulusan pengajian Islam pun tidak menghafal sepenuh sebuah al-Quran.

Sebab itu, adalah penting umat Islam berfikiran terbuka dan jangan membiarkan pemikiran tertutup pada satu-satu tafsiran sahaja (khususnya dalam perkara furu‘). Adapun perkara pokok agama tidak mungkin banyak tafsirannya terutama yang sudah ada ijmak ulama tentang itu seperti haramnya arak, perzinaan, riba, rasuah dan seumpamanya.

Pada hemat penulis, isu Islam hadhari bukanlah perkara pokok (yang menyentuh soal akidah, ibadat khusus dan berkait perkara qat‘i). Tetapi ia seperti berulangkali ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia berkait dengan urus tadbir negara. Ia tidak jauh, malah kesinambungan daripada dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Negara malah, kesinambungan daripada gagasan perjuangan menjayakan Islam yang syumul.

Penjelasan ini secara terang, bagaikan lampu bersuluh, bahawa menerima gagasan Islam hadhari jauh lebih baik daripada menolaknya. Tinggal lagi, bagaimana setiap orang harus berusaha memantapkan gagasan ini dan lebih penting menjayakan pelaksanaannya daripada asyik berpolimik di kedai-kedai kopi.

Saya masih jauh daripada berpuas hati, melihat tidak hadharinya tandas masjid sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu Kelantan (selama saya berulang alik sejak tahun 1981- kira-kira 27 tahun), sehingga ramai mereka yang memilih tandas stesen minyak yang lebih bersih berbanding tandas masjid. (Kerajaan sepatutnya melantik petugas dan memberikan peruntukan).

Kadangkala mereka yang membaca khutbah tentang kebersihan tidak mampu menjamin kebersihan masjid, atau menampal ayat Quran di dinding restorannya, dalam masa yang sama tidak mampu mnghalang tikus berlari-lari di bawah kaki ketika makan (dua kali penulis mengalaminya) di restoran Melayu Muslim.

Oleh itu, sebelum semua kita suka berbincang perkara yang besar – dalam konteks ini – pastikan rambut dan janggut lebih terurus, kebersihan kuku dan pakaian terjaga kerana itu adalah sunah nabi. Apatah lagi, jika mulut selalu mengumpat, cakap kurang berdisiplin, bukan sahaja bersalahan dengan gagasan Islam hadhari, malah bertentangan dengan Islam tulen. Islam hadhari tidak lebih daripada sebahagian daripada Islam yang syumul yang sejak tahun 70-an abad lalu diperjuangkan oleh para pencinta Islam.

Dalam usia yang agak subjektif tua, saya lebih ingin melihat individu dan rumah tangga umat Islam tertib daripada berkhayal melihat dunia Islam yang aman, kerana jika rumah tangga masih kucar-kacir pengurusannya, bagaimana diharap masyarakatnya tertib. Jika diberikan amanah mentadbir sebuah sekolah atau sebuah jabatan masih belum mampu, apatah diharap dapat mentadbir sebuah negara?

Malah jika pendekatan hadhari pun masih sukar untuk difahami, apakah mudah untuk memahami pelaksanaan Islam yang tulen yang jauh lebih kompleks dan memerlukan keterampilan yang cukup tinggi? Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Read more...