PERUBAHAN SOSIAL DAN IMPAKNYA TERHADAP PEMBENTUKAN MODAL INSAN MENURUT IBN KHALDUN
Oleh,
Prof. Madya Mohamad Kamil Abd Majid &
Prof. Madya Dr Rahimin Affandi Abd Rahim,
Jabatan Dakwah Dan Pembangunan Insan,
APIUM, 50603 Kuala Lumpur
Email : kamilmajid50@yahoo.com
PENGENALAN
Dalam konteks dunia akademik moden, terdapat kecenderungan di kalangan sarjana dari pelbagai disiplin pengajian, yang menumpukan kajian terhadap terhadap seseorang tokoh penting yang dilihat pernah memainkan peranan yang bermakna di dalam kehidupan bermasyarakat. Tren yang menggunakan kajian yang berbentuk memuir ini dilihat bukan terhad dibuat untuk kepentingan politik murahan semata-mata, bahkan turut membabitkan kajian ilmiah yang bersifat saintifik memperincikan biodata dan kaedah perjuangan yang diusahakan oleh seseorang tokoh pilihan mengikut konteks zamannya, demi untuk iktibar masyarakat di masa hadapan. Di antara tokoh penting yang sering dijadikan bahan kajian adalah seperti Nuruddin al-Raniri, Muhammad Abduh, Jamaluddin al-Aghani, Ali Syariati, Imam Shafi’i, Imam Ahmad Hambal, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan ramai lagi tokoh lain. Di Malaysia sendiri pun, kita dapat melihat bagaimana terdapat pelbagai kajian yang diusahakan oleh sarjana luar dan tempatan yang telah menumpukan kajian terhadap tokoh penting rantau Alam Melayu seperti Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Daud Pattani, HAMKA, Za’ba, Prof. Zulkifli Muhammad, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Mahathir Muhammad dan sebagainya.
Berasaskan tren ini, kajian ini akan cuba menumpukan perhatian terhadap tema perubahan sosial serta kaitannya dengan pembentukan modal insan mengikut kupasan yang dibuat oleh Ibn Khaldun. Kajian ini seterusnya akan dilanjutkan dengan melihat relevansi teori Ibn Khaldun ini di dalam gagasan Islam hadhari yang diperjuangkan oleh pihak kerajaan Malaysia.
IBN KHALDUN DAN TEORI PERUBAHAN SOSIAL SESUATU MASYARAKAT.
Secara asasnya, walaupun memang ada sesetengah kritikan negatif yang dinisbahkan kepada ibn khaldun, kononnya beliau adalah pendokong dominant tradition dan kuat mengampu pemerintah di zamannya, semua kritikan negatif ini tidak akan ditimbulkan di dalam kajian ini. Sebaliknya, kajian ini akan cuba untuk mengkaji setiap teori perubahan masyarakat serta kaitannya dengan konsep pembangunan modal insan yang dikemukakan oleh ibn khaldun. Dengan cara ini, bukanlah bermakna kita akan terjebak dengan pendekatan fanatik yang berkecenderungan untuk mensakralkan seseorang tokoh, yang kerap dianggap telah merendahkan daya kritikal seseorang untuk menilai sesuatu fakta dengan lebih baik.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Ibn khaldun memang telah meninggalkan impak yang cukup besar kepada program pembangunan masyarakat, seperti mana terkandung di dalam disiplin sosiologi. Ketokohannya ini telah diakui oleh sebahagian besar daripada kalangan sarjana moden, termasuklah sarjana barat sendiri. Ianya sering dikaitkan sebagai pengasas utama kepada ilmu sosiologi yang mengkaji struktur sosial di dalam sesuatu masyarakat. Bahkan, dalam banyak hal ketokohannya telah disamakan dengan Ibn Rushd, yang membawa paradigma pemikiran saintifik untuk ilmu S&T moden- yang mempengaruhi perkembangan Renaisance (kesedaran baru berasaskan pembangunan ilmu saintifik) di dalam masyarakat barat.
Merujuk khusus kepada teori perubahan sosial sesuatu masyarakat dan kaitannya dengan pembentukan modal insan, kita dapat mengesan beberapa teori besar yang diperkenalkan oleh Ibn Khaldun. Antaranya;
- Teori yang menegaskan masyarakat sebagai suatu organism yang bersifat hidup, mempunyai potensi untuk berubah dan berkembang maju seandainya perancangan pembangunan yang rapi dan tersusun dapat dilakukan.
- Teori tentang jatuh dan bangun sesuatu tamadun manusia, dilihat dari segi usia sesuatu tamadun dan faktor-faktor yang menyumbang ke arah kecemerlangan dan kemunduran sesuatu tamadun.
- Teori tentang proses pembangunan sesuatu tamadun bergantung kepada nisbah perpaduan sejati di dalam masyarakat berasaskan kepada gabungan antara semangat Asabiyyah dan agama.
- Kepentingan diwujudkan perancangan pembangunan yang bersifat bersepadu, di antara elemen fizikal dan spiritual.
- Teori jiwa hamba yang dimiliki oleh bangsa yang pernah dijajah, yang kebiasaannya akan menganggap kuasa penjajah sebagai suatu bangsa yang maju dan agung.
- kepentingan ilmu sejarah untuk umat manusia, yang merangkumi persoalan manafaat dan disiplin yang harus dijaga oleh seseorang ahli sejarah.
- kepentingan diwujudkan kaedah penyelidikan sosiologi, demi untuk membantu sarjana Islam menajamkan daya artikulasi mereka terhadap permasalahan ummah Islam.
ANALISIS TEORI IBN KHALDUN DI DALAM GAGASAN ISLAM HADHARI
Sebagai premis asas, kita perlu memaklumi bahawa konsep Islam hadari telah diperkenalkan sebagai lanjutan daripada pengaruh gerakan kebangkitan semula Islam era 1970an-1990an yang berusaha menonjolkan keunggulan dan keindahan ajaran Islam. Ianya diperkenalkan berasaskan kepada beberapa prinsip yang utama;
1. Keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi
2. Kerajaan adil dan beramanah
3. Rakyat berjiwa merdeka
4. Penguasaan ilmu pengetahuan
5. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
6. Kehidupan berkualiti
7. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
8. Keutuhan budaya dan moral
9. Pemeliharaan alam semula jadi
10. Kekuatan pertahanan.
Berasaskan kepada 10 prinsip ini, kita dapat mengesan beberapa keistimewaan daripada gagasan Islam hadhari ini, seperti;
1. Ianya merupakan prinsip asas yang tidak bersifat rigid, tetapi terbuka untuk diperinci dan ditafsirkan lagi, selama ianya tidak bertentangan dengan semangat asasnya; melahirkan tamadun Malaysia moden yang berteraskan prinsip Islam.
2. Ianya berasaskan aspirasi moden yang bersesuaian dengan reality Malaysia.
3. Ianya mementingkan paradigma pembangunan yang bersepadu di antara kepentingan dunia dan akhirat.
4. Penekanan yang diberikan melalui 10 prinsip ini adalah bersifat holistic membabitkan kesemua aspek yang diperlukan untuk sesuatu program pembangunan mampan.
5. Ianya bersesuaian dan dipersetujui oleh semua penduduk Majmuk di Malaysia.
Jika dikaji secara mendalam, kita akan mendapati sebahagian besar daripada teori yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun telah diterapkan di dalam gagasan Islam hadhari. Kebenaran dakwaan ini boleh dilihat dari segi persamaan gagasan Islam hadhari dengan pelbagai teori Ibn Khaldun, merangkumi;
s Asas pembentukan sesuatu masyarakat yang maju perlu bergantung kepada nisbah anggota masyarakat (modal insan) yang berkualiti.
s kepentingan penyelidikan sosiologi bagi meneliti realiti perkembangan perubahan yang berlaku di dalam masyarakat.
s Pendekatan di dalam merangka program pembangunan masyarakat.
s Kepentingan mempelajari faktor kejayaan tamadun umat Islam – berasaskan penerapan budaya ilmu di dalam masyarakat.
s Sifat kewaspadaan terhadap faktur kejatuhan sesuatu masyarakat.
v ASAS PEMBENTUKAN SESUATU MASYARAKAT YANG MAJU BERGANTUNG KEPADA NISBAH ANGGOTA MASYARAKAT (MODAL INSAN) YANG BERKUALITI
Mengikut kupasan Ibn khaldun, kelangsungan hidup sesuatu masyarakat bergantung sepenuhnya dengan nisbah kewujudan kesepaduan tugas dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh setiap anggota masyarakat merangkumi ; (i) anggota keluarga asas, (ii) barisan kepimpinan politik, (iii) peniaga, (iv) para seniman, (v) tokoh ulamak, (vi) tokoh pendidikan dan (vii) golongan muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan sesuatu masyarakat.
Hal yang sama boleh dikesan secara langsung di dalam konsep Islam Hadhari yang diterapkan di dalam RMK-9. Ianya memberikan perhatian khusus kepada program pembangunan modal insan di kalangan masyarakat Malaysia. Apa yang dipentingkan dalam pembentukan modal insan ini adalah pembentukan manusia sebagai asset terpenting, dapat dikatakan sebagai modal utama bagi menjayakan sesuatu proses pembangunan negara. Ianya dirujuk kepada keupayaan dan kemampuan seseorang insan atau warga negara Malaysia dari segi kognitif (elemen pemikiran), afektif (elemen sikap) dan psikomotor (kemahiran).
Berbanding dengan pandangan barat yang meletakkan manusia sebagai haiwan yang mampu berfikir dan perlu diberikan keperluan fisiologi kebendaan semata-mata tanpa mempedulikan keperluan spiritual, gagasan Islam Hadhari mempunyai pandangan yang cukup berbeza dalam menanggani persoalan ini. Secara mudahnya, modal insan yang dimaksudkan ataupun yang tersirat daripada gagasan Islam Hadhari yang terdiri daripada;
1) Rakyat yang berpegang kepada ajaran agama dan adat ketimuran. Ianya bertepatan dengan falsafah perrenialis yang dicirikan dengan;
· Metafizika yang memperlihatkan kewujudan hakikat illahi dan ketuhanan di dalam segala sesuatu : kehidupan dan fikiran.
· Suatu psikologi yang memperlihatkan adanya sesuatu dalam jiwa manusia yang berkaitan dengan elemen ketuhanan.
· Etika yang memperjelaskan hakikat dan tujuan akhir kehidupan manusia yang mempunyai kaitan dengan elemen ketuhanan.
2) Rakyat yang berjiwa merdeka dan tinggi semangat patriotismenya.
· Ingin mengekalkan nisbah merdeka – Proses pengekalan dan pengisian kemerdekaan ini perlu diisi bukan setakat dengan mewujudkan pembangunan untuk semua rakyat, termasuk juga dengan usaha dan tanggungjawab menghapuskan kemungkaran dan kezaliman yang berlaku di dalam masyarakat.
· Menjauhi sifat ataupun lawan kepada sifat merdeka; mentality tertawan.
· Tinggi semangat patriotisme- dilihat dari segi;
o Rasa sayang dan cinta kepada tanah airnya sendiri.
o Rasa bangga dengan tanah airnya.
o Kesediaan untuk mempertahankan tanah airnya daripada ancaman dan serangan musuh samada musuh dalam ataupun luar.
o Kesediaan untuk membela kepentingan Negara apabila dicemuh dan dihina.
· Rakyat yang memahami bahawa sifat kemerdekaan itu bukannya bererti bebas melakukan apa sahaja sekehendak hatinya tanpa disertakan dengan tanggungjawab yang tertentu.
3) Rakyat yang mengamalkan sikap selektif terhadap cabaran globalisasi.
4) Rakyat yang mengamalkan kaedah pemikiran yang sihat, kritikal dan kreatif.
5) Rakyat yang tinggi sifat integriti dirinya- jujur, amanah, bertanggungjawab dan pandai bersyukur.
6) Rakyat yang menakrifkan diri mengikut acuan sendiri dan bukannya bergantung kepada kriteria takrifan daripada pihak luar (seperti kuasa pasaran barat). Kita patut menentukan falsafah, matlamat dan jalan hidup sendiri, bagi menjadikannya lebih bersesuaian dengan acuan Malaysia.
7) Rakyat yang mementingkan perpaduan dan kerukunan hidup dalam masyarakat.
8) Rakyat yang menentang semua elemen ektremism – merujuk kepada;
· Extremisme; melampaui batas dan keseimbangan apabila mentafsir dan melaksanakan sesuatu peraturan ataupun hukum secara ekstrem.
· Chauvisnisme; taksub apabila menganggap fikiran atau kumpulan sendiri adalah yang terbaik, manakala fikiran atau kumpulan lain tidak benar dan mesti ditolak.
· Fanaticisme; tindakan membuta tuli (menghampiri psikosis) dalam mengikuti dan melaksanakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan sendiri tanpa mempedulikan bahkan menolak sekeras-kerasnya pendapat orang lain.
9) Rakyat yang mengamalkan budaya ilmu yang tinggi – merujuk kepada;
· sikap cintakan ilmu melebihi faktur kebendaan yang lain.
· Pencapaian ilmu perlu dijelmakan dalam bentuk praktikal melalui akhlak yang mulia. Tidak ada gunanya, seseorang itu memperolihi pencapaian akademik yang tinggi seandainya tidak mempunyai akhlak yang mulia.
· Neraca kebenaran untuk sesuatu ilmu perlu dinilai dari perspektif al-Quran dan Sunnah.
· Proses pencapaian ilmu perlu dilakukan sepanjang hayat.
· Pengamalan sikap hormat-kritis terhadap pandangan seseorang tokoh.
10. Rakyat yang memiliki proses penguasaan ilmu, dicirikan perlu mengandungi beberapa elemen yang utama;
· Pemahaman tentang peri pentingnya peranan ilmu di dalam kehidupan manusia, yang perlu disertakan dengan usaha proaktif untuk mencapai dan memilikinya.
· Kadar usaha pencarian ilmu (mental dan fizikal) yang terpaksa dikeluarkan, seperti kesungguhan, sabar dan ketekunan yang tinggi.
· Kesan yang terhasil daripada usaha kerja keras pencarian ilmu , seperti teguh, cekap, kuat, tidak mudah kalah dan berpengaruh.
· Keupayaan mengurus, memperkembang dan mempertahankan sesuatu perkara yang terhasil daripada usaha pencarian ilmu, seperti kewibawaan mengguna, menerap, memperelok dan mempengaruhi pihak lain dengan hasil ilmu yang dimiliki.
v KEPENTINGAN KAJIAN SOSIOLOGI UNTUK MENELITI REALITI PERKEMBANGAN PERUBAHAN YANG BERLAKU DI DALAM MASYARAKAT
Usaha Ibn khaldun yang memperkenalkan disiplin sosiologi-sejarah adalah bertujuan untuk meneliti hukum alami fenomena sesebuah masyarakat, samada menafsirkan sesuatu fenomena sosial masyarakat dalam bentuk perkaitan sebab musabab ataupun meramalkan jalan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan yang timbul. Bagi Ibn khaldun penggunaan disiplin sosiologi-sejarah ini tidak boleh dibuat secara spekulatif (agakan) semata-mata, tetapi perlu dilakukan secara berhemah. Ianya perlu berasaskan kerangka kajian ilmiah yang bersifat objektif, mementingkan sumber kajian yang tepat, tafsiran sumber yang betul dan pengaplikasian metodologi kajian kes (observasi) yang betul. Penggunaan disiplin sosiologi-sejarah yang ketat ini bermatlamatkan untuk memahami realiti sebenar perubahan masyarakat yang berlaku dan menawarkan ramalan penyelesaian masalah terhadap apa-apa masalah sosial yang timbul.
Idea asas yang dipelopori oleh ibn khaldun ini, tentang kepentingan pengkajian terhadap elemen perubahan yang berlaku di dalam masyarakat telah mempengaruhi sarjana Islam moden, termasuklah pihak kerajaan sendiri yang memperuntukan sebahagian besar dana keewangan negara bagi meneliti elemen perubahan yang berlaku di dalam masyarakat Malaysia. Dana ataupun bantuan penyelidikan sains sosial dalam bentuk research grant (seperti IRFA, Fundamental, FRGS dan vote F) telah diperuntukan kepada beberapa IPTA bagi menghasilkan kajian sosiologi masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai tambah (value added), demi untuk memastikan kelancaran program pembangunan yang sedang giat dijalankan.
Data yang terhasil daripada kajian sosiologi ini secara langsung dapat membantu pihak kerajaan mengurus, mengawal dan memonitor sesuatu perubahan yang berlaku dengan kaedah tuntas. Kita boleh mengemukakan beberapa contoh kajian yang menggunakan dana penyelidikan kerajaan yang menjurus kepada usaha penelitian fenomena perubahan masyarakat ini, seperti;
1) Pemakaian kaedah Kajian Masa Hadapan (Future Studies) yang cuba dibangunkan oleh dua orang penyelidik daripada UKM untuk bidang sains sosial. Ianya dapat dianggap sebagai kaedah yang baru dalam pemikiran Islam. Kaedah ini akan menitikberatkan beberapa perkara yang utama;
· Unsur masa – iaitu masa hadapan sebagai tujuan kajian dan masa kini sebagai titik berpijak.
· Proses dan fenomena perubahan (charges) serta tingkat kelajuannya sebagai objek penelitian.
· Implikasi perubahan dari aspek positif dan negatifnya.
· Alternatif-alternatif yang perlu diwujudkan melalui perancangan dan pelan tindakan serta persediaan menghadapi risiko-risiko yang bakal timbul.
Disamping keempat-empat unsur ini, kaedah ini akan turut menggunakan teknik Delphi, Trend Extrapolation, Simulation, Scenario-writing dan lain-lain lagi. Pembinaan metodologi ini adalah sebagai suatu garisan asas untuk membantu para futuris dalam memastikan seabsahan atau validity sesuatu ramalan (forecasting) yang di lakukan. Walau bagaimanapun, berbeza dengan disiplin ilmu yang lain, kriteria utama dalam menentukan kebaikan sesuatu usaha ramalan tersebut bukan terletak pada nilai accuracy atau keupayaannya meramal secara tepat, tetapi penekanan terhadap ‘kebergunaannya’ dalam proses membuat keputusan (decision making).
2) Kajian sosiologi yang dilakukan oleh Sharifah Zaleha Hassan terhadap kerjaya seseorang Qadi di Malaysia mendapati bagaimana perkembangan sistem pendidikan yang berlaku di Malaysia dalam era 1980an telah merubah keadaan dan sifat di dalam profession perundangan Islam. Kalau dahulunya, profession ini hanya dimonopolikan oleh lulusan daripada institusi pendidikan agama tradisional, tetapi keadaan ini telah sama sekali berubah di mana ianya telah terbuka kepada semua golongan termasuklah lulusan daripada institusi pendidikan perundangan yang bukan agama. Hal ini secara langsung telah mendorong seseorang fuqaha untuk bersifat proaktif dan memperkayakan diri mereka dengan segala maklumat terkini yang mempunyai nilai-nilai pasaran semasa untuk profession perundangan.
3) Kajian di bawah tajaan IRFA yang dilakukan oleh Ahmad Hidayat Buang tentang institusi Fatwa dan Mahkamah Syariah di Malaysia, yang mendapati bagaimana perubahan masyarakat Malaysia yang semakin kompleks telah menuntut pihak berkuasa agama seperti institusi fatwa dan Mahkamah Syariah melakukan perubahan struktur organisasi dan metodologi yang lebih moden bagi menjadikannya lebih bersesuaian dengan kehendak masyarakat semasa.
4) Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik APIUM di bawah Mahmood Zuhdi Abdul Majid terhadap impak dan pelan tindakan yang perlu dilakukan oleh graduan Universiti Azhar di dalam pembangunan sosial di Malaysia, yang membabitkan pelbagai sektor kehidupan yang utama. Pelan tindakan proaktif ini menuntut graduan Universiti Azhar perlu memiliki kemahiran hard dan soft skill yang secukupnya sebelum mereka memasuki pelbagai sektor penting di dalam masyarakat.
5) Kajian yang dilakukan oleh Hashim Musa terhadap perubahan paradigma pendidikan di Malaysia akibat desakan daripada fenomena globalisasi. Ianya berupa pendekatan yang terlalu mendewa-dewakan bahasa Inggeris yang dianggap sebagai neraca utama kecekapan yang diperlukan untuk konteks dunia moden telah dianggap sebagai proses penaklukan budaya yang cukup merbahaya. Tindakan ini bakal menyebabkan keunggulan bahasa tempatan seperti bahasa Melayu akan terjejas teruk, yang diulas sebagai;
· Nilai ekonomi bahasa Inggeris akan naik, statusnya akan meningkat dan seterusnya mengenepikan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tidak lagi dihormati oleh rakyat jelata.
· Proses pengintelektulan bahasa Melayu akan terbantut kerana tidak lagi digunakan sebagai bahasa pengantar ilmu tinggi dan tidak dapat berkembang selaras dengan perkembangan ilmu pengetahuan moden.
· Peranan Bahasa Melayu sebagai perpaduan di Malaysia akan terjejas.
· Pengunaan bahasa Inggeris secara cekap hanya terhad kepada segelintir penduduk elit yang tinggal di Bandar besar, sedangkan majority rakyat yang tinggal di kawasan pendalaman yang masih lemah menggunakan bahasa Inggeris akan tetap sama, yang menyebabkan jurang yang luas dalam soal ini akan menjadi semakin melebar.
Namun begitu, ini bukanlah bermakna kita tidak boleh mempelajari dan memusuhi bahasa Inggeris secara fanatic, tetapi apa yang perlu ditekankan adalah kita janganlah begitu taasub dengan keunggulan bahasa Inggeris sehingga melupakan sama sekali keunggulan yang dimiliki oleh bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini telah ditegaskan secara langsung oleh Perdana Menteri semasa merasmikan Hari Kerjaya UKM pada 5 Februari 2001 dengan katanya; “ Kita harus terima hakikat bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan perniagaan dunia pada masa kini dan dipercayai merupakan bahasa utama dunia untuk jangka masa yang panjang. Di samping itu bahasa Inggeris juga merupakan bahasa Internet sehingga lebih 80 peratusa daripada kandungan cyberspace yang penuh dengan segala jenis maklumat itu adalah bahasa Inggeris. Maka kalau kita hendak bersaing dengan jayanya dalam dunia global ini kita tidak boleh lari dari penguasaannya.”
6) Kajian dan cadangan yang dikemukakan oleh Zaini Ujang bagi menanggani isu pengangguran graduan aliran sains sosial dan Islam di IPTA/IPTS. Beliau mencadangkan agar kalangan masyarakat awam, lebih-lebih lagi sektor swasta perlu bersikap lebih terbuka, simpati dan patut meniru apa yang telah dijalankan oleh sektor swasta di Jepun. Sektor swasta di Jepun memaklumi bahawa tempoh pendidikan di IPTA/IPTS yang singkat (selama empat tahun) tidak mungkin mampu membekalkan tenaga kerja mahir yang sempurna. IPTA/IPTS dilihat hanya berperanan untuk mendidik mahasiswanya dengan bersifat universal man dan mampu bertindak sebagai warganegara dan pekerja yang amanah. Hasilnya, sektor swasta telah memainkan peranan melatih graduan IPTA/IPTS ini dengan segala kemahiran yang diperlukan oleh sektor swasta semasa. Pendekatan ini jika diamalkan oleh sektor swasta di Malaysia pasti akan menyelesaikan masalah pengangguran graduan yang agak meruncing pada masa sekarang. Lagipun, berasaskan kepada pencapaian semasa, jika dibandingkan dengan graduan bukan pengajian Islam yang dilaporkan telah mengidap sindrom keruntuhan akhlak dan mutu pencapaian akademik yang rendah, kita boleh berbangga dengan produk bermutu yang dihasilkan oleh IPTA/IPTS aliran Islam – lahirnya graduan yang mempunyai pencapaian akademik yang baik, ditambah pula dengan kemahiran sosial yang cukup tinggi.
7) Kajian yang meneliti bagaimana pengaruh gerakan kebangkitan Islam di tahun-tahun 1970an-2000an telah menimbulkan semacam kesedaran baru dalam pemikiran politik masyarakat Melayu moden di Malaysia. Ianya antara lain berupa;
· Isu akhlak Islam telah dijadikan kriteria utama di dalam pemilihan ketua politik Melayu. Pelbagai cabaran telah mula dilakukan terhadap pendekatan pemilihan ketua yang lebih berasaskan kepada kepentingan kebendaan semata-mata. Apa yang jelasnya, sifat sesetengah tokoh korprat Melayu baru yang menceburi bidang politik untuk tujuan mendapatkan pulangan projek yang menguntungkan telah secara serius mula dicabar. Setiap ketua yang inginkan diri mereka diterima bertanding untuk sesuatu jawatan politik perlu menggunakan prinsip-prinsip Islam sebagai asas untuk menunjukkan keabsahan kepimpinan mereka.
· Sifat penerimaan parti politik Islam Melayu (PAS) terhadap konsep pilihanraya berasaskan sistem demokrasi dan sekali gus menolakkan pendekatan revolusi. Apa yang jelasnya, parti PAS tidak bersikap pasif di dalam menerima pakai system ala demokrasi ini, tetapi telah bertindak mengkaji dan menerangkan kesesuaiannya dengan ajaran Islam itu sendiri.
· Sifat keberanian masyarakat Melayu untuk menyatakan protes terhadap sesuatu dasar yang tidak dipersetujui ataupun dilihat bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Hal ini boleh dilihat dengan cukup jelas daripada kemenangan parti PAS di dalam pilihanraya tahun 1990 dan 1999 yang berjaya menawan negeri Kelantan dan Terengganu - diakibatkan kononnya kerana isu kepincangan perjalanan pentadbiran negara serta isu penindasan terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa kerajaan.
· Pengaruh Islam yang lebih progressif telah dilihat menyerap masuk ke dalam kedua-dua parti politik Melayu, yang menjadikannya lebih relevan kepada kehendak Islam masyarakat Melayu. Sebagai contohnya, UMNO telah dianggap sebagai parti politik Islam yang terbesar di dunia, yang sering diabsahkan dengan sokongan kuat daripada beberapa orang tokoh ulamak Islam di peringkat antarabangsa, yang secara terang-terangan menyokong kuat setiap dasar yang bercorak Islam yang dilaksanakan untuk kepentingan umat Islam.
· Isu-isu yang menyentuh persoalan Islam dan pembangunan kerap menjadi isu utama yang perlu diperhatikan dengan lebih serius oleh kedua buah parti politik Islam, demi untuk menjadikan mereka sebagai parti yang diterima ramai oleh kalangan pengundi Islam di Malaysia. Hal ini boleh dilihat daripada perubahan sikap pengundi Melayu baru yang terdiri dari golongan professional yang telah menganggotai parti PAS kerana tertarik dengan pendekatan Islam bentuk moden yang diperjuangkan oleh parti ini, dan sekali gus menolak dakwaan bahawa parti PAS adalah parti orang kampung dan lulusan agama semata-mata. Begitu juga halnya dengan parti UMNO, yang telah turut dianggotai oleh kalangan lulusan agama dan golongan professional Melayu yang mendokong perjuangan bagi meningkatkan martabat umat Islam.
v PENDEKATAN DI DALAM MERANGKA PROGRAM PEMBANGUNAN MASYARAKAT
Dalam bahagian ini, kita dapat mengesan pengaruh teori Ibn Khaldun yang amat besar sekali, dirujuk kepada beberapa perkara;
Pertama, bertepatan dengan teori Ibn Khaldun yang “ menegaskan masyarakat sebagai suatu organism yang bersifat hidup, mempunyai potensi untuk berubah dan berkembang maju seandainya perancangan pembangunan yang rapi dan tersusun dapat dilakukan “, pihak kerajaan telah berjaya memajukan masyarakat Melayu dengan cukup holistik. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat semacam kefahaman dan sifat yang stereotaip yang dinisbahkan kepada orang Melayu, iaitu orang Melayu adalah suatu bangsa yang malas, fatalis, takut dan menolak segala bentuk perubahan. Malangnya hal ini yang pada mulanya dikemukakan oleh penjajah British telah turut diakui oleh beberapa sarjana tempatan Melayu sendiri.
Selepas terjadinya peristiwa 13 mei 1969, didorong oleh semangat ingin mengekalkan status ketuanan bangsa Melayu, kita dapat melihat bagaimana teori sifat-sifat buruk orang Melayu yang disogokkan oleh penjajah British telah mula dicabar, apabila pihak kerajaan telah menjalankan suatu bentuk perancangan pembangunan (sponsored social change ) dengan nama Dasar Ekonomi Baru. Di bawah DEB ini, perancangan pembangunan yang tersusun di dalam beberapa sektor terpenting, seperti ekonomi, sosial dan pendidikan telah diberikan penekanan utama.
Bersesuaian dengan teori yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun, kita mendapati bahawa perancangan pembangunan ala DEB ini telah mampu membawa perubahan yang berkesan kepada orang Melayu, khususnya di dalam memberi peluang yang lebih selesa dan adil kepada orang Melayu untuk berubah melalui dua sektor yang utama iaitu pendidikan dan ekonomi. Hasilnya, serba sedikit nisbah negatif yang dikaitkan dengan orang Melayu telah mampu dikikis, lebih-lebih lagi dengan lahirnya sejumlah golongan terpelajar Melayu dan golongan BCIC ( Bumiputera Commercial and Industrial Community) yang agak besar jumlahnya. Berbanding dengan dasar pilih kasih dan social reproduction yang diamalkan oleh penjajah British yang kemudiannya menghasilkan penindasan secara halus terhadap orang Melayu, DEB ini dilihat telah memberi peluang yang lebih luas untuk orang Melayu melakukan mobiliti sosialnya ke arah yang lebih baik. Ini membawa maksud bahawa seperti mana ditegaskan oleh Ibn Khaldun, setiap masyarakat yang paling teruk sekalipun akan mampu berubah dan berkembang seandainya perancangan pembangunan yang lebih teliti dan tersusun dilakukan.
Kedua, konsep Islam Hadhari menekankan penggunaan pendekatan mengenalpasti faktur kejatuhan sesuatu tamadun umat Islam dan cuba mengatasinya secara tuntas. Usaha pengkajian terhadap faktur-faktur yang menyebabkan keruntuhan sesuatu tamadun telah diaplikasi secara berhemah bagi mengelakkan proses pembangunan Malaysia mencapai kegagalan. Terdapat beberapa faktur keruntuhan sesuatu tamadun, seperti;
· Program pembangunan yang tidak seimbang, bersifat menindas dan mementingkan sesuatu golongan tertentu sahaja.
· Perpecahan umat Islam yang diakibatkan oleh perbezaan mazhab dan fahaman fanatik yang berasaskan kepada parti politik.
· Elemen kemungkaran, kemewahan dan penindasan yang berkembang di dalam masyarakat tanpa disertakan dengan program pencegahan yang sepatutnya. (pelaksanaan konsep Amar Makruf dan Mungkar)
· Pengaruh Ghazw fikr (penjajahan mental) yang berteraskan faham sekularisme yang ditanamkan oleh kuasa penjajah barat dan kemudiannya diteruskan lagi dengan agenda globalisasi tajaan kuasa barat.
· Ancaman pengaruh luar yang terdiri dari kuasa Kafir barat yang memang berusaha memperluaskan dominasi kuasa mereka.
Secara mudahnya, kita dapat mengesan pendekatan ini diterapkan di dalam RMK-9; apabila pihak kerajaan mengamalkan sikap prihatin dengan beberapa perkara yang utama, seperti;
1. Prihatin dengan gejala keruntuhan moral golongan remaja, pertambahan jumlah penagih dadah dan HIV yang dianggap bakal mengagalkan proses pembangunan Malaysia di bawah RMK-9. Sebagai alternatifnya, pelbagai kaedah penyelesaian masalah cuba diterapkan merangkumi sebagai contohnya;
· Kempen budi bahasa yang cuba menerapkan elemen adab sopan dan kesantunan kepada masyarakat Malaysia di dalam semua peringkat masyarakat.
· Program PLKN untuk golongan muda bagi menerapkan semangat jati diri, patriotism, sifat kendiri dan perpaduan.
· Usaha menghidupkan peranan institusi kekeluargaan sejati berasaskan prinsip keislaman dan adat ketimuran. RMK-9 secara terang-terangan amat prihatin dan responsive terhadap beberapa kajian ilmiah semasa yang menunjukkan bagaimana punca utama keruntuhan akhlak remaja berlaku disebabkan kerana kelemahan institusi kekeluargaan.
2. Prihatin dengan gejala kemiskinan dan jurang antara kaum berlaku di antara masyarakat Bandar dan luar Bandar. Contohnya sejumlah besar peruntukan di bawah RMK-9 diberikan untuk mengatasi masalah kemiskinan tegar ini.
3. Prihatin dengan masalah rasuah, kelemahan system penyampaian maklumat awam di dalam perkhidmatan kerajaan, politik wang dan kelemahan institusi kepolisian. Apa yang jelasnya, usaha ke arah memperbaiki semua kelemahan ini telah dibuat dengan menubuhkan jawatankuasa (jawatankuasa penambahbaikian polis) dan institusi (Institut Integriti Negara) yang khusus. Begitu juga, pihak kerajaan telah menjalankan pendekatan yang menjalankan dasar pembaikian berterusan yang berteraskan kaedah pengurusan strategic (Analisa SWOT dan SMART) di dalam pentadbiran negara Merujuk khusus kepada agensi yang berkait dengan Islam seperti YADIM, JAKIM, Majlis Fatwa, Mahkamah Syariah, Jabatan dan Majlis Agama Islam setiap negeri, usaha penambahbaikian secara berterusan memang telah dan sedang dijalankan, demi untuk menjadikannya sebagai agensi Islam yang mampu menyelesaikan masalah umat Islam secara tuntas dan berkesan.
Ketiga, konsep Islam Hadhari menekankan mengamalkan sikap selektif (tidak menentang dan menerima secara membuta tuli) terhadap semua elemen pemodenan barat, khususnya terhadap program pembangunan, yang dikesan mengandungi pelbagai kelemahan seperti sikap berlebihan yang menumpukan sektor ekonomi yang mempergunakan sumber alam secara maksima tanpa mempedulikan impak ekologi yang kemudiannya bakal mengancam kehidupan lain untuk jangka masa panjang. Berbanding dengan Negara umat Islam lain yang begitu tertarik dengan model pembangunan barat bagi memajukan Negara, pihak kerajaan Malaysia di bawah RMK-9 telah mengamalkan sikap selektif terhadap model barat ini, yang boleh dilihat dalam dua contoh yang utama;
1. Sikap dan dasar yang selektif terhadap fenomena globalisasi (melalui dasar MSC) yang sedang melanda dunia pada masa sekarang. Memanglah diakui, fenomena globalisasi ini mempunyai elemen positif yang cukup banyak, tetapi pada masa yang sama ianya juga turut mempunyai implikasi negative yang boleh menjejaskan kedaulatan sesebuah negara. Mengikut kupasan Chandra Muzaffar, pengaruh fenomena globalisasi terhadap peradaban hidup manusia moden adalah agak rencam; terdapat elemen positif dan negative. Beliau telah menyenaraikan lapan kebaikan globalisasi, tetapi senarai keburukannya lebih banyak, iaitu sebanyak tiga belas elemen keburukan. Elemen kebaikan ini antara lainnya terdiri dari;
· Peranan pelaburan asing (FDI) dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di sebilangan Negara.
· Peningkatan mobility social dan pengukuhan kelas menengah (intelektual).
· Peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan menyebarkan ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi.
· Komunikasi yang lebih mudah dan murah.
· Peluang yang lebih luas untuk manusia dari pelbagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi.
· Peluang lebih luas untuk menzahirkan simpati dan rasa peri kemanusiaan terhadap mangsa pelbagai jenis bencana alam dan tragedy buatan manusia.
· Penonjolan idea-idea dan amalan pemerintahan yang lebih baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang dan hak asasi manusia.
· Penonjolan hak-hak asasi kaum wanita.
Apa yang boleh dilihat daripada senarai ini iaitu kesedaran manusia tentang kepentingan hidup bersama, diharapkan ianya akan mampu memperbetulkan semua elemen keburukan yang dihasilkan oleh fenomena globalisasi.
2. Dasar yang menolak pendekatan pembangunan yang merosak ekologi alam sekitar yang bakal mengancam kehidupan generasi manusia yang akan datang. Hal ini secara terang-terangan telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri Malaysia di dalam pembentangan RMK-9.
Keempat, konsep Islam Hadhari menekankan usaha dan dasar yang memperbetulkan salah faham yang dinisbahkan oleh media barat kepada umat Islam. Perdana Menteri Malaysia kerap menekankan isu ini samada di dalam dan luar negeri, dan apa yang lebih penting lagi, pihak kerajaan Malaysia melalui dasar luar Negaranya dan selaku ketua OIC telah menekankan inisiatif ini secara berterusan. Apa yang boleh dibanggakan lagi, formula perpaduan untuk masyarakat majmuk yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia daripada DEB sehingga RMK-9 ini telah mula dipelajari oleh masyarakat barat sendiri, yang memang mempunyai masalah besar terhadap isu polarisasi kaum ini. Memandangkan Islam dan umatnya sering dijadikan sasaran ganas oleh media massa barat, yang kebetulannya menguasai sebahagian besar pasaran berita global, beberapa usaha dan gagasan telah dikemukakan oleh kalangan sarjana Islam telah dipersetujui oleh pihak kerajaan (Resolusi persidangan OIC di Malaysia) untuk mewujudkan rangkaian berita dan pengkalan data (database) Islam, bagi tujuan penyebaran berita tentang Islam yang lebih berotoriti dan sekali gus boleh digunakan sebagai medan utama untuk menjawab segala tohmahan buruk yang dinisbahkan kepada Islam.
v KEPENTINGAN MEMPELAJARI FAKTOR KEJAYAAN TAMADUN UMAT ISLAM – BERASASKAN KEPADA PENERAPAN BUDAYA ILMU DI DALAM MASYARAKAT
Menggunakan teori dan semangat yang diilhamkan oleh Ibn Khaldun, konsep Islam hadhari menekankan pendekatan yang berusaha memetik faktur kejayaan yang menimbulkan tamadun Islam silam, yang kemudiannya bakal diaplikasikan sepenuhnya di dalam program pembangunan di Malaysia. Hasil penelitian yang dijalankan terhadap serangkaian tamadun umat Islam silam, samada di Timur Tengah dan rantau Alam Melayu, mendapati bagaimana tamadun itu timbul berpunca daripada enam faktur yang utama;
· Pengamalan budaya ilmu.
· Pengamalan cara hidup Islam yang betul mengikut world-view Tauhid.
· Program R&D yang cukup canggih.
· Kewujudan pengetahuan S&T yang baik.
· Pembangunan sector ekonomi yang bersepadu dan menekankan peluang pengagihan yang seimbang di antara rakyat.
· Proses pembandaran yang mampan yang menyediakan perkhidmatan dalam bidang social yang baik kepada rakyat.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa dalam aspek inilah keunggulan gagasan Islam hadhari dapat diperlihatkan yang kemudiannya telah diterapkan secara berhemah dalam RMK-9. Apa yang lebih penting lagi, gagasan ini tidak dibuat secara retorik kosong tetapi turut dilaksanakan melalui RMK-9. Hal ini boleh dilihat dalam dua aspek yang utama; institusi pendidikan Negara dan dasar teknologi Negara.
Untuk Institusi Pendidikan Negara, khususnya membabitkan IPTA, pihak kerajaan telah menekankan prinsip dan falsafah kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan untuk pembangunan tamadun umat Islam. Buktinya, RMK-9 telah memperuntukkan sejumlah budget yang cukup besar (RM1.15 bilion) bagi membangun dan menambahbaikian institusi pendidikan Negara di semua peringkat; rendah, menengah dan tinggi. Apa yang lebih penting lagi, institusi pendidikan tinggi (IPTA/IPTS) telah diberikan inisiatif utama untuk memoden dan memajukan ilmu pengetahuan, khususnya yang bakal memberikan nilai tambah (value added) untuk program pembangunan Negara menuju wawasan 2020.
Manakala bagi pembangunan Dasar Teknologi Negara pula, konsep Islam hadari menekankan kepentingan kepada umat Islam sedunia membangun dan memperlengkapkan diri dengan pengetahuan S&T (Sains dan teknologi) bagi kejayaan hidup zaman moden, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan usaha pembangunan (R&D) sektor teknologi ICT, agar dengan cara ini umat Islam boleh menggunakan perisian hardware dan software ICT yang dihasilkan oleh sainstis Islam itu sendiri. Secara jelas pandangan ini yang boleh dikategorikan sebagai pencetus idea awal tentang peri pentingnya keilmuan teknikal moden, yang kemudiannya dilanjutkan oleh sarjana tempatan dengan konsep gabungan antara ilmu fardu Ain dan Kifayah (keilmuan S&T) sebagai syarat utama untuk mencapai kemajuan intelektual ummah. Gagasan ini yang di tonjolkan oleh sesetengah sarjana sebagai faham Mahathirisme pada masa sekarang sering didakwa sebagai mampu mengubah status Malaysia kepada negara maju seperti mana negara industri barat. Intipati utama Mahathirisme ini boleh dilihat kepada penekanan yang lebih terhadap peranan S&T, industri berat, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan dasar ICT dan menanggani Islam dengan pendekatan yang lebih bersifat moden.
RMK-9 dalam banyak hal cuba untuk meneruskan program ini dengan memperuntukkan sejumlah budget RM 2 bilion untuk tujuan pembangunan dasar teknologi Negara ini. Dalam dasar sebelumnya, tumpuan khusus R&D lebih diberikan kepada bidang perindustrian, tetapi di bawah RMK-9 tumpuan ini telah diperluaskan untuk sector pertanian, kesihatan dan industri. Secara jelasnya, kita dapat melihat bagaimana RMK-9 cuba memastikan manafaat dasar ini lebih tersebar kepada semua lapisan masyarakat samada di Bandar ataupun di luar Bandar.
Ironisnya, mengikut pengamatan kritikal yang dibuat oleh beberapa orang sarjana-saintis Melayu moden, tanpa menafikan elemen positif yang mampu dicapai dengan dasar pemodenan Malaysia yang begitu pesat yang dirujuk khusus kepada penekanan terhadap subjek S&T, masih lagi terdapat beberapa kekurangan atau kelopongan yang ketara membabitkan proses pembangunan S&T di Malaysia. Hal ini dirujuk kepada :-
s Sikap berat sebelah ataupun ketiadaan pemindahan teknologi dari negara industri ke Malaysia, seperti mana yang diharapkan dalam proses pembangunan industri berat di Malaysia. Rata-ratanya, negara maju yang menjadi teraju utama projek usaha sama dengan syarikat Malaysia yang diharapkan bakal memindahkan S&T samada dalam bentuk hardware ataupun software, dikatakan telah tidak berbuat demikian.
s Sikap yang menerimapakai pakej S&T ala barat yang diresapi dengan fahaman sekularisme tanpa ditapis menggunakan kerangka S&T Islam untuk jangka masa yang panjang telah mencetuskan krisis intelektual dan ekologi yang meruncing di Malaysia.
s Kelas professional Melayu baru yang dilahirkan melalui dasar pemodenan dan DEB ini tidak menunjukkan paradigma pemikiran yang bersifat rasionalisme, objektifisme dan saintisme seperti yang diharapkan. Hal ini boleh dirujuk kepada sikap dan tren golongan ini yang dilaporkan telah terjebak dalam krisis mempercayai bomoh, ajaran sesat, kepercayaan occult dan sebagainya, yang biasanya dilakukan oleh masyarakat Melayu tradisional.
s Kelas professional Melayu baru yang kononnya dilahirkan dengan dasar Penswastaan Malaysia telah terlibat dalam jumlah yang besar di dalam krisis pecah amanah, rasuah dan pelbagai kesalahan jenayah perdagangan.
Konsep Islam hadhari dan RMK-9 dilihat telah mempelajari realiti ini dan cuba mengatasinya secara berhemah. Apa yang lebih penting lagi, RMK-9 bakal memanafaat dan melakukan penambahbaikian terhadap perkembangan S&T yang telah dicapai sebelumnya. Dalam konteks pembangunan S & T semasa, terdapat beberapa kecenderungan yang boleh dibanggakan, merujuk khusus kepada peranan yang dimainkan oleh kelas intelektual Melayu baru ini, seperti;
· Kelas intelektual-saintis Melayu ini telah bergabung di dalam NGO khusus , ASASI (Akademi Sains Islam Malaysia) yang cuba menerap dan menyebarkan kesedaran tentang peri pentingnya masyarakat Melayu Islam mendokong usaha membangunkan S&T ala Islam.
· Menghasilkan tulisan bentuk baru yang cuba menerangkan tentang konsep, kerangka dan bagaimana ICT moden yang menjadi nucleus utama kepada perkembangan globalisasi boleh berfungsi serta mempengaruhi kalangan masyarakat Melayu. Motif utama tindakan ini antara lainnya bagi menyedarkan masyarakat Melayu tentang manafaat yang boleh diambil daripada perkembangan S&T ini.
· Salah seorang daripada anggota ASASI iaitu Tengku Mohd Azzman Shariffadeen telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, yang kemudiannya telah mencadangkan gagasan MSC kepada pihak kerajaan Malaysia. Apa yang lebih penting lagi, dilihat kepada kepakaran bidang kejuruteraan elektronik dan kecenderungan Islam yang tinggi, Tengku Mohd Azzman barang pastinya telah menyuntik nilai-nilai Islam sejati di dalam pembangunan projek MSC ini.
· Sifat ikut serta kalangan sarjana Melayu Islam semasa di dalam gagasan mewujudkan hubungan yang erat di antara keilmuan Islam klasik dengan S&T moden. Hal ini timbul berasaskan kepada gagasan tajdid Islam yang menuntut fuqaha Islam untuk mengetahui dan mengambil inisiatif untuk mempelajari keilmuan moden itu sendiri, khususnya pengetahuan ICT dan S&T. Hal ini ditegaskan memandangkan terdapat sesetengah sarjana Islam moden yang mengatakan bahawa antara faktur utama yang menyebabkan kegagalan proses reformasi dan penerapan S&T di dalam institusi pengajian Islam adalah kerana sikap sarjana Islam sendiri yang terlalu mengaku kalah dengan cara berserah dan bergantung sepenuhnya kepada keilmuan S&T barat, tanpa menyedari bahawa S&T barat di peringkat epistemologinya telah diresapi dengan idea dan ruh sekularisme yang tertanam secara halus di dalam keilmuan tersebut. Sepatutnya, berhadapan dengan dilema ini, sarjana Islam sendiri perlu menerima S&T barat secara berhemah yang diikuti pula dengan proses pengubahsuaian S&T barat ini dengan realiti masyarakat Islam, sebagaimana apa yang cuba dilakukan oleh Osman Bakar, Syed Hussein Nasr, Ziauddin Sardar dan ramai lagi tokoh-tokoh saintis moden Islam.
v SIFAT KEWASPADAAN TERHADAP FAKTUR KEJATUHAN SESUATU MASYARAKAT
Pada pandangan ibn khaldun, di dalam proses perancangan pembangunan sesuatu masyarakat, perhatian utama perlu diberikan kepada usaha mengenal pasti pelbagai faktur negatif yang mungkin boleh menyebabkan kelemahan sesuatu masyarakat. Hal ini perlu diberikan perhatian memandangkan sesuatu tamadun/masyarakat secara hukum alami akan melalui tiga tahap yang utama; tahap kelahiran, kemajuan dan kemunduran.
Berasaskan kepada pandangan ibn khaldun ini, demi untuk menghasilkan penganalisaan yang bersifat objektif dan berteraskan semangat futuristik ala Islam, kajian ini bakal mengemukakan beberapa realiti perkembangan semasa yang mungkin mencacatkan program modal insan ini di Malaysia. Hal ini antara lainnya bakal mengelakkan sikap optimistik yang agak tinggi, yang terlalu asyik dengan kejayaan sehinggakan melupakan tentang faktur kegagalan. Ianya terdiri antara lainnya;
Pertama, kewujudan mentality watak tertawan, sikap yang terlalu pro nilai-nilai barat dikalangan sesetengah kalangan masyarakat di Malaysia. Antara sikap utama golongan ini;
1. sikap yang suka meniru secara tidak rasional terhadap semua nilai daripada barat.
2. Tidak mampu menimbulkan idea ataupun pendekatan baru bagi menanggani persoalan hidup, sebaliknya lebih suka meneruskan warisan tinggalan penjajah.
3. Mendapat pendidikan langsung daripada institusi pendidikan barat dan sering taasub dengan teori dan bahan bacaan daripada barat.
4. tidak mengamalkan sikap kritikal dan tidak membantah apa-apa yang disajikan kepada mereka daripada sumber barat.
5. Tidak menyedari kelemahan sikap tertawan mereka.
Sebagai lanjutan kepada sikap tertawan ini yang rata-ratanya dihidapi oleh pelbagai kalangan masyarakat, timbul beberapa persoalan sistem nilai yang masih gagal ditonjolkan secara tuntas di dalam masyarakat, yang terdiri dari;
1. Masalah kurangnya sifat bersungguh-sungguh (sense of urgency) dalam melakukan sesuatu perkara.
2. Kurangnya ditonjolkan kepentingan sifat malu (sense of shame) di dalam masyarakat. Apa yang sepatutnya dirasakan malu tidak ditonjolkan, sebaliknya ianya cuba ditengelamkan.
3. Kurangnya masalah kebertanggungjawaban (sense of accountability).
4. Meluasnya gejala keruntuhan moral dan rasuah di dalam masyarakat.
Kedua, ketiadaan dan semakin menurunnya semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia semasa. Secara tersirat, kita boleh mengesan bagaimana Perdana Menteri Malaysia memang menyedari tentang wujudnya masalah ini yang cuba ditonjolkan dengan melontarkan prinsip rakyat berjiwa merdeka di dalam konsep Islam hadhari. Terdapat beberapa komentar yang telah diberikan oleh sejumlah besar kalangan sarjana dan pemimpin Negara tentang masalah dalaman ini yang dihidap oleh masyarakat Malaysia yang boleh menjejaskan status kemerdekaan Negara ini. Antaranya;
1. Sikap sesetengah golongan muda yang terlalu menghargai dunia global sehingga melupakan kepentingan tanah air sendiri. Dalam hal ini, Mohd Noor Azam menegaskan;
“Dunia mereka tidak lagi tanah air atau Negara ibunda, tetapi dunia globalisasi. Dunia globalisasi menuntut lebih banyak persamaan, seolah-olah menafikan kelainan. Namun sebagai bangsa yang bermaruah generasi muda Malaysia wajar kembali kepada acuan budaya kita sendiri. Justeru, melalui budaya kita sendiri, kita dapat mengekalkan jati diri.”
2. Sikap yang tidak mengenang budi dan melupakan jasa-jasa perjuang kemerdekaan. Hal ini diulas oleh Aziz Ishak dengan;
Yang turut menggangu fikiran ialah kemakmuran dan keamanan yang dikecapi sejak merdeka rupanya menyebabkan sebahagian kita mudah merasa selesa dan muda lupa. Ini termasuk tidak lagi menghargai bekas-bekas perajurit sehingga kutipan rayuan hari pahlawan menjadi dingin. Hanya jika berlaku sekali lagi konfrontasi atau darurat kominis seperti dahulu, barulah agaknya anggota pasukan keselamatan lebih dihargai. Sebahagian kita juga tidak pandai lagi menghargai polis yang menjaga keamanan sebaliknya mahu mengherokan pihak lain seperti penunjuk perasaan yang melanggar undang-undang. Dalam pada itu, isu kaum dan integrasi nasional terus menjadi duri dalam daging sementara nasionalisme kian goyah.
3. Sikap individualistic yang menyebabkan semangat patriotisme menjadi lemah. Hal ini diulas oleh Khoo Kay Kim;
Ternyata nasionalisme di masyarakat mana-manapun perlu dipupuk oleh kerajaan. Nasionalisme tidak boleh dipisahkan daripada sistem nilai masyarakat. Kalau sesebuah masyarakat lebih mengutamakan pencapaian individu maka individualisme akan menenggelamkan nasionalisme; rakyat menjadi nafsi; objek kesetiaan dan kecintaan mereka bukanlah Negara tetapi diri sendiri. Masyarakat yang terlalu individualistic akan cepat meretak dan akan timbul keadaan di mana seseorang tidak akan menghormati orang lain. Masyarakat lebih berkecenderungan mengejar symbol terutamanya yang berkaitan dengan kekayaan.
4. Sifat ketiadaan rasa sayang kepada tanah air yang dipegang oleh generasi muda yang lahir selepas zaman kemerdekaan. Ianya diulas oleh Ungku Aziz;
Semangat kebangsaan cuma terdapat di kalangan pemimpin lapisan pertama iaitu di kalangan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan beberapa orang menteri yang rapat dengan mereka. Pemimpin lapisan pertama menghadapi kesukaran kerana orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan cita-cita dan perancangan mereka tidak mempunyai pandangan dan semangat yang sama. Natijahnya tidak terbentuk satu sikap patriotisme yang jitu dan ini mendatangkan masalah pada Negara. Semangat cintakan Negara di kalangan generasi muda semakin pupus kerana pengaruh budaya antarabangsa, kemajuan teknologi dan silap tafsir mengenai nilai-nilai Islam. Di kalangan generasi muda ini sudah terdapat perlakuan anti-patriotisme misalnya tidak mahu menyanyikan lagu Negaraku adalah contoh silap tafsir mengenai Islam yang kononnya mereka tidak boleh menyanyi.
5. Wujudnya golongan yang anti-patriotisme yang kebanyakannya lahir selepas merdeka, yang dikatakan oleh Awang Had Salleh;
Perbuatan atau tren mencela dan mencetuskan satu penghinaan kepada rakyat yang bersifat nasionalis atau patriotic yang berlaku di Negara ini akhir-akhir ini merupakan suatu perkembangan yang amat merbahaya. Malah menjadi kelaziman bagi pembangkang untuk meraih undi dengan mengugat teras-teras patriotisme dan jika ini dibiarkan berleluasa ia boleh merobohkan sesebuah Negara.
Ketiga, ketiadaan kekuatan jati diri dalaman berteraskan agama di kalangan penduduk Malaysia. Secara tabi’inya semangat patriotisme ini akan timbul apabila semua rakyat mempunyai kekuatan jati diri yang tinggi. Namun begitu, hal yang sebaliknya telah dikesan dalam konteks masyarakat Malaysia semasa. Hasil kajian emperikal yang dibuat terhadap sejumlah kalangan generasi muda di Malaysia mendapati sebahagian besar daripada generasi muda di Malaysia telah mengidap pelbagai masalah, yang bakal mengikis keutuhan semangat jati diri. Penyakit dan masalah yang dimaksudkan antaranya;
- Kebanyakan masyarakat Melayu moden telah dikesan mengidap penyakit psikologi yang agak kronik, penyakit gelisah dan hilang pertimbangan akal yang kemudiannya telah menyebabkan berlaku pelbagai tindakan buruk seperti bunuh diri, menagih dadah dan arak, murtad, bohsia dan mengamalkan free-sex. Kajian ini mendapati punca utama penyakit gelisah ini berlaku adalah akibat dari tindakan tidak menuruti kehendak agama seperti meninggalkan kewajiban sembahyang lima waktu.
- Golongan remaja Melayu yang menjadi pengguna terbesar internet (cyber Café) telah dijangkiti ketagihan internet yang agak teruk (Cyber mania). Kalangan ini didapati menggunakan saluran internet bukannya untuk tujuan pendidikan, tetapi sebagai sumber untuk mendapatkan hiburan yang lebih bebas tanpa kongkongan keluarga, yang berupa permainan video games, pornografi, berkenalan (Cit-cat) dan mengisi masa lapang dengan kegiatan yang tidak berfaedah.
- Kajian yang mendapati bahawa ikatan dan fungsi keluarga Melayu moden sebagai penjaga dan pendidik emosi anak-anak telah mula terhakis yang kemudiannya menyebabkan pelbagai masalah sosial remaja yang cukup kronik. Berikutan dengan faktor asas ini, golongan remaja Melayu lebih terpengaruh dengan budaya di luar keluarga seperti media massa dan rakan sebaya. Akibat daripada pengaruh media massa, mereka lebih mudah terjerumus dengan hiburan yang mementingkan keseronokan yang melampaui batas, sensasi, glamour dan sindrom kurang tahan iman. Manakala pengaruh rakan sebaya pula menyebabkan mereka terlibat dengan budaya melepak dan pelbagai masalah sosial lain seperti ketagihan dadah, arak, berjudi, menonton video lucah, free-sex, dijangkiti penyakit AIDS dan banyak lagi masalah lain.
- Kajian yang mendapati kalangan remaja Melayu secara terang-terangan mengaku tanpa segan silu terlibat dalam amalan free-sex dan menganggap ianya sebagai perkara biasa dan lumrah bersesuaian dengan stail hidup zaman moden, seperti mana ditonjolkan di dalam media massa moden.
- Kajian yang mendapati ramai daripada kalangan remaja Melayu telah terlibat dengan budaya bohsia dan bohjan. Antara ciri-ciri budaya ini adalah remaja bawah umur yang mengamalkan sek bebas sebagai cara untuk mendapatkan keseronokan nafsu semata-mata tanpa disertakan dengan dengan rasa bersalah, mengamalkan sek bebas secara “one night stand” dengan sesiapa sahaja tanpa sebarang ikatan cinta dan menganggap gadis yang telah hilang dara sebagai memiliki status yang tinggi di dalam masyarakat hidup moden.
- Kajian yang mendapati bagaimana masalah disiplin juvana samada berat ataupun biasa telah menjadi fenomena biasa di kalangan pelajar-pelajar sekolah di Malaysia.
- Kajian yang mendapati bagaimana tabiat pembacaan remaja Melayu yang lemah, di mana mereka lebih mengutamakan bahan bacaan yang tidak membina minda dan daya intelektual, merangkumi hiburan, jenaka, sukan dan bahan lucah.[1]Pendek kata, mereka telah terjerumus ke dalam budaya bebalism yang cukup meruncing akibat dari ketiadaan budaya ilmu yang sihat.
- Kajian yang mendapati remaja Melayu lebih menjadikan golongan artis, model dan ahli sukan sebagai model ikutan melebihi segala ketokohan lain.
- Kajian yang mendapati remaja Melayu terlibat secara serious dengan budaya Rock yang melampau. Apa yang membimbangkan adalah budaya ini dicirikan dengan beberapa sifat yang bertentangan dengan budaya ketimuran. Antaranya, corak budaya yang dihayati oleh pendokong budaya rock adalah dilambangkan dengan bentuk pakaian yang tidak terurus, kotor, tidak senonoh, lucah, kasar, memuja syaitan, mengalakkan pengambilan dadah dan mengamalkan sek bebas.
Keempat, fenomena kepincangan dari segi pentadbiran, politik wang, rasuah, polis, integriti, pendidikan dan polarisasi yang wujud di Malaysia. Secara jelasnya terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian khusus, seperti;
1) Amalan sistem politik yang negatif seperti sistem politik yang tidak telus, terbuka dan adil. Apa yang jelasnya, dalam kontek Malaysia semasa, masih lagi terdapat beberapa elemen kelemahan di dalam program pembangunan sistem politik seperti;
· Wujudnya fenomena pemilihan elit politik yang berasaskan kepada elemen kekerabatan dan status ekonomi (Korporat) melebihi faktur kebolehan sebenar yang mungkin dimiliki dari kalangan masyarakat awam.
· Golongan ulamak hanya bertindak sebagai alat justifikasi kepada program yang dijalankan oleh elit politik.
· Wujudnya pengaruh sistem ekonomi Kapitalisme yang tinggi dirujuk kepada meluasnya fenomena elit politik berkerja untuk menjaga kepentingan elit ekonomi daripada menjaga kepentingan masyarakat massa.
· Fenomena pemilihan ketua lebih berasaskan kepada budaya politik wang.
· Fenomena kegiatan elit politik yang tidak berpandukan kepada satu set undang-undang dan peraturan yang jelas, yang menyebabkan mereka mengatasi undang-undang dan bukannya tertakluk kepada undang-undang.
· Fenomena campurtangan elit politik yang berlebihan di dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.
· Fenomena perpecahan masyarakat Melayu daripada kalangan parti pemerintah ataupun parti pembangkang, walaupun kedua-duanya menganut dan mengamalkan ajaran Islam yang sama. Kedua-duanya lebih menekankan agenda yang terlalu politiking terhadap sesuatu isu yang timbul yang menyebabkan keduanya tidak dapat bersatu bagi menghadapi dominasi politik golongan bukan Melayu di Malaysia.
2) Amalan sistem pendidikan yang terlalu terikut-ikut dengan tekanan zaman globalisasi. Sebagai contohnya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi dalam konteks ini, seperti;
· Fenomena sistem pengajian IPTA/IPTS yang tidak sesuai untuk kehendak pasaran kerja di Malaysia.
· Fenomena menjadikan IPTA/IPTS sebagai kilang untuk melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal tanpa diberikan penekanan kepada usaha melahirkan graduan yang berakhlak mulia.
· Fenomena yang terlalu mengagungkan pengajian di bidang teknikal sehinggakan meremehkan bidang-bidang lain, termasuklah aliran pengajian agama.
· Fenomena yang terlalu mengagungkan sistem pengajian berkembar dengan universiti barat yang kononnya bakal menerapkan bidang dan kemahiran moden sehingga melupakan tentang wujudnya pemindahan sistem nilai ala sekularisme barat kepada graduan tempatan.
· Fenomena yang diamalkan oleh IPTS yang tidak mementingkan pembentukan sistem ko-kurikulum yang berteraskan kehendak Islam dan adat ketimuran.
· Fenomena IPTS yang lebih suka menipu pelanggannya (pelajar) tentang mutu dan kecanggihan program pengajian yang ditawarkan, sedangkan hal sebaliknya telah dilakukan.
3) Fenomena kelemahan mutu pencapaian akademik pelajar bumiputera di beberapa IPTA/IPTS di Malaysia. Terdapat kajian yang mendapati kegagalan dan kelemahan mutu pencapaian akademik ini timbul akibat daripada wujudnya budaya malas di kalangan pelajar yang boleh diklasifikasikan kepada empat jenis yang utama;
· Pelajar yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum dan aktiviti kebudayaan sehingga melupakan kepentingan untuk membahagikan masa yang sesuai untuk sesuatu program pengajian.
· Pelajar yang terpengaruh dengan budaya santai dan lepak dan mengabaikan tugas sebagai pelajar.
· Pelajar miskin yang terpaksa berkerja secara sambilan sehingga menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada pembelajaran.
· Pelajar daripada keluarga yang kaya yang menghidap penyakit mewah dan malas yang merasakan diri mereka selamat (sense of security) disebabkan oleh status bumiputera yang kononnya pasti akan diutamakan oleh pihak kerajaan berbanding dengan golongan bukan bumiputera.
4) Isu polarisasi kaum di IPTA/IPTS. Bertentangan sama sekali dengan hasrat dan program integrasi kaum yang cuba diterapkan oleh pihak kerajaan di IPTA/IPTS, kita mendapati program ini telah gagal berfungsi seperti mana dicita-citakan. Fenomena polarisasi kaum ini masih lagi berkembang dengan cukup meluas di Malaysia, khususnya membabitkan IPTS yang rata-ratanya lebih suka berkiblat kepada kerangka pendidikan liberalisme barat- menganggap semua warganegara Malaysia sebagai sama serta menolak sama sekali status keistimewaan kaum bumiputera.
Mengikut Candra Muzaffar, keburukan daripada isu polarisasi kaum ini boleh dikesan daripada sikap negatif yang diamalkan oleh bangsa bukan Melayu dan bangsa Melayu itu sendiri. Di kalangan bangsa bukan Melayu, beliau mengariskan empat sebab yang utama;
· Sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Mereka boleh bertutur bahasa Melayu tetapi ianya lebih bersifat functional hanya untuk tujuan keperluan pendidikan, pekerjaan dan urusan rasmi dengan kerajaan. Mereka tidak benar-benar menghayati bahasa Melayu sebagai pengguna bahasa yang kompeten. Di rumah, di pasar, bersama dengan rakan-rakan, mereka masih menggunakan bahasa kaum mereka.
· Walaupun bangsa bukan Melayu sudah lama tinggal di Malaysia, tetapi mereka kurang empati dengan sejarah dan latar belakang sejarah Negara ini.
· Sikap mereka yang hanya mementingkan kaum sendiri dan tidak bersimpati dengan kaum lain.
· Terdapat sesetengah kalangan golongan bukan Melayu yang menunjukkan sikap yang menghalang pertumbuhan nilai-nilai murni yang boleh membantu proses pembinaan bangsa Malaysia.
Manakala bagi bangsa Melayu pula, beliau mengenalpasti beberapa tren yang utama seperti;
· Mereka masih ragu-ragu dengan kejujuran dan kesetiaan sebahagian orang bukan Melayu terhadap Negara ini.
· Mereka tidak bersimpati dengan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh bangsa bukan Melayu.
· Mereka enggan menerima kepelbagaian bahasa, budaya dan agama yang wujud di Malaysia kini sebagai satu asset yang berharga yang boleh membantu pembinaan bangsa Malaysia.
· Mereka tetap berpegang kepada stereotaip dan prejudis tertentu terhadap golongan bukan Melayu. Pada pandangan orang Melayu, keseluruhan orang Cina adalah bersifat tamak, mementingkan diri dan suka menggunakan kesempatan untuk memperdaya orang Melayu. Mereka juga memandang negatif terhadap orang
Sebagai cara untuk mengatasi masalah ini, beliau mencadangkan beberapa cadangan yang utama;
· Penggunaan bahasa Melayu harus dipertingkatkan dalam sector awam dan swasta.
· Institusi pendidikan harus memberikan penekanan kepada subjek sejarah latar belakang Negara Malaysia supaya setiap pelajar sedar tentang evolusi masyarakat berbilang kaum dan akar umbi sistem politik tradisional Melayu.
· Keadilan social perlu dijadikan asas pembinaan bangsa Malaysia.
· Keadilan social yang tulen hanya boleh wujud dalam satu sistem ekonomi yang tidak didorong oleh sifat kapitalisme yang ganas.
· Sistem budaya harus membuktikan keupayaan menerima kepelbagaian sebagai unsur hidup.
· Kerajaan, media, sistem pendidikan, sistem kekeluargaan, kumpulan agama dan semua badan social harus berusaha untuk menghapuskan stereotaip di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
KESIMPULAN
Sebagai rumusan akhir, ketokohan Ibn khaldun sebagai seorang pemikir Islam yang mendahului zaman jelas terbukti, apabila kebanyakan daripada teori ataupun buah pemikirannya bersifat evergreen dan masih tetap relevan untuk dipakai bagi konteks zaman moden ini. Apa yang lebih penting lagi, kita tidak harus mensakralkan tokoh agung ini secara membuta tuli, tetapi perlu melanjutkan ataupun mengamalkan setiap gagasan pemikirannya di dalam kehidupan bermasyarakat. Rasanya, dengan cara dan paradigma ini sajalah kita mungkin dapat memanafaatkan sepenuhnya setiap buah pemikiran yang dibawa oleh tokoh ini. Adalah diharapkan agar pemakaian paradigma yang telah dirintis oleh Ibn khaldun ini, suatu hari nanti bakal melahirkan tokoh-tokoh sarjana Melayu-Islam yang unggul.
[1] Md. Nor Othman, “ Tabiat Media Generasi Muda Melayu Bandar : Satu Kajian Perbandingan Dengan Bukan Melayu “, Dalam Alam Melayu. V. 2, 1994, hlm 58-82.