‘….DAN TAATILAH PEMIMPIN DARI KALANGAN KAMU’
Prof Madya Mohamad Kamil Ab Majid
Universiti Malaya
Surah al-Nisa’ ayat 59 mengingatkan :
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga kepada Ulil Amri (Orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada kitab Allah (al-Qur’an) dan (sunnah) RasulNYa jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.
Ada dua perkara yang sangat penting dari ayat di atas iaitu tuntutan membangunkan sebuah kerajaan yang adil dan amanah. Ibn Kathir, seorang ulama tafsir yang muktabar menyatakan ayat ini diturunkan kepada para pemimpin yang berkuasa (pada mana-mana pringkat sekalipun) agar mereka menunaikan kewajiban dengan adil dan amanah.
Hadis nabi pula menyokong ayat di atas dengan maksud; “Sesungguhnya Allah akan bersama pemimpin selagi mereka tidak zalim. Apabila dia zalim, Allah akan menyerahkan segala urusan kepada dirinya sendiri”. Kata-kata ulama pula menyebut: “Sehari pemerintahan yang adil menyamai ibadat 40 tahun”.
Al-Alusi seorang lagi ahli tafsir muktabar menerangkan tentang amanah, iaitu amanah yang merangkumi hak terhadap Allah dan hak terhadap sesama makhluk. Manakala Ibn Abbas, Ibn Mas’ud, Al-Barra’, Ibn ‘Azib dan majoriti ulama menyatakan berdasarkan ayat-ayat ini, para pemimpin wajib melaksanakan kewajipan agama dan syariat. Ingatan Rasulullah s.a.w. “bahawa tidak ada iman bagi mereka yang tidak amanah” menyangkuti persoalan amanah agama, amanah dalam urusan harian, memberi nasihat kepada kerajaan dan nasihat kerajaan kepada rakyat.
Amanah dan keadilan adalah dua konsep yang mesti diterap secara menyeluruh tanpa mengira kepada perbezaan agama, mukmin atau tidak, sahabat atau musuh, apalagi perbezaan sempadan yang subjektif seperti bangsa, warna kulit atau pemahaman politik yang berbeza. Ini juga termasuk dalam maksud sepuluh prinsip Islam hadhari.
Surah al-Nisa’ ayat 59 sebagai huraian kepada surah al-Baqarah ayat 1-3 di mana takwa, ibadat juga berkait dengan ketaatan. Takwa dan ibadat wujud apabila adanya ketaatan kepada Allah, Rasul dan para pemimpin yang menjalankan perintah Allah dan Rasul.
Sementara kerajaan diseru untuk taat kepada Allah dan Rasul, umat/rakyat pula wajib merujuk kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasul apabila berlaku perselisihan faham mereka. Mereka yang berpegang dengan al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah mereka adalah yang berada atas jalan Siratal Mustaqim. Jalan inilah yang dilalui oleh para nabi, Siddiqin, syuhada dan para salihin. Jalan pengurusan dan pentadbiran yang betul.
Mentaati Allah bermaksud, kerajaan dan rakyat haruslah bersama-sama sentiasa mematuhi arahan dan larangan Allah. Di sini al-Qur’an perlu difahami secara sebenarnya untuk memahami segala arahan dari kitab Allah itu. Sementara mentaati Rasul adalah mentaati peribadi Rasulullah s.a.w. pada masa hayatnya, dan mentaati Sunnah selepas kewafatannya. Sekali lagi, kewajipan kita untuk memahami Sunnah diperlukan.
Menurut ajaran Islam, kedua belah pihak, kerajaan dan rakyat yang diperintah sama-sama turut bertanggungjawab kepada Allah mengikut pangkat dan kedudukan masing-masing di mana dari mereka akan menerima ganjaran mengikut perbuatan masing-masing.
Ajaran Islam mengingatkan bahawa kerajaan mempunyai kuasa. Kuasa dan amanah seharusnya digunakan mengikut apa yang diredhai Allah sesuai dengan ianya suatu yang dipinjam oleh Allah s.w.t. Dalam dunia Melayu, pemerintah dikaitkan dengan “daulat”. Hikayat Sejarah Melayu mengaitkan perjanjian di antara Sang Seperba yang mewakili golongan pemerintah dengan Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat jelata. Demang Lebar Daun meminta Sang Seperba supaya memelihara kebajikan rakyat jelata dan sekiranya rakyat jelata menderhaka, mereka boleh dihukum jika terbukti kesalahannya mengikut syari’ah.
Sang Seperba meminta rakyat supaya taat kepada pemerintah dan Demang Lebar Daun bersetuju, dengan syarat pemerintah tidak menceroboh tanggungjawab mereka. Mereka berdua kemudiannya berikrar bahawa sesiapa dari mereka yang menceroboh ikrar itu maka biarlah Allah menentukan balasanNya.
Ertinya, ketaatan kepada kerajaan bukanlah dibuat secara membuta tuli. Ia berlangsung selama kerajaan berlaku adil dan menjaga kepentingan rakyat dengan amanah. Perjanjian ini juga menunjukkan bahawa pemerintah yang zalim akan dihukum dan dibinasakan Allah.
Alam Melayu selepas kedatangan Islam mengaitkan keistimewaan kerajaan dengan istilah “daulat” yang berasal dari perbendaharaan kata Arab yang bermaksud kuasa atau kerajaan. Pemakaian daulat di Alam Melayu dimaksudkan dengan kewibawaan, keunggulan dan keistimewaan yang dimiliki oleh pemerintah dan keturunannya. Sebenarnya, keistimewaan ini tidak dimiliki oleh semua pemimpin, tetapi oleh mereka yang terkenal dengan peribadi yang mulia, adil, saksama dalam urusan pemerintahan, kuat beribadat, berpengetahuan dan patuh kepada suruhan Allah dalam urusan pemerintahan.
Menurut Auni Abdullah “Daulat adalah kuasa dalaman berbentuk kerohanian yang lahir dan terserlah pada diri seorang raja yang memiliki ciri kehebatan dan keunggulan peribadi yang selari dengan kemahuan Islam.” Contohnya Sultan Ala’uddin Shah (mangkat 1488M) di Melaka terkenal kerana baginda mencontohi khalifah ‘Umar Ibn al-Khattab, apabila baginda keluar menyamar pada waktu malam untuk mengetahui kehidupan sebenar rakyat jelata dan untuk memerangi kegiatan mencuri yang berleluasa di Melaka pada waktu itu.
Maulana Sultan Sharif Hashim pengasas Kesultanan Sulu (mangkat1480) terkenal kerana kebijaksanaan pemerintahan dan kepakarannya dalam bidang agama. Sultan ‘Alauddin Ri’ayah Shah (mangkat 1604M) dari Kesultanan Acheh pernah digelar sebagai wali kerana pencapaian kerohanian di bidang Tasawwuf.
Islam telah menerapkan identiti kepada sistem pemerintahan di mana pemimpin dianggap sebagai bayangan Allah di muka bumi. Pemberian taraf ini sesuai dengan manusia sebagai khalifah Allah. Peranan pemimpin dikaitkan dengan fungsi mengawal dan mengawasi dunia dan makhluk lain di sekitarnya.
Penekanan peranan ini bertujuan mengingatkan pemerintah/pemimpin kerajaan yang segala kuasa yang ada bagi mentadbir dunia yang dipegang selama ini merupakan amanah ilahi sepertimana peranan rakyat biasa sebagai khalifah Allah. Kesemuanya harus menjalankan fungsi masing-masing mengikut kemampuan dan bidang tugas masing-masing. Pemerintah terutama pemimpin tertingi berfungsi lebih besar untuk memberikan perlindungan kepada rakyat jelata dan untuk melaksanakan hukum-hukum yang ditetapkan Allah.
Peri pentingnya peranan kerajaan dalam usaha menegakkan agama Allah sering ditekankan dalam buku-buku hikayat Melayu tradisional dan undang-undang Melayu Lama. Raja dan nabi diibaratkan dua permata dalam sebentuk cincin. Sejarah Melayu mengatakan “Raja Adil Raja di Sembah, Raja Zalim Raja disanggah”. Pemimpin yang adil selalunya bertindak seiringan dengan para nabi, kerana apabila pemimpin melaksanakan apa yang diperintah Sunnah Rasulullah samalah seperti dia memenuhi tugas menurut perintah Allah. Bukan kah pemimpin yang adil itu dimakbulkan doa`nya oleh Allah.
Justeru itu, para pemimpin kerajaan dan ulama hendaklah berganding bahu memakmurkan alam ini atas sifat khalifah Allah. “Agama adalah Nasihat” yang dianjurkan oleh Nabi bermaksud, kerajaan dari kalangan umat Islam wajib ditolong, dibantu dan disokong dalam menegakkan kebenaran dan keadilan. Mereka mesti dipatuhi dalam melaksanakan urusan yang baik dan jika ada teguran hendaklah secara yang bersopan dan memperingati mereka di kala lalai. Bukannya teguran dalam bentuk cacian dan maki hamun yang bercanggah dengan adab dan kesopanan. Apalagi jika teguran yang sampai menggugat kesetabilan negara.
Jangan sama sekali ada mereka yang sengaja menghasut orang ramai supaya menderhaka atau keluar dari ketaatan yang boleh membawa kehancuran kepada umat dan negara. Justeru keamanan dan kemakmuran adalah hasil perancangan yang betul dan pelaksanaan yang tepat.
Ada dua prinsip penting diingatkan kepada pemerintah iaitu Adil dan Syura. Keadilan diberi keutamaan oleh Islam kerana ia membawa ciri kemanusiaan, kebebasan dan persaudaraan serta kemuliaan diri insan yang kesemuanya berasaskan taqwa. Prinsip adil pula adalah untuk mewujudkan hubungan yang harmonis di antara kerajaan dengan rakyat.
Sementara prinsip syura menekankan semangat musyawarah. Semangat muafakat antara kerajaan dan rakyat hendaklah sentiasa dipupuk, terutama antara kerajaan, ulama dan pembesar negeri supaya menasihati kerajaan dengan nasihat yang betul. Sejarah Melayu sekali lagi mengibaratkan pemimpin sebagai api dan pembesar sebagai kayu. Ini bererti tanpa perundingan, pemimpin tidak akan bertenaga dan berwibawa dalam urusan kerajaannya.
Sesungguhnya prinsip syura diberi perhatian khusus di bawah sistem pemerintahan Kesultanan Melayu kerana ia dapat memupuk semangat muafakat dan kerjasama antara pemerintah; raja dan pembesar serta rakyat jelata. Konsep ini adalah asas kepada semangat gotong royong.
Menurut Ibn al-Azraq, seorang ulama besar mengingatkan ada beberapa perkara yang menjadi hak kerajaan yang mesti dipenuhi oleh rakyat:
- Taat, malah sesuatu perkara yang asalnya harus menjadi wajib apabila diperintahkan kepada orang tertentu. Ini berkaitan dengan perintah yang membawa kemaslahatan atau dihubungkan dengan siasah syar’iyyah.
- Memberikan nasihat, dalam maksud bersabar jika tidak mendapat keadilan, malah mengingatkan baginda apabila baginda terlalai.
- Membayar kewajipan seperti zakat, justeru pemerintah lebih tahu siapa yang lebih berhak menerima zakat itu. Keadaan akan menjadi mudarat apabila dana baitul mal habis atau disalah gunakan.
- Hendaklah sentiasa berdoa kepada pemimpin yang adil. Kata-kata al-Tartushi: Kalaulah kami ada doa yang mustajab nescaya kami akan berdoa kepada pemimpin.
- Tidak boleh ingkar perintah pemimpin selagi ianya baik, asalkan sahaja pemimpin itu mendirikan sembahyang.
- Tidak boleh mencerca atau mencaci pemimpin. Hadis menerangkan maksud “Pemimpin yang paling baik adalah pemimpin yang kamu kasihi dan pemimpin itu mengasihi kamu. Pemimpin yang tidak baik ialah mereka yang kamu benci dan ia membenci kamu.
- Tidak melakukan perkara yang menunjukkan tidak hormat kamu kepada pemimpin.
- Tidak menyembunyikan perkara yang patut pemimpin tahu, iaitu perkara buruk yang patut dihapuskan.
- Beradab dengan pemimpin.
- Menjauhi dari kezaliman.
Justeru itu ketika negara dan umat Islam menghadapi berbagai kemelut dan ancaman dari luar,tidak harus ada mereka yang bersikap pisau dalam lipatan kerana ia akan membawa kehancuran kepada negara dan keselamatannya.
Ingatan kepada yang mereka yang memang tahu,kejatuhan empayar Melaka adalah akibat perbalahan sesama sendiri terutama para pembesar yang akhirnya menjadikan negara dijajah lebih
No comments:
Post a Comment